PETALING JAYA: Penyanyi Erra Fazira menasihatkan gadis
beragama Islam di negara ini supaya akur dengan perundangan negara yang
melarang mereka daripada menyertai pertandingan ratu cantik.
Erra yang merupakan peserta beragama Islam terakhir menyertai
pertandingan ratu cantik tersebut pada 1992 berkata, dia percaya
undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan itu bertujuan melindungi
maruah wanita Islam.
"Ketika menyertai pertandingan berkenaan, saya juga berdarah muda
yang ingin mencuba sesuatu yang baharu tanpa berfikir kesannya jangka
panjang.
"Tambah pula waktu itu, undang-undang tidak diperketat lagi, jadi saya pun sertainya atas kemahuan sendiri.
"Tetapi apabila pertandingan itu melarang gadis Islam untuk
menyertainya, kita terpaksa akur. Siapalah kita untuk melawan
undang-undang," katanya.
Tambah Erra, ketika ini terdapat banyak saluran lain yang membolehkan
penyertaan gadis beragama Islam menyertai pertandingan seumpama itu
dengan garis panduan yang dibenarkan.
Erra diminta mengulas mengenai pembatalan penyertaan empat peserta
akhir pertandingan MMW2013 yang beragama Islam pada Selasa lalu.
Empat yang berkenaan ialah Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, Wafa
Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19 dan Kathrina Ridzuan, 20.
Keempat-empat gadis berkenaan bagaimanapun mempertikai larangan
Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam
pertandingan tersebut.
Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu
cantik yang diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran
Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa
menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan
untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan
berdosa bagi orang Islam.
Sementara itu, Erra berpendapat, penganjur pertandingan ratu cantik
antarabangsa dapat memberi kelonggaran terutamanya dari segi pemakaian
membabitkan wanita Islam.
"Mungkin sudah tiba masanya masyarakat luar melihat wanita Islam
dalam perspektif yang berbeza dengan melonggarkan syarat-syarat
penyertaan terutamanya daripada segi pemakaian.
"Ini kerana, pertandingan ratu cantik bukan dilihat hanya pada wajah
dan fizikal semata-mata, tetapi juga cara pemikiran seseorang dalam
melontarkan pendapat.
"Jadi, jika gadis Islam menyertainya, apa salahnya pihak penganjur
menghormati mereka dengan memberi kelonggaran pemakaian yang lebih
sopan. Kerana kecantikan bukan sahaja daripada luaran semata-mata,
tetapi juga pemikiran kita," tegasnya.(mstaronline)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan