JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Rabu, 26 Februari 2014

PERJUANGAN PAS BUKAN UNTUK TAKSUB INDIVIDU


Apabila Rasulullah wafat, Saidina Umar Alkhattab bangkit menyatakan dengan marah siapa yang kata baginda wafat maka akan dikenakan hukuman. Maka Saidina Abu Bakar Assidiq bangun dengan ungkapannya yang masyhur "Siapa yang menyembah Nabi Muhammad SAW sesungguhnya Nabi Muhammad sudah wafat, siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak mati". Ini dalil hendak menunjukkan bahawa ajaran Islam mengajar penganutnya hanya menyembah Allah tuhan yang esa bukannya menyembah makhluk. Ajaran baginda SAW hanya menyeru manusia menyembah Allah, bukan menyembah baginda. Baginda sebagai manusia biasa, cuma baginda mempunyai sifat maksum dan dianugerahkan wahyu oleh Allah SWT.

Maka asas inilah juga PAS sebagai sebuah Jamaah Islam yang bergerak dijaluran dakwah dan politik,  menyeru manusia supaya kenal Allah dan mengabdikan sepenuhnya kepada Allah bukan kepada manusia. PAS bertugas menyeru manusia supaya menghayati Islam sepenuhnya. PAS tidak ajak manusia supaya taksub kepada mana-mana individu di dalam parti. Ketaatan kepada pemimpin selagi mereka taat kepada Allah dan Rasul. Mereka akan keseorangan dan menjadi kera sumbang apabila mereka meninggal dan mengkianat parti. Ahli PAS hanya wala' kepada mereka apabila pemimpin wala' dengan Allah dan Rasul.

Firman Allah SWT bermaksud;
"sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku' (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka percayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang". (Al-Maidah 55-56).

Oleh sebab itu PAS pernah kehilangan Yang Dipertua PAS pertama Ustaz Haji Ahmad Fuad, apabila beliau mengikut Dato' Onn Jaafar. PAS tetap bergerak dipaksi perjuangannya. Bekas Setiausaha Agung Pas Ustaz Osman Abdullah keluar parti untuk menyertai Umno, beliau pernah manjadi ahli Parlimen Tanah Merah pada tahun 1959. Seorang yang hebat dan petah berpidato. Pernah mendapat didikan Parti Masyumi Indonesia yang dipimpin oleh Pak Mohd Nasir. Ustaz Osman juga pernah menjawat jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat. Apabila beliau keluar parti tidak dapat mempengaruhi orang lain. PAS tetap utuh dan bergerak terus memacu perjuangannya tanpa memaling kekiri atau kanan. PAS pernah kehilangan Panglima Jihad Ustaz Hassan Adli, apabila beliau tidak bersama dengan keputusan pimpinan PAS yang membuat keputusan meletak jawatan dalam kabinet dan semua agensi kerajaan setelah PAS menentang Akta darurat di Kelantan pada tahun 1977.

PAS juga pernah kehilangan Datuk Asri Hj Muda bekas Yang Dipertua Pas Pusat. Seorang pemidato yang mempunyai suara serak basah, dengan penggunaan bahasa sasterawan yang tinggi. Seorang yang diasuh sebagai pejuang kemerdekaan bersama dengan hizbul Muslimin, akhirnya mengakhiri hidupnya dengan Umno. Sebuah parti yang ditentang sejak beliau remaja. Kehebatan beliau ketika memimpin PAS, sehingga orang menganggap bahawa PAS akan mati tanpa Asri. Sehingga musuh-musuh PAS menamakan PAS ialah "Parti Asri Sekeluarga". Namun apabila ketiadaan beliau PAS bangkit dengan gagah dengan wujudnya kepimpinan Ulama yang dikawal oleh Majlis Syura Ulama. Selepas ketiadaan beliau, PAS bergerak maju selari dengan Gerakan Islam Seluruh dunia. Dahulunya PAS sebagai parti yang dianggotai majoritinya pak lebai kampung sekarang tanzim PAS wujud diseluruh dunia. Penyertaan daripada kalangan cerdik pandai berbondong-bondong ke dalam PAS. Sebelum adanya kepimpinan Ulama, perjuangan PAS tidak mempunyai watak dan syaksiah yang berbeza dengan Umno. Persoalan tarbiah tidak diberi keutamaan. Mungkin kerana tidak ada orang yang menggerakkanya secara sistematik.

Pas pernah ditinggal oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad, tokoh pemikir PAS yang hebat. Beliau pernah menduduki kerusi Naib Presiden PAS dan Ahli majlis Syura PAS. Ustaz Nakhaei juga terkenal sebagai penulis yang hebat, banyak menulis buku-buku tarbiah. Penulisannya sentiasa hidup dan segar. Idea-idea beliau juga bernas dilontarkan ke dalam PAS. Hebat macam mana sekali pun, apabila beliau mengambil keputusan keluar parti sedikit pun tidak memberi kesan kepada PAS. Beliau hebat kerana bersama dengan PAS. Ahli PAS hanya akan ikut selagi ia berada bersama PAS. Jika beliau meninggalkan perjuangan, maka ibarat hidup sebatang kara.

Tan Sri Samad Idris bekas Menteri, pernah membayangkan “Faktor fanatik kepada perjuangan PAS tidak boleh diketepikan begitu sahaja, mereka setia dengan PAS, mereka sanggup dibakar hangus, direndam basah, dicincang lumat, oleh sebab itu Datuk Mohd. Asri dan Mohd Nakhaei keluar daripada parti mereka anggap  melukut tepi gantang”. Utusan Malaysia 13hb. Disember 1990)

Inilah bukti kejayaan tarbiah PAS. Ia tarbiah ahlinya supaya wala' kepada Allah, Rasul dan pemimpin. Mereka ditarbiah, pemimpin boleh datang dan boleh pergi. Mereka tidak akan ikut pemimpin yang meninggalkan parti. Mereka sudah diberi kefahaman awal supaya jangan taksub kepada pemimpin. Perjuangan yang menyeru supaya taksub kepada individu ia adalah satu penyelewengan dalam dakwah. Nabi Muhammad SAW tidak ajar pengikutnya supaya sembah kepada baginda, sebaliknya baginda menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT.
harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan