Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik kenyataan keras
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Ali yang membayangkan haram bagi
umat Islam untuk mengundi MCA dalam pilihan raya ekoran kenyataan
terbaru Presiden MCA berhubung hudud yang didakwa menghina Islam.
DPPM menganggap Perkasa masih mempunyai iman di hati kerana sanggup
mempertahankan Islam dengan mengeluarkan kenyataan keras seperti ini
meskipun akan dibenci oleh pemimpin Umno BN serta rakan-rakan NGO mereka
yang lain.
Setidak-tidaknya Perkasa berani mengeluarkan kenyataan beramaran
tersebut yang pastinya akan menyentakkan pemimpin MCA. Kebenaran perlu
ditegakkan meskipun ianya pahit untuk ditelan.
Namun demikian DPPM merasa sedih kerana para pemimpin Umno masih diam
membatu dan ‘menikus’ untuk bangkit menegur atau mengherdik Presiden
MCA itu.
Para ulama dan cendikiawan Islam di dalam Umno juga ramai, tetapi
tidak ada seorang pun yang bangkit lantang menegur pemimpin MCA.
Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan pemimpin Umno menganggap itu
bukan suatu kesalahan.
Di sisi rakyat, kesalahan tersebut adalah suatu penghinaan terhadap
agama Islam. Kesalahannya terlalu serius dan tindakan keras perlu
diambil terhadap pemimpin seperti ini.
Lebih malang lagi, bukan sekadar tidak menegur, malah Umno masih lagi
berkompromi dan menjalinkan kerjasama padu dengan MCA melalui BN.
Seolah-olah kenyataan Presiden MCA yang terang-terangan menghina Islam
tidak memberi apa-apa kesan terhadap hubungan erat antara mereka.
MCA masih lagi diberi tempat, kerusi, kedudukan bahkan bersuara apa
sahaja yang mereka inginkan tanpa sekatan dan teguran dari pemimpin
Umno. Apakah nilai pemimpin Islam seperti ini?
DPPM percaya, umat Islam di negara ini merasa malu kerana mendapat
pemimpin negara yang begitu lemah sehingga ada pemimpin parti
komponennya yang menghina Islam lalu mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
Sehubungan itu, DPPM mencabar Perkasa keluarkan kenyataan dan
pendirian tegas berhubung sokongan terhadap UMNO dalam Barisan Nasional
dalam PRU13.
Jika mengundi MCA dianggap haram, mengundi Umno yang bersekongkol dengan MCA bagaimana pula?
Justeru, Jika benar Perkasa mahu mendaulatkan Islam dan menjaga kesucian Islam, mereka perlu tegas dalam menyatakan ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ sekalipun mereka akan dihina dan dicemuh oleh Umno.
Persimpangan ini perlu dipilih dan Perkasa perlu ikhlas dalam
menentukan hala tuju perjuangan mereka dengan berpandukan perkara
berikut: Mahu menjaga kepentingan agama Islam atau kepentingan politik
dan dunia yang sempit sehingga mengundang kemurkaan Allah SWT.
Ustaz Riduan Mohd. Nor
Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan