KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin
berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak
melakukan kesilapan dengan memilih penasihat yang salah hingga
menyebabkan kerugian kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU-13) yang lalu.
Selain itu menurut Daim, satu lagi penyebab utama kepada kekalahan BN ialah berkaitan masalah dalaman parti itu sendiri.
Daim berkata demikian dalam satu temu bual bersama China Press. Artikel berkenaan turut dimuat naik ke dalam blog wartawan veteran Datuk Abdul Kadir Jasin.
Temu bual itu turut diterbitkan semula dalam beberapa portal berita.
Selain itu Daim yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata
Najib terlalu mengharapkan populariti peribadinya bagi membantu BN
mendapatkan kembali majoriti dua per tiga kerusi Parlimen yang hilang
pada tahun 2008.
"Ini adalah pilihan raya parlimen, bukan pilihan raya presiden.
"Penasihat PM harus dipecat. Jika anda kaitkan undi BN sebagai undi
untuk Najib, maka keputusan BN yang lemah juga akan memberi kesan
kepadanya.
"Memilih kerajaan adalah perkara yang serius, jadi tinggalkan penasihat badut ini dan jangan ikut permainannya," kata Daim.
Menerusi temu bual itu juga, Daim turut menyalahkan BN yang
disifatkan gagal menggunakan sumbernya dalam usaha menawan kembali
kerusi di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Cina.
"Kawasan majoriti Cina sukar untuk ditawan dan BN tidak sepatutnya
membuang masa serta wang di kawasan berkenaan tetapi perlu memberi
tumpuan di kawasan yang mereka kalah dengan majoriti tipis pada 2008. BN
juga sepatutnya perkukuhkan penguasaan di kerusi yang mereka menangi
pada PRU-12.
"Terlalu banyak masa dan wang disia-sia di kawasan bandar yang
keputusannya sudah boleh dijangka," kata Daim bagi mengulas mengenai
perbelanjaan besar untuk majlis makan malam percuma dan konsert.
Tambah Daim, BN sepatutnya memberi tumpuan kepada isu yang dekat di
hati rakyat, seperti rasuah, urus tadbir yang baik, keselamatan,
pendidikan, kadar inflasi, kemiskinan bandar dan graduan muda.
mstaronline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan