Berhadapan serangan daripada pelbagai pihak, Tan Sri Harussani
Zakaria (gambar) terus mempertahankan kenyataannya menggelar peserta
perhimpunan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai
golongan bughah (penderhaka) yang halal darah mereka kerana kononnya ia
sesuai dengan apa yang terkandung dalam ajaran Al Quran.
Mufti Perak itu berkata, kenyataan asal beliau adalah berdasarkan
demonstrasi yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan berikutan kos
sara hidup yang semakin meningkat tetapi nama “guling kerajaan” telah
ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai dan diganti dengan Gerakan
Turun Kos Sara Hidup (Turun).
“Bughah atau darah halal disebut dalam konteks membahayakan nyawa orang
lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan. Mereka kata mereka
benar tetapi cara mereka salah. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis
menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri.
“Saya kaitkan dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 9 yang
bermaksud: Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka
damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap
yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali
mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di
antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah),” katanya seperti
dilapor akhbar Sinar Harian hari ini.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Dr Khairudin Aman Razali berkata pada
Khamis, kenyataan Harussani itu sangat jahil mengkategorikan peserta
perhimpunan sebagai pemberontak malah lebih malang dan merbahaya apabila
darah peserta pula diisytiharkan sebagai halal.
Katanya, kenyataan Harussani itu amat mendukacitakan kerana ia
menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah dalam Islam
serta boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya
keharmonian antara rakyat.
Turut tidak bersetuju dengan Harussani adalah bekas Mufti Perlis, Dr
Mohamad Asri Zainal Abidin yang berkata, hanya mereka yang menentang
kerajaan dengan bersenjata dan memiliki kekuatan sahaja yang dikira
bughah.
Harussani berkata kenyataan yang dikeluarkannya bukanlah didalangi oleh
pihak tertentu atau faktor kewangan tetapi berlandaskan nas Al Quran.
“Walaupun diletakkan duit di depan saya dengan nilai setinggi RM10
bilion pun, saya tidak akan sesekali bercakap bukan daripada landasan
Islam. Apa yang saya kata berdasarkan firman Allah. Bukan saya reka,
jauh sekali mencari publisiti.
“Kita nak buat kerja agama kena jujur, jangan tukar kenyataan. Nak kata
apa, katalah. Banyak yang mengata, banyak juga yang menyokong saya.
Kenyataan asal saya disalah ertikan beberapa pihak hingga terjadi macam
ni,” katanya.
malaysianinsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan