JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Khamis, 28 November 2013

Sertai MKPN pengalaman berharga buat saya - Wardina



KUALA LUMPUR: Selebriti Wardina Safiyyah berkata, menyertai Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) merupakan pengalaman berharga buat dirinya.

Baginya, mungkin ramai yang melihat ada lagi orang lain yang lebih layak daripadanya tetapi beliau juga ada kelebihan.

"Mungkin ramai yang melihat ada yang lebih layak daripada saya, tetapi saya sebenarnya juga ada kelebihan tersendiri yang dikurniakan oleh Allah SWT,” ujarnya dipetik Sinar Harian online.

Beliau adalah antara 29 individu yang dilantik sebagai ahli majlis MKPN yang bakal diwujudkan menjelang akhir tahun ini untuk memberi nasihat kepada kerajaan berhubung penyatuan nasional rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengadakan beberapa siri dialog dan perbincangan meja bulat dengan beberapa pihak bagi mendapatkan input berhubung penubuhan majlis itu.

Wardina juga berharap pelantikannya itu tidak dipertikaikan.

“Terharu dan rendah hati dilantik sebagai ahli... let's work together for a better Malaysia!” tulis Wardina di facebooknya, kelmarin.

harakahdaily

HUTANG NEGARA SEKARANG RM529.6 BILION ...



KOTA BHARU: Jika dijumlahkan hutang kerajaan sebanyak RM529.6 bilion dengan jaminan kerajaan berjumlah RM147.3 bilion, ia akan membentuk sebanyak RM676.9 bilion.

Jumlah itu menyumbang kepada 68.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sedangkan paras hutang ditetapkan Akta Pinjaman Tempatan (1959) iaitu 55 peratus.

Jaminan kerajaan bermaksud hutang yang perlu dilangsaikan kerajaan sekiranya badan berkanun atau syarikat milik kerajaan gagal melunaskannya.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, situasi sekarang hutang negara berada hanya kurang 1.4 peratus lagi daripada paras siling di bawah Akta Pinjaman Tempatan (1959).

“Perlu diingatkan sekiranya angka hutang melebihi kadar 55 peratus berbanding KDNK, ia telah melebihi angka maksimum yang ditetapkan Akta Pinjaman Tempatan 1959.

“Jika ia berlaku, negara sebenarnya sudah di ambang bankrap,” katanya di sini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini memberitahu parlimen, kadar hutang negara meningkat kepada 53.6 peratus berbanding KDNK sehingga September tahun ini.

Menurutnya, hutang negara sekarang berjumlah RM529.6 bilion, yang disifatnya masih lagi dalam keadaan terkawal.

Sebelum ini kerajaan juga memberitahu badan berkanun dan syarikat kerajaan berhutang sebanyak RM147.3 bilion, yang dikategori sebagai tanggungan dan bukan hutang kerajaan.

harakahdaily

Khamis, 21 November 2013

KORANG SIBUK BUAT APA ?


KUMPULAN UNIC ANTARA PENERIMA ANUGERAH DAIE MUDA PEMUDA PAS MALAYSIA



PETALING JAYA: Seramai lima tokoh anak muda dari pelbagai bidang menerima Anugerah Da'i Muda Malaysia pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kali Ke-54, malam tadi.

Penerima anugerah ini terdiri daripada tokoh anak muda yang memberikan sokongan atau bantuan dalam bidang kerjaya masing-masing kepada DPPM.

Kumpulan nasyid UNIC yang popular dengan lagu Ke Makam Bonda menerima anugerah ini bagi kategori hiburan.

Bagi kategori penyampai radio, penerimanya ialah juruhebah Radio Ikim, Syafiq Zulakifli manakala Pengacara TV Al Hijrah, Amin Idris menerima anugerah ini bagi kategori pengacara televisyen.

Bagi kategori sutradara pula, pelakon, penerbit dan pengarah, Adam Hamid menerima anugerah ini dan Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob menerima anugerah ini bagi kategori kewartawanan.

DPPM juga buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Tokoh Jabatan Amal Malaysia.

Anugerah ini diterima anggota Unit Amal Perak, Abdul Rahim Abdul Syukur.

Selain aktif dalam aktiviti Unit Amal, Abdul Rahim pernah terlibat dalam membantu mencari orang hilang dengan kerjasama agensi kerajaan pada tahun 2010.

Beliau juga membantu mencari anggota gerak khas semasa sesi latihan di Selama Perak.

DPPM juga memilih bekas Setiausaha Agung PAS Pusat pada tahun 1989 hingga 1998 dan juga bekas Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abdul Halim Arshad sebagai tokoh pemuda.

Ustaz Halim pernah ditahan ISA dua kali masing-masing pada tahun 1980 dan 1987.

Selain itu, DPPM turut menghargai jasa Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menganugerahi beliau sebagai tokoh murabbi.

Sementara itu, sebagai menghargai sumbangan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kepada PAS, DPPM mewujudkan lima kategori anugerah bagi produknya ini.

Kategori pertama iaitu Indeks Pencapaian Utama (KPI) terbaik bagi peringkat negeri dimenangi oleh PASTI Negeri Perak.

Manakala bagi peringkat kawasan, PASTI Serdang, Selangor mendapat KPI yang terbaik.

PASTI Negeri Selangor pula mendapat anugerah PASTI Negeri terbaik dari segi pertambahan murid iaitu daripada 16,390 kepada 18,280 murid.

Bagi peringkat kawasan pula, PASTI Serdang, Selangor menerima anugerah PASTI terbaik dari segi pertambahn murid iaitu dari 1,980 kepada 2,300 murid.

Anugerah PASTI terbaik dari segi penubuhan cawangan paling banyak diterima oleh PASTI Negeri Selangor dan Perak.

Sementara itu, Ketua Majlis Guru PASTI Malaysia, Saadiah Abu Bakar menerima anugerah tokoh muallimah tahun ini.

Selain itu, DPPM turut memperkenalkan Anugerah Kecemerlangan PRU13 yang diterima oleh DPP Kawasan Kubang Kerian yang mencatatkan 72 peratus pengundi muda.

harakahdaily

Selasa, 19 November 2013

PEMBINAAN BENTENG TIDAK SEMPURNA PUNCA RUMAH ROBOH



TELUK INTAN, 19 November - Keresahan penduduk Lorong Kalat, Batak Rabit telah berlarutan hampir lapan tahun. Namun tiada sebarang tindakan konkrit telah dilakukan untuk memperbaiki keadaan. 

Masalah bermula apabila pihak bertanggungjawab telah membina ban atau benteng di sepanjang tebing sungai. Apa yang telah terjadi ialah hakisan air semakin teruk kerana ban yang telah dibina telah rebak dan mengakibatkan air sungai telah memasuki kawasan rumah-rumah di tepi sungai tersebut.
Sebuah rumah yang telah runtuh bahagian dapur akibat hakisan air sungai.
Sdr. Shaharuddin sedang menunjukkan sebuah dokumen kepada YB Terence.

Menurut seorang penduduk di situ, Sdr. Shaharuddin Hamzah, 50, sejak 2006 sehingga kini hampir lapan tahun penduduk terlibat berhadapan dengan risiko rumah runtuh. Menurut beliau, terdapat lima buah rumah telah mengalami keruntuhan terutamanya di bahagian dapur rumah. Malah, dapur rumah ibunya sendiri turut roboh akibat hakisan air sungai yang semakin kuat akibat ban telah rebak. Kebanyakan rumah tersebut telah didiami lagi. Penghuninya telah berpindah kerana bimbang akan keselamatan masing-masing.

"Oleh kerana bimbangkan keselamatan, kini ibu saya juga terpaksa meninggalkan rumah tersebut dan kini tinggal di rumah adik tidak jauh dari sini."

"Dulu, sebelum ban dibina, masalah hakisan air sungai tidaklah begitu teruk. Namun, selepas ia dibina, dengan menebang pokok-pokok di tepi sungai, serta pembinaan ban yang tidak mengikut spesifikasi yang betul menyebabkan masalah semakin teruk. Sepatutnya ban itu dibina dengan membuat cerucuk supaya ban tidak mudah rebak. Akibatnya, apabila air pasang habis kawasan rumah di masuki air yang lama-kelamaan menyebabkan bahagian belakang rumah runtuh akibat hakisan yang terus itu," jelas beliau.

Salah sebuah rumah yang kosong kerana penghuninya telah berpindah.
Menurut beliau lagi, masalah tersebut  telah diadukan ke pelbagai pihak namun tiada sebarang tindakan telah diambil. Masalah ini juga pernah dibawa kepada bekas ADUN Changkat Jong, Hj. Mohd. Anuar Sudin namun apabila dibawa oleh wakil rakyat itu kepada pihak berkuasa berkenaan masih lagi tiada tindakan.

Oleh kerana itu, sekali beliau memohon jasa ADUN Pasir Bedamar YB Terence Naidu membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah yang dihadapi. 

YB Terence sempat meluangkan masa melawat kawasan tersebut. Beliau berjanji akan membawa masalah tersebut kepada pihak bertanggungjawab dan akan mengemukan maslaah tersebut di persidangan DUN Perak tidak lama lagi.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Teluk Sdr. Rahmat Maliki dan Ketua Cabang PKR Teluk Intan Sdr. Muhammad Hashim.

intanhijau.blogspot.com

Isnin, 18 November 2013

HARAM IKUT PALUAN GENDANG MUSUH - Presiden PAS



PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan haram bagi ahli PAS  mengikut permainan media luar kononnya berlaku pertembungan  antara golongan ulama dengan profesional dalam PAS.

Katanya, dakwaan kononnya wujud pertembungan antara  golongan ulama dan profesional dalam PAS adalah permainan media musuh dan tidak seharusnya mempengaruhi ahli PAS.

"Ini mainan media, gendang yang dipalu oleh mereka tidak seharusnya diikuti. Haram bagi kita menari mengikut gendang itu," katanya ketika menutup perasmian Ijtimak PAS Selangor di Dewan Sivik, dekat sini, semalam.

Beliau menegaskan tanggung jawab semua ahli dan pimpinan PAS mesti menyatukan semua pendokong parti dan bukan memecahbelahkan mereka.

Katanya, PAS kini bukan sahaja berjaya menarik sokongan golongan muda malah telah berjaya memecahkan paradigma kalangan orang bukan Islam yang menjadi sebahagian masyarakat majmuk untuk memberi sokongan kepada PAS.

"Kita berjaya memecahkan benteng yang memisahkan PAS dengan orang bukan Islam," tegasnya.

Menurut beliau, orang bukan Islam mahu menjadi ahli PAS walaupun mereka sedar PAS adalah parti Islam setelah mereka mengkaji dan memahami perjuangan PAS.

Sehubungan itu, beliau menyarankan ahli PAS agar menunjukkan akhlak Islam walaupun PAS tidak berupaya melaksanakan pemerintahan Islam kerana sistem federalisme yang tidak berakhlak.

Tahalluf Siyasi, ujarnya membenarkan PAS menjalin hubungan dengan DAP dan bukannya dengan Umno apatah lagi PAS telah menghadapi pengalaman dikhianati Umno ketika menyertai kerajaan campuran dan bekerjasama dengan BN pada 1973.

Namun katanya, semasa menyertai BN, Umno berusaha meilemahkan PAS dengan menghalang PAS masuk ke kubu Umno seperti Johor serta menentang syariat Islam yang mahu dilaksanakan oleh PAS.

Katanya, kerajaan BN telah melaksanakan sistem pemerintahan yang tidak berakhlak berbanding PAS dan Pakatan Rakyat.

Pada akhir ucapan, beliau mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PAS Selangor supaya menjadikan ijtimak sebagai medan muhasabah untuk merangka kerja selepas Muktamar Tahunan nanti.

harakahdaily

Jumaat, 15 November 2013

PEMUDA PAS TELUK INTAN BUAT LAPORAN POLIS ISU LAPORAN THE STAR



TELUK INTAN, 15 November - Ekoran laporan yang tidak tepat dan berat sebelah oleh akhbar The Star, maka Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan (DPPKTI) telah membuat laporan polis. Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dekat sini.

Rombongan DPPKTI telah diketuai oleh Ketua DPPKTI sendiri, Ustaz Rijal Abu Bakar dan empat orang ahli jawatankuasanya. Laporan telah dibuat pada 15 November jam 6.57 petang di atas nama Penolong Setiausaha dewan, Sdr. Mohammad Mokhtar Ahmad Sabki.

Menurut Mohammad Mokhtar di dalam laporannya, isu Memali merupakan kes yang sudah dibincangkan. Tindakan akhbar The Star mengklafikasikan serta menyamakan isu tersebut dengan ajaran sesat dan keganasan adalah satu pernyataan yang dibuat tanpa fakta yang sahih dan boleh mengundang kegemparan awam.

intanhijau.blogpsot.com

Khamis, 14 November 2013

PELAJAR MENDERITA KANSER TULANG PERLUKAN BANTUAN



TELUK INTAN, 14 November - Seorang pelajar tingkatan satu di sini sedang menderita kanser tulang tahap 3. Muhammad Amirul Rashid, 13, seorang pelajar di sebuah sekolah di sini telah menderita kanser tulang dan memerlukan rawatan dan pembedahan atas nasihat doktor.

Prihatin atas penderitaan pelajar tersebut, baru-baru ini pihak Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Teluk Intan telah menziarahi pelajar tersebut di rumah datuknya di Rumah Awam dekat sini. Rombongan ziarah terdiri daripada Timbalan Yang Di Pertua PAS kawasan Sdr. Rahmat Maliki, mantan ADUN Changkat Jong Hj. Mohd. Anuar Sudin, Ketua Lujnah Sdr. Shamsudin Mahmud, Timbalan Ketua lujnah Sdr. Faisaludin Rasidi dan Setiausaha lujnah Sdr. Wan Ghazali Mahadi.
Ibu pelajar, Pn. Surain Sulaiman.

Menurut ibu pelajar, Puan Suraini Hj. Sulaiman, anaknya mula dikesan kanser pada bulan Ogos lalu selepas terjatuh semasa aktiviti sukan. Kini, anaknya menerima rawatan chemo di Hospital UKM. Pihak hospital juga bercadang melakukan pembedahan pada 9 Disember ini. Namun, kos pembedahan menelan kos sebanyak RM45000.

Menurut beliau lagi, baru-baru ini pihak Baitulmal Daerah telah meluluskan permohonan menampung kos pembedahan sebanyak RM40000. Namun begitu, rawatan susulan chemo akan diteruskan selepas pembedahan yang juga memerlukan kos yang agak tinggi juga.

Sehubungan dengan itu, pihak Lujnah Kebajikan kawasan telah melakukan inisiatif menggerakkan usaha mengutip sumbangan daripada orang ramai. Menurut ketuanya Sdr. Shamsudin Mahmud, pihaknya akan berusaha mendapatkan sumbangan daripada orang ramai melalui pelbagai cara. Beliau berharap usaha ini dapat berjalan dengan segera agar ia dapat meringankan beban kos selepas pembedahan. Selain itu, pihaknya juga akan melakukan solat hajat bagi memohon kemudahan pembedahan pelajar itu.

Baru-baru ini, pihak PAS Kawasan telah menyerah hasil kutipan sumbangan kepada Hj. Sulaiman Abdullah bagi mewakili cucunya, Muhammad Amirul Rashid. Sumbangan telah disampaikan oleh Yang Di Pertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, mereka boleh salurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, nombor akaun 08031010052737 atau hubungi nombor 0134390283 (Sdr. Shamsudin)

intanhijau.blogspot.com

MP BN YANG GILA DI PARLIMEN

Jika pagi tadi beberapa MP pakatan Rakyat mengoyak-ngoyak kertas usul menggantung MP Padang Serai sewaktu ia dibentangkan, petang tadi menyaksikan giliran MP dari BN pula untuk 'membalas dendam'.

MP Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mengoyak usul MP Kuantan, Fuziah Salleh yang mencadangkan agar gaji lima orang penasihat bertaraf menteri yang dibayar sebanyak RM27,227 sebulan setiap seorang untuk tempoh setahun, 'diagihkan semula'.

Membentangkan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), Fuziah berkata ia dimajukan untuk mengelakkan pembaziran Belanjawan 2014 memandangkan lima jawatan itu dilihat sebagai tidak lebih daripada lantikan politik.

Di sebelah pagi, MP Pakatan yang diketuai Azmin Ali (PKR-Gombak) melabelkan usul menggantung Surendran selama enam bulan sebagai 'usul haram'.

Tidak lama kemudian, sebahagian MP Pakatan Rakyat bangkit dan melaung perkataan 'usul haram' berulang-ulang kali.

Pada masa yang sama, sebahagian MP Pakatan yang lain pula menggumpal kertas usul atau mengoyak-ngoyakkannya sewaktu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri membentangkan usul tersebut.

pakatan mp tearing motion papers 141113 fuziah sallehDi sebelah petangnya, sewaktu Fuziah (kiri) membentangkan usul beliau,
Bung Moktar bangkit mencelah dan menggesa Fuziah dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.

Beliau mendakwa Fuziah membuat kesilapan teknikal dalam menamakan jawatan terperinci lima penasihat yang dimaksudkan dalam usul itu.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan usul itu sebagai "usul haram" seperti dilakukan Azmin di sebelah pagi sebelum mengoyak-ngoyakkan kertas usul.

Beliau kemudian terus menepuk-nepuk meja sambil menjerit "tipu" berulang-ulang kali seorang diri menyebabkan usul Fuziah tergendala seketika untuk dibentangkan.

Lima penasihat bertaraf menteri yang dirujuk Fuziah dalam usulnya adalah Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Seri Noh Omar, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Johari Baharom, dan Hasbi Habibollah.
Berikut adalah sedutan daripada apa yang berlaku:
Bung Moktar: Usul ini tidak betul, tak perlu dibahas dan saya minta rakan-rakan berdiri bersama saya, kita tolak usul ini sebab usul ini haram, haram dan tidak boleh dibahas. Kita tolak 100 peratus!

Datuk Ronald Kiandee: Tak boleh

Pembangkang: siapa speaker ni?

(Semua MP BN berdiri)

Bung Muktar: koyak, koyak

Sim Tong Him: Duduklah

Bung Muktar: Koyak, koyak, usul haram, haram, haram, usul haram.

Rafizi Ramli: Saya ucapkan kepada rakan-rakan daripada BN, kerana dengan lawak tadi, itulah yang akan pergi ke laman-laman youtube selepas tu.

Bung Muktar: Yang tadi buat lawak jugak apasal tak sentuh? Sebutlah! lagi teruk daripada kita punya lawak. Sebutlah! Berdiri berdiri berdiri. ini usul tipu punya, mana boleh bahas? Kenapa bahas, ni usul haram, haram haram haram, tak boleh, haram haram haram tak boleh, tipu tipu tipu.
Sementara itu, Bernama melaporkan, persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak dua usul berkenaan pemotongan gaji ke atas jawatan beberapa orang Duta Khas dan Penasihat Khas yang dilantik kerajaan.
   
Usul pertama yang dibawa Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) ialah usul untuk memotong elaun yang dibayar kepada tiga bekas menteri yang kini dilantik sebagai Duta Khas yang keseluruhannya berjumlah RM980,179 setahun.

Mereka ialah Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang dilantik sebagai Duta Khas ke Amerika Syarikat, Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India).
   
Usul kedua pula dibawa Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) yang mencadangkan supaya gaji lima penasihat khas kepada kerajaan di Jabatan Perdana Menteri dipotong kerana pelantikan mereka bertindih dengan fungsi menteri dan kementerian sedia ada, serta membazirkan wang rakyat.
   
Bagaimanapun, Fuziah telah memberikan fakta-fakta yang salah tentang mereka dengan mengatakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil adalah Penasihat Khas Hal Ehwal Wanita, Datuk Seri Noh Omar (Pengerusi untuk negeri Selangor), Datuk Seri Johari Baharom (Penasihat Wilayah Koridor Utara) dan Tan Sri Dr Rais Yatim (Penasihat Khas Sosial dan Kebudayaan) dan Hasbi Habibollah, penasihat pembangunan Sarawak.
   
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul kedua itu berkata usul itu ditolak kerana fakta yang dikemukakan Fuziah adalah salah.
   
Katanya, sebagai contoh, jawatan sebenar Shahrizat ialah Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Iktisas Wanita dan bukan Penasihat Hal Ehwal Wanita seperti yang disebut Fuziah.
   
Katanya, jawatan sebenar Noh pula ialah Pengerusi Tindakan Persekutuan Selangor manakala Johari (Penasihat Khas kepada Perdana Menteri untuk Wilayah Koridor Utara), Hasbi adalah Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak dan Rais adalah Penasihat Khas Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.
   
Fuziah mendakwa keseluruhan bayaran gaji kepada lima orang penasihat itu berjumlah RM1.6 juta setahun.
   
Bagaimanapun, kedua-dua usul itu ditolak setelah Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee membuat undian secara lisan yang menyaksikan lebih suara menolak daripada menyokong.
   
Ketika menggulung perbahasan untuk usul pertama, Razali berkata pemberian  elaun kepada ketiga-tiga duta khas itu adalah berdasarkan perjanjian yang ditandatangani setelah pelantikan dikuatkuasakan pada tahun 2011.
   
"Dalam perjanjian itu ada dinyatakan bahawa semua duta khas yang dilantik diberi penawaran (elaun) dan balasan sewajarnya berdasarkan tugasan yang diberi.
   
"Sama ada mereka mahu menerima (elaun) ataupun tidak, mereka mempunyai hak, (namun) perjanjian telah ditandatangani," katanya. 

malaysiakini

Ahad, 10 November 2013

PERTANDINGAN MEMANCING UDANG GALAH DI KG. BAHAGIA



TELUK INTAN, 10 November - Setelah mendapat sambutan baik pada tahun-tahun lalu, Pertandingan Memancing Udang Galah diteruskan lagi pada tahun ini. Pertandingan tersebut telah diadakan di Jeti Lorong Masjid Kg. Bahagia dekat sini. Ia adalah anjuran Pemancing Lorong Masjid (PaLMA).

Menurut seorang urus setia pertandingan, Sdr. Esma Hafiz, pada tahun ini bilangan peserta yang menyertai pertandingan tersebut seramai 64 orang dan ia merupakan bilangan yang melebihi daripada tahun lalu. Kebanyakan peserta adalah datang dari kawasan sekitar Kg. Bahagia. Pertandingan memancing udang galah kali ini adalah dalam kategori individu dan berkumpulan.
Sdr. Esma Hafiz sedang mengacarakan majlis perasmian.
Hj. Mohd. Anuar Sudin menyampaikan ucapan.
Walaupun suasana pada pagi itu hujan, namun kesemua peserta hadir untuk mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan setiap tahun itu. Mantan ADUN Changkat Jong, Hj. Mohd. Anuar Sudin telah melepaskan para peserta di jeti. Beliau yang juga Bendahari PAS Kawasan Teluk Intan menyampaikan ucapan perasmian memuji usaha pihak persatuan yang mengadakan aktiviti sihat berbentuk hobi yang mudah dilakukan setiap orang iaitu memancing.
Acara melepaskan peserta memancing.
Pemenang tempat pertama menerima hadiah.


Hj. Mohd. Anuar juga sempat meluangkan masa menyampaikan hadiah kepada para pemenang memancing dan acara-acara tambahan seperti pertandingan batu seremban dan mewarna.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Di Pertua PAS kawasan, Sdr. Rahmat Maliki dan Ketua PAS Cawangan Kg. Bahagia, Sdr. Samsudin Mahmood.

intanhijau.blogspot.com

Jumaat, 8 November 2013

INI PULA PENJELASAN KARPAL ...



KUALA LUMPUR: “Saya tidak langsung menyeru supaya PAS dibatalkan pendaftarannya di dalam sidang akhbar itu,” tegas Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.

Justeru, beliau yang juga  Ahli Parlimen Bukit Gelugor agak terkejut dengan serangan yang dilakukan terhadapnya oleh beberapa pemerhati politik, ahli akademik dan para pengulas politik tertentu.

“Ia sememangnya satu penghinaan teruk kepada Utusan Malaysia kerana membuat tuduhan keji ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya agak terkejut dengan serangan yang dilakukan terhadap saya oleh beberapa pemerhati politik, mereka yang kononnya ahli akademik dan para pengulas tertentu terhadap kenyataan saya pada Selasa lalu berkenaan parti-parti politik dan badan-badan profesional yang ditubuhkan dengan garis perkauman harus membuka pintu kepada semua kaum atau dibatalkan pendaftarannya, khususnya kenyataan saya yang dikatakan bahawa saya telah menyeru agar PAS dibatalkan pendaftarannya.

Ia sememangnya satu penghinaan teruk kepada Utusan Malaysia kerana membuat tuduhan keji ini.


Terence Netto telah benar-benar termakan dengan putar belit Utusan Malaysia bahawa saya telah menyeru agar PAS dibatalkan pendaftarannya; yang kemuncaknya menyifatkan saya sebagai seorang yang cuai serta tidak cermat dan saya tidak bertambah matang seiring dengan usia dan pelbagai kata-kata buruk lain di dalam artikelnya.

Saya terkejut bagaimana Terence Netto yang telah meningkat usianya tetapi tidak banyak mengambil pengajaran. Tidak mahu kalah, sesetengah orang kuat PAS pun turut terjun ke dalam kancah yang buruk ini melalui kritikan mereka terhadap saya tentang dakwaan seruan saya ke atas PAS itu.

Sudah tentu, terdapat ramai lagi, termasuklah seorang profesor, yang turut mempamerkan ketidakmatangan dengan mengeluarkan kenyataan tanpa memastikan kebenaran fakta atau memastikan saya telah benar-benar membuat dakwaan itu terhadap PAS.

Benar, saya telah menyeru agar Persatuan Peguam-Peguam Muslim dibatalkan pendaftarannya kerana mengecam Majlis Peguam bahkan, melakukan ugutan jenayah, terhadap majlis itu kerana menyokong mingguan Katolik Herald berkenaan penggunaan kalimah Allah.

Presiden kepada Persatuan Peguam-Peguam Muslim mengugut akan bertindak ke atas Majlis Peguam. Saya tegas dengan pendirian saya menyeru agar dibatalkan pendaftaran Persatuan Peguam-Peguam Muslim yang ditubuhkan pada tahun 1988 ketika kemuncak pemecatan Tun Salleh Abas dan terang-terang mendapat sokongan penuh perdana menteri waktu itu Dr. Mahathir, yang langsung membawa kepada perhimpunan dan demonstrasi agak ganas di hadapan pejabat Majlis Peguam berdekatan stesen Masjid Jamek.

Benar, saya telah menyatakan bahawa parti politik dan badan profesional berdasarkan kaum yang malang sekali termasuklah PAS, sepatutnya membuka pintu kepada kaum lain; akan tetapi saya lekas menambah bahawa PAS telah pun memperakui keperluan berbilang kaum dengan mewujudkan sayap penyokong bukan bergama Islam.

Saya tidak langsung menyeru supaya PAS dibatalkan pendaftarannya di dalam sidang akhbar itu.

Terence Netto dan mereka yang seangkatan dengannya jelas telah terlepas pandang akan perkara itu. Sama ada disengajakan atau disebabkan oleh nurani personaliti-personaliti ini.

Bolehkah PAS menafikan ia telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebelum pilihan raya umum 2004?

Bolehkah PAS menafikan ia telah bersetuju untuk meletakkan calon bukan beragama Islam di dalam pilihan raya umum 2013?

Bolehkah PAS menafikan bahawa Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, pada 13.10.13 telah berkata, ketika ditanya sama ada keahlian penuh akan diberikan kepada bukan beragama Islam berikutan sokongan besar yang PAS terima daripada DHPP di dalam pilihan raya umum, beliau berkata:

"Buat masa ini, kami mempunyai sayap penyokong PAS (DHPP) untuk yang bukan beragama Islam. Ia adalah cara yang baik untuk kami meletakkan di kami di kalangan bukan beragama Islam. Seterusnya, cabaran kami ialah untuk menjadikan diri kami releven di kalangan semua rakyat Malaysia. Cabaran kami sekarang adalah untuk mengekalkan sokongan yang kami terima daripada bukan beragama Islam dan meningkatkan sokongan daripada umat Islam."

Bolehkah PAS menafikan pada pilihan raya umum 2008, ia meletakkan calon dari masyarakat India, R. Kumutha, untuk bertanding kerusi dewan undangan negeri Tiram di kawasan parlimen Johor Bharu?

Bolehkah PAS menafikan pada 6.11.2013, DHPP melalui setiausahanya K. Deepakaran dalam membahaskan ucapan dasar Presiden sewaktu Muktamar PAS di Pengkalan Chepa menggesa ahli parti supaya tidak melihat DHPP dengan rasa curiga sebaliknya menganggap golongan bukan beragama Islam di dalam PAS sebagai sebahagian daripada jenteranya.

"Kita ikhlas dan sukarela nak memberi sokongan kepada sebuah parti Islam di Malaysia iaitu PAS. Saya selalu katakan DHPP adalah tentera perjuangan Islam. Kenapa saya katakan kami tentera Islam? kerana Islam untuk semua, Islam hadir untuk semua dan terima kasih untuk logo 'PAS For All'."

Beliau juga menekankan, "Kalau dahulu memang PAS untuk orang Islam sahaja tapi sekarang PAS sudah terbuka kepada semua yang mahu menjadi sebahagian daripada perjuangan Islam."

Di sidang akhbar pada hari Selasa, saya menekankan sekali lagi, saya tidak meminta PAS dibatalkan pendaftarannya malah memberikannya talian hayat dengan menyatakan bahawa PAS telah sedar keperluan berbilang kaum dengan mewujudkan DHPP tidak seperti Umno, MCA dan MIC yang jelas-jelas merupakan parti rasis yang perlu dibatalkan pendaftarannya.

Saya tidak meletakkan PAS di dalam bakul yang sama apabila saya menentang parti politik dan badan profesional yang ditubuhkan atas dasar kaum. Saya telah menyatakan kebenaran. Tuntutan memohon maaf oleh pemimpin-pemimpin PAS tidak akan dipenuhi. Itu saya boleh jamin.


PAS seharusnya sudah boleh menunjukkan keikhlasannya dengan menjadikan DHPP sebagai ahli penuh parti. Jauh daripada dibatalkan pendaftaran, tindakan sedemikian akan menjadikan PAS salah satu parti politik berbilang kaum di negara ini.

HARAKAHDAILY

Khamis, 7 November 2013

BIAR KARPAL SENDIRI YANG BERI PENJELASAN - MAHFUZ



KUALA LUMPUR: PAS meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tampil memberi penjelasan terbuka terhadap tuduhan kononnya beliau mahu pendaftaran PAS dibatalkan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu penting bagi merungkai segala kekeliruan yang timbul akibat laporan media yang memetik kenyataannya sebelum ini.

"Apa yang penting beliau (Karpal) sendiri perlu tampil beri penjelasan, bukan melalui pihak lain.

"Ini untuk kita semua dapat gambaran sebenar," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam yang tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam penjelasannya, Kit Siang berkata, beliau telah bercakap dengan Karpal dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan.

Justeru, Kit Siang meminta semua pihak mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Isu ini timbul ekoran laporan kononnya Karpal mahu pendaftaran PAS dibatalkan atas cadangannya agar parti politik atau pertubuhan berasaskan kaum dan agama boleh menghalang perpaduan kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika kenyataan itu dimanipulasi media, maka Karpal perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit.

"Sebaliknya, kalau laporan itu betul, Karpal harus berlapang dada dan berjiwa besar untuk tampil memohon maaf kepada PAS dan seluruh ahli dan penyokong.

"Kita yakin beliau boleh berbuat demikian kerana beliau adalah seorang ahli politik senior," katanya.

harakahdaily

Selasa, 5 November 2013

MAJLIS GRADUASI PASTI IBNU RUSYD TAMAN CICELY MERIAH



TELUK INTAN, 5 November - Bersempena cuti umum Awal Muharram, PASTI Ibnu Rusyd Taman Cicely telah mengadakan Majlis Graduasi 2013. Majlis telah diadakan di premis PASTI Ibnu Rusyd Taman Cicely dekat sini.

Menurut Pengerusi PASTI Ibnu Rusyd, Sdr. Rahmat Maliki, antara objektif majlis tersebut ialah untuk meraikan pelajar PASTI enam tahun yang bakal memasuki alam persekolahan serta mengiktiraf pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan akhir tahun. Selain itu, majlis tersebut ingin menonjolkan bakat pelajar PASTI melalui acara persembahan.

Ustaz Rijal Abu Bakar menyampaikan ucapan perasmian.


Majlis Graduasi kali ini telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda Kawasan Teluk Intan, Ustaz Rijal Abu Bakar. Dalam ucapan perasmian, beliau banyak menyentuh tentang pendidikan awal anak-anak sebagai panduan kepada ibu bapa. Beliau juga menyatakan bahawa Pemuda Kawasan telah menubuhkan 'think tank' di peringkat kawasan untuk memperkasa PASTI kawasan dan cawangan. Kehadiran ibu bapa pada majlis tersebut begitu menggalakkan.

Pengerusi PASTI Ibnu Rusyd menyampaikan ucapan aluan.
Turut menyampaikan ucapan ialah Pengurus PASTI Ibnu Rusyd, Sdr. Rahmat Maliki. Di dalam ucapan alu-aluan, beliau mengucapkan terima kasih kepada para ibu bapa yang masih setia menghantar anak-anak mereka ke PASTI.  Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua PAS Kawasan, Hj. Mohd. Azhar Rafiei, Pengerusi PASTI Kawasan Sdr. Ismail Mat dan AJK PAS Kawasan, Sdr. Shamsuddin Mahmud.

Persembahan Pelajar PASTI membaca doa dan hadith.
Persembahan Kalam Jamaie berkonsepkan 'choral speaking' yang menarik.
Selepas itu, para ibu bapa telah dihidangkan dengan persembahan para pelajar PASTI. Antara persembahan menarik ialah bacaan doa dan hadith, hafazan surah al Quran dan kalam jamaie berkonsep 'choral speaking' yang bertemakan nama-nama haiwan dalam Bahasa Arab.

Pengurus PASTI kawasan menyampaikan hadiah.
Ustaz Rijal turut menyampaikan hadiah.

Naib Yang DiPertua PAS kawasan, Hj. Mohd. Azhar menyampaikan sijil.

Salah seorang guru PASTI menerima cenderamata.
Para pelajar juga telah menerima hadiah berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun. Hadiah telah disampaikan oleh para tetamu khas. Antara kategori hadiah yang disampaikan ialah kedudukan terbaik dalam kelas dan terbaik mata pelajaran bagi kategori enam tahun dan lima tahun.

Dalam majlis itu juga, dua orang pelajar telah dianugerahkan sebagai Tokoh Pelajar PASTI Ibnu Rusyd 2013. Mereka ialah Adik Muhammad Naim bin Ahmad Nazri dan Adik Nurul Hazirah binti Khairul Hafles. Para guru PASTI turut menerima cenderamata sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak-anak PASTI.

intanhijau.blogspot.com

Kemenangan hari pertama tahun Hijrah – TG Nik Aziz



KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai  Limau semalam sebagai “kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H”.

Dalam entri terbaru di laman facebook beliau, Tuan Guru Nik Aziz memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

“Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau Kedah kelmarin (semalam).

“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS.
“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara, Insya Allah,” ujarnya.

PAS mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.

Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi.

Pada PRU ke-13  Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak (PAS) memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira jam 9.00 malam.
Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi,  145 kertas undi diisytiharkan rosak.

Dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995.
harakahdaily

Ahad, 3 November 2013

Bahasa Penyelidik ramal PAS menang di Sungai Limau

Badan penyelidikan Ilham Centre menjangka PAS akan mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau apabila mendapati sokongan untuk parti Islam itu antara 53 hingga 55% menjelang hari membuang undi pada pilihan raya Isnin ini.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar (gambar) dalam kenyataannya kepada media berkata, perolehan ini berdasarkan kajian mereka secara bersemuka dengan 602 pengundi di Sungai Limau sejak 28 Oktober hingga 1 November.

"Sepanjang tempoh kajian dijalankan, kami mendapati faktor identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi penyumbang kepada pengekalan undi PAS di sini," kata Hisomudin.

Ilham Centre adalah sebuah badan penyelidik yang mempunyai rekod pencapaian baik apabila jangkaan mereka menjelang pilihan raya kecil sentiasa tepat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada tahun 2008 lagi.

Metode bertemu responden secara bersemuka adalah antara kajian yang dibuat oleh Ilham dan ternyata ia mempunyai margin kesilapan sangat kecil.

Menurut Hisomudin, kajian kali ini mendapati pilihan raya kecil Sungai Limau memperlihatkan dengan jelas pertembungan antara PAS dengan Umno dan bukan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

Mereka juga mendapati pengundi Sungai Limau sangat tegar dan dipengaruhi oleh identifikasi parti berbanding faktor-faktor lain.

"Faktor ini menyumbang sebanyak 81% yang diambil kira oleh pengundi berbanding faktor calon (12%) dan faktor isu hanya 4% sahaja," kata Hisomudin.