KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tinggal di dalam rumah
dan menutup semua pintu dan tingkap jika abu dari letupan Gunung Berapi
Sinabung, Sumatera Utara terbang ke arah Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga
menasihatkan penduduk agar memakai topeng mulut atau menggunakan kain
atau tuala basah sebagai alat perlindungan pernafasan jika udara
tercemar.
"Kanak-kanak, orang-orang tua dan mereka yang mempunyai masalah
kesihatan hendaklah mengelak atau mengurangkan aktiviti luar dalam
tempoh berkenaan.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air, dan selalu
membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah," katanya dalam satu
kenyataan di sini, Selasa.
Beliau juga menasihatkan orang ramai mengelak memandu dalam keadaan
berabu oleh kerana ia boleh menyukarkan penglihatan yang boleh
menyebabkan kemalangan jalan raya.
Gunung Sinabung berada dalam keadaan yang mudah meletup sejak 15
September dan letupan terbaru bermula pada 30 Januari mengakibatkan
pelepasan abu panas ke udarapada ketinggian 5km.
Walaupun kemungkinan penduduk Malaysia terdedah kepada abu itu
rendah, namun wujud kemungkinan berlaku hal sedemikian khususnya di
pantai barat Semenanjung dan bahagian selatan negara.
Dr Noor Hisham berkata, mereka yang terdedah kepada abu berkenaan akanmengalami simptom gangguan mata, hidung, tekak dan kulit.
Beliau berkata kementerian akan terus memantau keadaan dan
menasihatkan mereka yang menghidap masalah kesihatan berkaitan abu
gunung berapi segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital
terdekat. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan