KUALA LUMPUR: PAS bersedia untuk bersama-sama
menyertai Himpunan Turun yang akan diadakan menjelang tahun baru akan
datang sebagai permulaan kepada siri-siri himpunan seterusnya.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli (gambar) melihat
himpunan yang akan diadakan pada malam 31 Dis anjuran NGO Gerakan Turun
Kos Sara Hidup (Turun) itu bersesuaian dengan perjuangan Pakatan
Rakyat.
Bercakap kepada Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga Penyelaras Gabungan
Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) menegaskan selepas Himpunan
Turun itu, PAS akan terus menyokong mana-mana himpunan yang diadakan
selepas itu, sekiranya bersesuaian dengan perjuangan PAS.
Sebagai contoh, katanya PAS akan sama-sama menggerakkan Himpunan
Bantah GST yang dirancang diadakan pada Hari Buruh, 1 Mei akan datang.
"Selepas Himpunan Turun, kita akan ada pula Himpunan Bantah GST.
Antara masa-masa tersebut, akan ada program-program yang diatur bersama
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai Penggerak Mobilisasi PAS
dengan kerjasama NGO lain," tegas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Hatta melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak
tertentu yang cuba melabelkan himpunan malam 31 Dis itu sebagai kononnya
himpunan untuk menggulingkan kerajaan.
Biarpun tidak tahu-menahu sekiranya ada gerakan yang akan mengadakan
himpunan sedemikian (guling kerajaan), Dr. Hatta berkata Pakatan Rakyat
dan NGO Turun tiada kaitan dengan himpunan tersebut.
"Semua tahu, Himpunan Turun itu bertujuan untuk membantah pesta
kenaikan barangan dan perkhidmatan. Berhimpun secara aman. Tidak timbul
isu guling kerajaan, bukan tujuan pun.
"Jadi, janganlah kerajaan bersikap antagonistik sangat apabila rakyat
berhimpun dengan aman. Kita hanya nak bersuara menyatakan bantahan
sahaja selepas pelbagai cara kita lakukan bagi mengelakkan kenaikan kos
hidup ini, sama ada melalui perbahasan parlimen, perbincangan,
penyerahan memorandum dan sebagainya," tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau yang berkemungkinan turut menyertai himpunan
itu menyeru ahli-ahli PAS untuk bersama-sama menyertainya di Dataran
Merdeka dengan suasana aman dan tenteram bagi memberi signal kepada
kerajaan tentang kepayahan rakyat.
intanhijau.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan