JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Isnin, 21 Oktober 2013

MENARIK ! PIMPINAN PAS BERCAKAP TENTANG MUZIK DAN CETAK ROMPAK


PAS keluar dari kebiasaannya malam tadi apabila berbincang soal seni dan budaya sambil berdialog bagaimana mahu melawan budaya cetak rompak yang menzalimi industri muzik tempatan.

Dengan diketuai sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mereka berbincang bagaimana mahu meningkatkan industri ini di samping meletakkan industri muzik di jalan yang tepat.
Bersama mereka adalah para penyanyi, pelakun, pembuat filem, budayawan, karyawan termasuk kartunis dan penyair tanah air.



 Antaranya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, tokoh sains dan matematik Profesor Shahrir Mohd Zin, budayawan Dinsman, penyanyi Mel dari kumpulan Wing, kartunis Zunar dan lain-lain nama besar lagi.


Turut serta adalah pelakon Abby Abadi dan suaminya serta penyanyi Wan Aisyah.

Antara pemimpin PAS yang menyertai dialog budaya ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib-naib Presiden Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar di samping dua exco kerajaan negeri Selangor.

Mel, Zua dari kumpulan XPDC dan juga Blank dari kumpulan rock Gamma telah membuat persembahan secara live di depan para pimpinan PAS termasuk Abdul Hadi.

"Budaya adalah fitrah manusia," kata Abdul Hadi yang menyokong aktiviti kebudayaan yang tidak bercanggah dengan Islam.

Namun, katanya, ada juga kebudayaan yang digunakan sebagai alat untuk merosakkan nama baik Islam.

"Misalnya filem Semerah Padi lakunan P Ramlee yang dibuat semasa zaman penjajahan dahulu. Ia sengaja memberikan nama tidak baik kepada hukum hudud," kata Abdul Hadi kesal kerana filem itu tidak memberikan gambaran yang betul tentang syariat Islam sehingga menakutkan orang terhadapnya.

"Mana ada mereka gunakan keperluan empat saksi untuk jatuhkan hukuman hudud?" kata beliau merujuk kepada filem yang memberikan gambaran salah tentang perundangan Islam itu.

Mohamad Sabu pula bercakap soal cetak rompak yang sangat tidak menghormati hak cipta dan karya seni negara.

"Ini semua berlaku kerana kita orang Melayu dan Islam hilang etika," kata Mohamad yang kesal dengannya.

Namun pembicara terbaik malam tadi adalah penyanyi Aishah yang memberikan gambaran jelas apa yang berlaku dalam industri muzik negara.

"Bayangkan tuan puan, negara kehilangan RM38 juta setahun kerana kegiatan ciplak, cetak rompak dan download lagu dan filem secara haram," kata Aishah kesal.

Beliau juga berkata, petugas industri tempatan juga selalu sahaja menghadapi kebanjiran pesaing mereka dari luar.
"Masa saya dahulu, Dangdut masuk. Sekarang K-Pop dari Korea Selatan pula yang mendapat tempat. Mana ada artis tempatan dapat bayaran sehingga RM1.6 juta," kata Aishah merujuk kepada laporan Audit Negara yang mendedahkan hal itu.

Bagi beliau, sebagai sebuah parti Islam, PAS perlu mengambil berat tentang industri hiburan ini kerana Malaysia negara ke-10 paling suka berhibur di seluruh dunia.

"Kalau kita tidak memberikan alternatif kita, orang lain akan ambil," kata Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manis Mu.
Beliau juga berkata, anak muda negara ini dipengaruhi oleh muzik dan berkata, "Kita tidak boleh berdakwah dalam masjid sahaja tetapi perlu keluar”.

"Kita perlu bagi hiburan jenis kita dan cara kita," kata Aishah yang bertanding sebagai calon PAS di Parlimen Jelebu dalam pilihan raya umum ke-13 lalu.

Di kalangan budayawan pula, mereka sangat kesal dengan sikap susah berkira kerajaan negeri Pakatan Rakyat khasnya Selangor dalam memajukan seni budaya.

"Nak minta RM10,000 untuk anjurkan program pun susah dan akhirnya melopong saja," kata Dinsman dalam ucapan panjang lebarnya.

Beliau juga kesal kerana Sasterawan Negara Samad yang tidak di manafaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR).

"Apa salahnya Pak Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu oleh Unisel dengan memberikan kemudahan kepada beliau untuk berkarya di samping memanafaatkan beliau?" kata Dinsman.

Exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab dengan pendidikan, Dr Halimah Ali, ketika memberikan respon terhadap cadangan berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada kerajaan negeri Selangor.

Namun cita-cita besar Pengerusi Lajnah Seni dan Budaya PAS, Dr Muhaimin Sulam amat menarik perhatian hampir 100 yang hadir malam tadi.

"Saya bercita-cita mahu jadi budaya ini satu kuasa baru selepas ekonomi. Kita gabungkan budayawan dan kuasawan (ahli politik)," kata Muhaimin.

Namun begitu, dalam ucapan aluannya, beliau juga melahirkan kekesalan dengan sikap sesetengah pihak dalam PAS sendiri yang hanya menggunakan khidmat budayawan dan seniman ini secara bermusim sahaja.

"Saya ingin tegaskan, kami bukan askar upahan tetapi pejuang sepanjang zaman," kata Muhaimin disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Pendekatan pertemuan malam tadi memberikan nafas baru selepas kemasukan beramai-ramai golongan seni ini ke dalam PAS sebelum pilihan raya umum lalu.

Di akhir majlis, Mohamad Sabu membuat kejutan apabila menghadiahkan kek untuk Abdul Hadi sempena hari jadi beliau yang ke-66 semalam.

Sambil menyanyikan lagu, Allah Selamatkan Kamu beramai-ramai, Abdul Hadi memotong kek itu dan Mohamad Sabu menyuapkannya ke mulut Abdul Hadi. – 21 Oktober, 2013.

malaysianinsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan