KUALA LUMPUR: Umno diminta melaksanakan hudud di
negeri-negeri yang diperintah oleh BN dan bukannya mengusulkan
pelaksanaan undang-undang jenayah syariah itu ketika menjadi
pembangkang, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad.
Mengulas usul yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik agar Dewan Negeri Selangor
menggesa kerajaan negeri mengkaji keberangkalian melaksanakan
undang-undang hudud, Iskandar menyifatkannya sebagai “hanya bermain
politik”.
“Kenapa baru sekarang Umno hendak cadang bentang di Dewan? Mereka ada
lebih 50 tahun (memerintah Selangor) tetapi tidak melakukannya?
“Hanya setelah mereka menjadi pembangkang di Selangor barulah mereka
hendak bercakap tentang hudud?” ulas beliau ketika dihubungi
Harakahdaily.
Menurut beliau, PAS telah mengadakan penerangan kepada rakyat tentang
hukum jenayah syariah dan meluluskan enakmen berkaitan sebaik sahaja
mendapat kuasa di Kelantan.
“Di Terengganu pula, kerajaan BN negeri telah menolak pelaksanaan hudud di negeri itu,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sekali lagi
menegaskan bahawa Umno perlu melaksanakan undang-undang jenayah syariah
di negeri yang dikuasai mereka jika benar-benar ikhlas ingin
mendaulatkan syariat Islam dan tidak hanya bermain politik.
Kamarol Zaki dilapor telah menghantar usul kepada Dun Selangor agar
kerajaan negeri digesa mengkaji kemungkinan melaksanakan hudud.
Salinan usul yang dicadangkan di bawah peraturan 26 Peraturan Tetap Dun itu menyebut:
“Bahawa dewan yang mulia ini menggesa agar kerajaan negeri Selangor
mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa
hadapan di negeri Selangor selaras dengan peruntukan perlembagaan
persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama persekutuan.” - HARAKAHDAILY, 10/6/2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan