JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Isnin, 18 Februari 2013

ADUN CHANGKAT JONG TURUT SERTA GOTONG-ROYONG BAIKI JALAN KAMPUNG


TELUK INTAN, 18 Februari - Prihatin atas keselamatan penduduk menggunakan jalan kampung yang telah rosak dan berlubang, maka penduduk Kg. Sungai Kerawai telah berpakat mengadakan gotong-royong membaiki jalan tersebut.

Menurut Hj. Jumali Sadeli, yang mengetuai program tersebut, kemalangan kecil sering berlaku ke atas penduduk kampung yang menggunakan jalan tersebut yang telah pecah dan berlubang. Jalan tersebut begitu berbahaya kepada pengguna jalan tersebut terutamanya penunggang motosikal.

Hj. Jumali Sadeli, mengetuai gotong-royong.

Beliau yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS Sg. Kerawai dan bekas Ketua Kampung PR, telah berpakat dengan para penduduk kampung mengadakan program gotong-royong tersebut. Beliau juga berasa berbesar hati kerana ADUN Changkat Jong turut hadir malah bersama-sama penduduk kampung membaiki jalan.

Kebanyakan jalan yang berlubang itu telah dibaiki dengan menutupnya dengan simen.



Menurut YB Anuar Sudin pula, usaha gotong-royong sebegini merupakan satu contoh terbaik kepada kampung-kampung bagi menyelesaikan sesuatu masalah.
YB Anuar bergambar bersama sebahagian penduduk.

Berehat di kedai minum.

"Kadang-kadang bantuan sukar didapati daripada pihak tertentu. Malah pihak JKKK terlepas pandang akan masalah sebegini. Maka dengan cara berpakat sesama penduduk akan dapat menyelesaikan masalah. Saya mengucapkan tahniah kepada penduduk Kg. Sungai Kerawai yang telah berjaya mengadakan gotong-royong membaiki jalan yang memberikan keselesaan kepada penduduk lain menggunakan jalan tersebut," tambah beliau lagi.

intanhijau.blogspot.com

Khamis, 14 Februari 2013

Lelaki dipenjara, denda RM8,000 tunjuk isyarat lucah


BALIK PULAU, 13 Feb – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan anggota polis, Isnin lepas. 

Leong Pei Koe, 29, seorang juruukur bahan, didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah ketika kenderaan rasmi baginda melalui balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, dekat sini, pada pukul 11.50 pagi, 11 Feb lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Leong didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis ASP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum menurut Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama Majistret Muhamad Hidayat Wahab menjatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM6,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Bagi pertuduhan kedua Leong dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM2,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman dijalankan serentak dari tarikh tangkapan iaitu 11 Feb.

Leong membayar denda itu.

Muhamad Hidayat menjatuhi hukuman itu berdasarkan pengakuan salah dan rayuan Leong bahawa dia memohon maaf atas kesalahan itu selain kepentingan awam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Rabu, 13 Februari 2013

Ibu Catriona Ross Maut Nahas Kereta - Bas

Ibu Catriona Ross Maut Nahas Kereta - Bas

Catriona Ross.
PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon Catriona Ross iaitu Siti Zawiyah Ab Rahman meninggal dunia apabila kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas di Kilometer 61.8 Lebuh Raya Timur-Barat di Gerik, Perak awal pagi Rabu.

Catriona atau nama sebenarnya Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 33, berkata, dia amat sedih dengan kejadian itu dan akan sentiasa merindui Allahyarham.

"Pemergian seorang ibu tidak akan ada galang gantinya. Walaupun pemergian Allahyarham kerana nahas jalan raya tetapi arwah kelihatan seperti insan yang lena dibuai mimpi.

Antara status Cat di laman Facebook tentang kejadian yang menimpa ibunya. 
 
"Saya akan sentiasa merinduinya," katanya seperti dipetik dalam laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Catriona turut meminta semua umat Islam agar menghadiahkan Al-Fatihah kepada roh ibunya itu.

Dalam status Facebook miliknya itu juga Catriona turut memaklumkan jenazah ibunya dikebumikan di kampung halamannya di Kota Baharu, Kelantan pada Rabu.

Pihak mStar Online gagal mendapatkan Catriona kerana panggilan telefon tidak dijawab mungkin kerana masih sibuk dengan urusan pengebumian jenazah.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Manab Baharum memberitahu tiga mangsa termasuk Siti Zawiyah yang terlibat dalam kemalangan kira-kira pukul 12.40 pagi Rabu itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta pula katanya cedera parah dan dirawat di Hospital Taiping.

mstaronline

ISU PSY : NAJIB SUSAH HATI....biar betul..!!!


Isnin, 11 Februari 2013

ZIARAH AL MALAK ADUN CHANGKAT JONG


TELUK INTAN, 10 Februari - Baru-baru ini ADUN Changkat Jong telah cuba mendekati golongan berperanguh di dalam masyarakat di sekitar Kg. Bahagia dan Kg. Changkat Jong. Antara objektif ziarah tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dengan pihak tertentu dalam masyarakat seterusnya menghargai sumbangan mereka.
Pertemuan mesra : YB dan Ketua Kampung, Hj. Tajul Hasnan.
Di Kg. Bahagia, YB Anuar Sudin telah bertemu dengan Ketua Kampung serta dua orang ahli jawtaankuasa masjid di kampung tersebut. Pertemuan dan perbualan berbentuk santai tersebut lebih banyak menyentuh peranan masing-masing dalam masyarakat. Pertemuan yang boleh disifatkan sebagai pertemuan mesra itu diharap akan dapat mewujudkan kerjasama erat antara pihak wakil rakyat itu dengan pihak berkenaan.
Menziarahi Ketua UMNO cawangan.
Ziarah seorang pesara kakitangan kerajaan.
Sempat mendengar masalah rakyat.
Sementara itu, di Kg. Changkat Jong YB Anuar telah sempat bertemu dengan pengerusi masjid, bekas imam masjid serta bekas pesara kerajaan. Di samping itu, beliau juga telah menziarahi Ketua UMNO Cawangan Batu 9, Changkat Jong yang telah kematian ibu. YB Anuar telah disambut mesra oleh Ketua Cawangan UMNO itu.

Kebanyakan yang ditemui telah menzahirkan rasa berbesar hati menerima kehadiran wakil rakyat tersebut yang mereka sifatkan sebagai wakil rakyat 'yang suka turun padang'.

intanhijau.blogspot.com

Ahad, 10 Februari 2013

ADUN CHANGKAT JONG MERAIKAN KAUM CINA SEMPENA TAHUN BARU CINA


TELUK INTAN, 9 Februari - Tahun Baru Cina turut mendapat perhatian ADUN Changkat Jong di dalam misi DUN Changkat Jong DUN Sejahtera. Oleh itu, ADUNnya, YB Hj. Mohd. Anuar Sudin telah menziarahi beberapa rumah kaum tionghua bagi mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada mereka.
'PAS Bagus...'


Rombongan ADUN Changkat Jong telah menziarahi 30 buah rumah di sekitar Taman Cicely dekat sini. Di samping mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai', YB Anuar turut memberikan cenderamata sebagai tanda ingatan serta berkongsi kegembiraan dengan masyarakat Cina.
Menggunakan motosikal untuk memudahkan pergerakan.

Kesemua rumah yang diziarahi ADUN Changkat Jong itu telah disambut mesra oleh penghuninya di samping berbesar hati apabila didatangi secara mengejut oleh seorang wakil rakyat di saat merayakan Tahun Baru Cina. Kebanyakannya begitu mengenali YB Anuar walapun mereka bertugas di luar Teluk Intan.


Selain itu, kebanyakan anak-anak muda Cina yang ditemui begitu mesra berbual dengan YB Anuar di samping menyatakan sokongan mereka sebagai pengundi luar. ADUN Changkat Jong sendiri berpuas hati dengan program ziarah tersebut sambil mengharapkan agar masyarakat Cina dapat melakukan perubahan dalam pilihan raya akan datang demi kesejahteraan yang lebih baik.

Turut ikut serta ialah beberapa orang ahli jawatankuasa PAS Kawasan Teluk Intan dan PAS Cawangan Cicely serta Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Teluk Intan.

intanhijau.blogspot.com