JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Rabu, 26 Februari 2014

PERJUANGAN PAS BUKAN UNTUK TAKSUB INDIVIDU


Apabila Rasulullah wafat, Saidina Umar Alkhattab bangkit menyatakan dengan marah siapa yang kata baginda wafat maka akan dikenakan hukuman. Maka Saidina Abu Bakar Assidiq bangun dengan ungkapannya yang masyhur "Siapa yang menyembah Nabi Muhammad SAW sesungguhnya Nabi Muhammad sudah wafat, siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati". Ini dalil hendak menunjukkan bahawa ajaran Islam mengajar penganutnya hanya menyembah Allah tuhan yang esa bukannya menyembah makhluk. Ajaran baginda SAW hanya menyeru manusia menyembah Allah, bukan menyembah baginda. Baginda sebagai manusia biasa, cuma baginda mempunyai sifat maksum dan dianugerahkan wahyu oleh Allah SWT.

Maka asas inilah juga PAS sebagai sebuah Jamaah Islam yang bergerak dijaluran dakwah dan politik,  menyeru manusia supaya kenal Allah dan mengabdikan sepenuhnya kepada Allah bukan kepada manusia. PAS bertugas menyeru manusia supaya menghayati Islam sepenuhnya. PAS tidak ajak manusia supaya taksub kepada mana-mana individu di dalam parti. Ketaatan kepada pemimpin selagi mereka taat kepada Allah dan Rasul. Mereka akan keseorangan dan menjadi kera sumbang apabila mereka meninggal dan mengkianat parti. Ahli PAS hanya wala' kepada mereka apabila pemimpin wala' dengan Allah dan Rasul.

Firman Allah SWT bermaksud;
"sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku' (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka percayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang". (Al-Maidah 55-56).

Oleh sebab itu PAS pernah kehilangan Yang Dipertua PAS pertama Ustaz Haji Ahmad Fuad, apabila beliau mengikut Dato' Onn Jaafar. PAS tetap bergerak dipaksi perjuangannya. Bekas Setiausaha Agung Pas Ustaz Osman Abdullah keluar parti untuk menyertai Umno, beliau pernah manjadi ahli Parlimen Tanah Merah pada tahun 1959. Seorang yang hebat dan petah berpidato. Pernah mendapat didikan Parti Masyumi Indonesia yang dipimpin oleh Pak Mohd Nasir. Ustaz Osman juga pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat. Apabila beliau keluar parti tidak dapat mempengaruhi orang lain. PAS tetap utuh dan bergerak terus memacu perjuangannya tanpa memaling kekiri atau kanan. PAS pernah kehilangan Panglima Jihad Ustaz Hassan Adli, apabila beliau tidak bersama dengan keputusan pimpinan PAS yang membuat keputusan meletak jawatan dalam kabinet dan semua agensi kerajaan setelah PAS menentang Akta darurat di Kelantan pada tahun 1977.

PAS juga pernah kehilangan Datuk Asri Hj Muda bekas Yang Dipertua Pas Pusat. Seorang pemidato yang mempunyai suara serak basah, dengan penggunaan bahasa sasterawan yang tinggi. Seorang yang diasuh sebagai pejuang kemerdekaan bersama dengan hizbul Muslimin, akhirnya mengakhiri hidupnya dengan Umno. Sebuah parti yang ditentang sejak beliau remaja. Kehebatan beliau ketika memimpin PAS, sehingga orang menganggap bahawa PAS akan mati tanpa Asri. Sehingga musuh-musuh PAS menamakan PAS ialah "Parti Asri Sekeluarga". Namun apabila ketiadaan beliau PAS bangkit dengan gagah dengan wujudnya kepimpinan Ulama yang dikawal oleh Majlis Syura Ulama. Selepas ketiadaan beliau, PAS bergerak maju selari dengan Gerakan Islam Seluruh dunia. Dahulunya PAS sebagai parti yang dianggotai majoritinya pak lebai kampung sekarang tanzim PAS wujud diseluruh dunia. Penyertaan daripada kalangan cerdik pandai berbondong-bondong ke dalam PAS. Sebelum adanya kepimpinan Ulama, perjuangan PAS tidak mempunyai watak dan syaksiah yang berbeza dengan Umno. Persoalan tarbiah tidak diberi keutamaan. Mungkin kerana tidak ada orang yang menggerakkanya secara sistematik.

Pas pernah ditinggal oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad, tokoh pemikir PAS yang hebat. Beliau pernah menduduki kerusi Naib Presiden PAS dan Ahli majlis Syura PAS. Ustaz Nakhaei juga terkenal sebagai penulis yang hebat, banyak menulis buku-buku tarbiah. Penulisannya sentiasa hidup dan segar. Idea-idea beliau juga bernas dilontarkan ke dalam PAS. Hebat macam mana sekali pun, apabila beliau mengambil keputusan keluar parti sedikit pun tidak memberi kesan kepada PAS. Beliau hebat kerana bersama dengan PAS. Ahli PAS hanya akan ikut selagi ia berada bersama PAS. Jika beliau meninggalkan perjuangan, maka ibarat hidup sebatang kara.

Tan Sri Samad Idris bekas Menteri, pernah membayangkan “Faktor fanatik kepada perjuangan PAS tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan PAS, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Datuk Mohd. Asri dan Mohd Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap  melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)

Inilah bukti kejayaan tarbiah PAS. Ia tarbiah ahlinya supaya wala' kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Mereka ditarbiah, pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Mereka tidak akan ikut pemimpin yang meninggalkan parti. Mereka sudah diberi kefahaman awal supaya jangan taksub kepada pemimpin. Perjuangan yang menyeru supaya taksub kepada individu ia adalah satu penyelewengan dalam dakwah. Nabi Muhammad SAW tidak ajar pengikutnya supaya sembah kepada baginda, sebaliknya baginda menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT.
harakahdaily

Selasa, 25 Februari 2014

Saman RM2 juta: Ahli diminta bertenang, serah pada peguam

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar menyeru kepada seluruh ahli PAS agar bertenang berhubung perintah bayaran RM2 juta dalam penghakiman ingkar terhadap Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, PAS telah mengambil tanggungjawab menyerahkan kes itu kepada pasukan peguam PAS untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita telah mengarahkan pasukan peguam untuk mengambil proses perundangan sewajarnya, dan kita yakin peguam kita dapat kendalikan kes ini secara terbaik.

"Seluruh ahli PAS diminta bersabar dan banyakkan munajat agar dipermudahkan urusan peguam dan presiden kita dilindungi olah Allah SWT," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 17 Februari lalu mengarahkan Tuan Guru Abdul Hadi membayar saman RM2 juta dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh Mohd Shamsul bin Mat Amin, calon PKR DUN Bukit Besi, Terengganu.

Selain itu, Ahli Parlimen Marang itu juga diarahkan membayar 5% faedah dari writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.

Ini berikutan kegagalan Tuan Guru Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul sebelum ini.

harakahdaily

Rabu, 19 Februari 2014

DAH TERANG LAGI BERSULUH...APA LAGI ?


Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut:

- Mempertikaikan dua kalimah syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW.

- Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

- Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi.

- Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi’e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Quran

- Mentafsirkan semula al-Quran berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu

- Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Quran bagi menggantikan hadith

- Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad

Ahad, 16 Februari 2014

Bantah PBS: Himpunan 222 gugat kerajaan hanya dakyah



BANGI: Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) memberitahu "Himpunan 222: Mansuh PBS" akan diadakan di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi pada jam 1 petang berikutan terdapat satu arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Pegawai Pendidik Daerah Malaysia (MPPDM) yang meminta agar guru-guru tidak hadir himpunan yang diadakan di Putrajaya.

Himpunan aman itu dijangkakan dihadiri oleh 200 peserta akan turut dihadiri 15 badan bukan kerajaan (NGO) dan juga 10 orang tokoh pendidik negara ini bagi menyatakan bantahan terhadap  pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Jelas Pengerusi Penaja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari pada satu sidang media petang semalam, berikutan arahan tersebut SGMM mengambil pendekatan untuk mengubah lokasi himpunan tersebut.

"Himpunan yang kita jadualkan akan diadakan di pekarangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya telah kita ubah ke Masjid Bandar Baru Bangi.

"Ini berikutan satu arahan yang telah dikeluarkan oleh MPPDM yang mengarahkan agar guru-guru tidak hadir pada himpunan di Putrajaya itu.

"Berubahnya lokasi ini, KPM mahupun MPPDM tidak lagi boleh mengeluarkan apa-apa arahan agar guru tidak hadir kerana arahan mereka hanya tertumpu himpunan di Putrajaya sahaja, bukannya di Bandar Baru Bangi," jelas beliau.

Tegasnya lagi, apa-apa arahan yang dikeluarkan itu tidak terpakai kerana arahan pertama telah pun dikeluarkan dan jika masih terdapat arahan kedua ia adalah bertujuan untuk mengagalkan himpunan yang akan diadakan itu.

Beliau yang juga Ketua Gerak Kerja Kempen Mansuh PBS turut kesal dengan tuduhan Yang Dipertua MPPDM, Shafruddin Ali Hussin yang berkata himpunan berkenaan merupakan dakyah pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kerajaan dan menggugat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semata-mata, demi kepentingan diri.

"Saya di sini selaku Ketua Gerak Kerja untuk SGMM menegaskan beliau tidak sewenang-wenangnya menuduh gerakan ini dengan menyatakan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Sikap beliau yang memutar belit cerita amat memalukan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah, saya dengan tegas mendesak beliau untuk memohon maaf kepada seluruh guru Malaysia kerana menuduh kami ingin menjatuhkan kerajaan.

"Sebelum kita dari awal menyatakan ini adalah gerakan untuk menjamin masa depan anak-anak kita baik di sekolah atau di luar, ia berkaitan pendidikan bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Ini jelas dan perlu faham," tegas beliau.

Katanya lagi, semua pihak sama ada menteri atau Pegawai Pendidikan Daerah juga perlu hadir pada himpunan tersebut bagi melihat sendiri pengisian yang akan dilaksanakan.

"Kita minta semua hadir, ibu bapa dan juga termasuk mereka dari KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melihat sendiri apa yang kita lakukan pada himpunan tersebut.

"Himpunan itu bukan hanya desakan mansuh PBS tetapi kita akan sertai dengan program-program penerangan tentang pendidikan, kelemahan PBS yang sudah tidak dapat diperbaiki sehingga pelajar menjadi mangsa," sambung beliau.

Jelas beliau, himpunan tersebut akan dibatalkan serta merta jika KPM mengeluarkan arahan rasmi dalam memansuhkan pelaksanaan PBS sebelum himpunan itu diadakan.

Namun, tegas beliau jika KPM masih berdiam diri dan bertegas dengan pendirian serta alasan mereka, himpunan 222 ini merupakan satu permulaan kepada gerakan yang lebih besar di seluruh negara.

"Kita mahu kebaikan dalam sistem pendidikan negara, kita bukan ingin menentang kerajaan tetapi ingin menjadikan ia yang terbaik.

"Kita gesa segerakan pemansuhan PBS, sayangi anak-anak kita dan jangan jadikan mereka mangsa kepada sistem yang nazak itu," jelasnya.

Beliau yang turut mengulangi, gerakan ini bukannya berlandaskan politik dan hanya bertujuan untuk kebaikan pendidikan, namun dalam masa yang sama beliau mengalu-alukan sokongan semua pihak termasuk parti politik.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO Pendidik), Normala Sudirman.

Jumaat, 14 Februari 2014

RUMAH KARAM SINGH WALIA PULA KENA PECAH



SHAH ALAM: Kediaman wartawan TV3 Datuk Karam Singh Walia di Jalan Tun Abdul Razak, Taman Sri Andalas, Klang dipecah masuk sekumpulan perompak yang turut melarikan kereta miliknya dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Kamarulzaman Mamat berkata kejadian disedari isteri Karam yang berusia 55 tahun selepas menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada sistem penggera keselamatan kediaman pada pukul 4 petang.

"Selepas menerima SMS automatik daripada 'alarm' rumah yang menunjukkan rumah itu dipecah masuk, mangsa (isteri Karam) bergegas pulang dan mendapati kunci pada pintu pagar rumahnya telah dipecahkan.
  
"Pada waktu kejadian, rumah teres dua tingkat berkenaan tidak berpenghuni berikutan isteri Karam sedang bekerja di Shah Alam manakala Karam pula berada di Sabah atas urusan kerja," katanya menerusi SMS kepada Bernama hari ini.
  
Beliau berkata isteri Karam mendapati kereta jenis Volkswagen Passat milik wartawan itu yang diletakkan di dalam pekarangan rumah juga hilang.

Pemeriksaan di dalam rumah mendapati bilik tidur utama berselerak selain beberapa barangan berharga termasuk televisyen hilang, katanya.

"Jumlah kerugian sebenar kes ini masih belum diperoleh," kata Kamarulzaman yang menambah kata kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan. – Bernama

Fahami larangan sambut Hari Memperingati Kekasih



KUALA LUMPUR: Budaya berkasih sayang antara lelaki dan perempuan bukan mahram sudah berlaku sejak zaman-berzaman sehingga tidak menimbulkan rasa bersalah terhadap larangan yang ditentukan Allah SWT.

Atas sebab itu, usaha kesedaran harus dipupuk di kalangan anak-anak remaja hari ini agar memahami mengapa larangan itu dibuat, khususnya ketika menjelang Hari Memperingati Kekasih atau Valentine's Day yang diagungkan sesetengah pihak pada setiap 14 Feb.

Pegawai Hal Ehwal Islam (Bahagian Fatwa), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Ustaz Mat Jais Kamos, menegaskan usaha memupuk kesedaran itu perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan semua pihak memahami tentang larangan tersebut.

"Biarpun masalah sosial ini tidak mengira hari tertentu, biasanya pada hari-hari seperti hari ingati kekasih ini lebih ramai pihak yang teruja meraikannya dan akan menjerumuskan kepada perkara yang tidak baik," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdily, hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau Jabatan Mufti Selangor telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan larangan bagi mana-mana pihak meraikan sambutan Valentine, khusus kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan yang sah di sisi Islam.

Beliau ketika dihubungi sedang giat menyebarkan risalah berkaitan fatwa tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam petang tadi.

Sebelum itu, kumpulan beliau seramai 10 orang turut menyebarkan risalah fatwa tersebut di Sekolah Menengah Seksyen 22, Shah Alam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day.

Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

HARAKAHDAILY

Selasa, 11 Februari 2014

Jangan Keluar Rumah Jika Abu Gunung Berapi Sumatera Landa Malaysia - KP Kesihatan



KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tinggal di dalam rumah dan menutup semua pintu dan tingkap jika abu dari letupan Gunung Berapi Sinabung, Sumatera Utara terbang ke arah Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menasihatkan penduduk agar memakai topeng mulut atau menggunakan kain atau tuala basah sebagai alat perlindungan pernafasan jika udara tercemar.

"Kanak-kanak, orang-orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan hendaklah mengelak atau mengurangkan aktiviti luar dalam tempoh berkenaan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air, dan selalu membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengelak memandu dalam keadaan berabu oleh kerana ia boleh menyukarkan penglihatan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Gunung Sinabung berada dalam keadaan yang mudah meletup sejak 15 September dan letupan terbaru bermula pada 30 Januari mengakibatkan pelepasan abu panas ke udarapada ketinggian 5km.

Walaupun kemungkinan penduduk Malaysia terdedah kepada abu itu rendah, namun wujud kemungkinan berlaku hal sedemikian khususnya di pantai barat Semenanjung dan bahagian selatan negara.

Dr Noor Hisham berkata, mereka yang terdedah kepada abu berkenaan akanmengalami simptom gangguan mata, hidung, tekak dan kulit.

Beliau berkata kementerian akan terus memantau keadaan dan menasihatkan mereka yang menghidap masalah kesihatan berkaitan abu gunung berapi segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat. - BERNAMA

Ahad, 9 Februari 2014

ULAMA AKAN NAMPAK HEBAT APABILA ULAMA BERAMAL DENGAN ILMUNYA



TELUK INTAN, 8 Februari - Para ulama akan nampak kehebatannya apabila ia kembali kepada paksi asal. Demikian telah dinyatakan oleh Ustaz Mokhtar Senik, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Menjana Kehebatan Ulama' di majlis Nadwatul Muallimin Peringkat Zon Selatan negeri Perak. Program anjuran Dewan Ulama PAS Perak itu telah diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Teluk Intan, Kg. Padang Tembak dekat sini.

Menurut beliau, kehebatan ulama akan kembali dengan lima perkara yang perlu diberi perhatian oleh golongan itu. Pertama, ulama mesti sentiasa menambah ilmu dan lebih perlu lagi meningkatkan ilmu semasa selain ilmu fiqh Islami. Ini amat penting agar ulama sentiasa bersedia dalam menghadapi serta menyelesaikan persoalan semasa.
Ustaz Mokhtar Senik sedang membentangkan kertas kerja.
 
Ustaz Sidek Noor turut menyampaikan ucapan.
Kedua, ulama perlu memahami ilmu pengurusan dakwah dan organisasi yang kontemporari. Ilmu mengurus dakwah serta tahu perkara organisasi akan dapat menjadi ulama seorang yang terkehadapan dalam memimpin ummah. Ketiga, ulama juga perlu memiliki ciri kerohanian dan keperibadian yang mulia dan tinggi.  Ini adalah kerana ulama sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Keperibadian yang mulia hanya akan diperoleh melalui kerohanian yang tinggi.

Menurut beliau lagi yang juga merupakan ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, ulama akan nampak hebat apabila ulama beramal dengan ilmunya dan akhir sekali ulama perlu istiqamah melalui ilmu, rohani dan amalannya.
Sebahagian daripada peserta nadwah.
Pengarah program, Ustaz Wahab.
Sebanyak lima kawasan di zon selatan Perak telah menghantar peserta bagi program tersebut iaitu Tanjung Malim, Kampar, Bagan Datoh, Pasir Salak dan Teluk Intan selaku tuan rumah. Menurut pengarah program, Ustaz Abdul Wahab Dawam, kehadiran peserta ke Nadwatul Muallimin adalah di luar jangkaan di mana kehadiran telah melebihi 100 orang yang terdiri daripada para guru agama, imam, naqib dan lain-lain yang cintakan ilmu.

Menurut beliau lagi, selain Ustaz Mokhtar Senik, Ustaz Sidek Noor selaku Naib Ketua Dewan Ulama Perak turut menyampaikan ucapan.

Untuk akhirnya, Nadwatul Muallimin tersebut telah membuat satu resolusi iaitu :
1. Perlu ada penyusunan organisasi di peringkat ulama kawasan.
2. Urusan Ulama Kawasan perlu membuat perancangan tahunan dan dibentangkan di mesyuarat PAS Kawasan.
3. Ulama perlu turun ke medan masyarakat.
4. Ulama perlu memberi pandangan dalam mana-mana mesyuarat dengan tegas.
5. Ulama perlu meningkatkan lagi taqarrub kepada Allah.
6. Ulama perlu istiqamah dalam kerja-kerja jamaah walaupun sedikit.

intanhijau.blogspot.com

Selasa, 4 Februari 2014

PRK Kajang: PAS bantu PKR, jawatan MB tidak berbangkit

KUALA LUMPUR: Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat, maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi Pihan raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK Kajang.

“Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung PAS, malam tadi.

Mesyuarat itu, jelasnya telah membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair termasuklah PRK di Dun N25 Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan Adun Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.

Mesyuarat juga, kata beliau merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami.

“Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sehubungan itu, tegasnya PAS mendesak agar pihak tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.

harakahdaily

Sabtu, 1 Februari 2014

PAS TELUK INTAN MERANCANG MEMBINA SEBUAH KOMPLEKS



TELUK INTAN, 1 Februari - Perkembangan semasa memerlukan PAS Kawasan Teluk Intan mempunyai sebuah bangunan yang lebih besar dan luas serta dengan kemudahan prasarana yang lebih baik sesuai dengan besarnya peranan PAS pada masa kini.

Tambahan pula, sejak akhir-akhir ini kebanyakan aktiviti yang dilakukan di dalam dewan Markaz PAS Kawasan Teluk Intan agak sesak dengan kehadiran ahli dan penyokong yang semakin bertambah. Maka sudah sampai masanya, PAS Kawasan Teluk Intan mempunyai sebuah bangunan yang dapat menampung jumlah kehadiran dalam satu-satu masa.

Oleh itu, sebuah jawatankuasa pembangunan Kompleks PAS Teluk Intan telah ditubuhkan bagi menggantikan bangunan sedia ada. 


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) Tn. Hj. Ismail Johari, sebenarnya jawatankuasa tersebut telah ditubuhkan hampir dua tahun yang lalu tetapi aktivitinya terpaksa ditangguhkan kerana memberi tumpuan kepada gerak kerja PRU13 yang lalu.

Menurut beliau yang baru dilantik sebagai pengerusi yang baharu bagi sesi ini, KOMPASTI akan dibina bersebelahan bangunan markaz kawasan sedia ada di Kg. Padang Tembak. Saiz bangunan keseluruhan berukuran 60 kaki x 165 kaki yang menyediakan sebuah dewan serbaguna, bilik mesyuarat, pejabat PAS kawasan, bilik-bilik Dewan Pemuda, Muslimat, Urusan Ulama dan DHPP, bilik tetamu, ruang solat, tandas dan lain-lain.

Beliau berkata, kos pembinaan kompleks dianggarkan RM500 ribu dan pembinaannya akan dibina secara berperingkat. Sehubungan dengan itu, satu usaha pengumpulan dana pembinaan KOMPASTI telah dilancarkan pada Disember lalu di mana pihak jawatankuasa mensasarkan setiap ahli menyumbang RM1000 dalam tempaoh 25 bulan.

"Pihak jawatankuasa berharap usaha tersebut berjalan lancar dengan kerjasama setiap ahli-ahli cawangan.  Kami bermesyuarat setiap bulan bagi mendapat perkembangan terkini dari segi kutipan dan saya yakin ia akan berjaya. Contohnya, mesyuarat baru-baru ini, kita berjaya mengumpul lebih tiga puluh ribu ringgit," tambah beliau.

Pihak jawatankuasa KOMPASTI juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai melalui nombor akaun 08031010053085 Bank Islam Malaysia Berhad atas nama PAS Kawasan Teluk Intan. Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubung Hj. Ismail Johari 019 5790762 (Pnegerusi KPMPASTI) dan Hj. Mohd. Anuar Sudin 019 9135875 (Bendahari KOMPASTI).

intanhijau.blogspot.com

Program khas untuk para bloggers dan facebookers Pas untuk beramah mesra bersama Pesuruhjaya Pas Perak

 
Dengan sukacitanya Pas Perak menjemput para bloggers dan facebookers Pas untuk bersama dalam program 'Ramah Mesra bersama Pesuruhjaya Pas Perak, Tuan Haji Razman Zakaria' pada hari Selasa, 4 Februari 2014 jam 8.00 malam di Jade Hall (bawah pejabat Dap Perak dan berdekatan dengan Pejabat Perhubungan Pas Perak), Medan Istana, Ipoh.

Program anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media Pas Perak ini membuka peluang bagi semua bloggers dan facebookers Pas untuk lebih mendekati dan mengenali Pesuruhjaya Pas Perak yang baru sambil mendengar misi dan visi yang beliau akan sampaikan kepada anda semua.

Adalah diharapkan agar semua para bloggers dan facebookers Pas untuk hadir beramai-ramai bagi menjayakan program ini. Jemput rakan-rakan anda bersama.
 
Sumber : Ajijoi