Dokumen rahsia yang didedahkan oleh media Jerman, Der Spiegel
menunjukkan nama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berada
di atas sekali dalam senarai yang diawasi oleh Agensi Keselamatan
Kebangsaan (NSA), Amerika Syarikat.
Senarai itu dikumpulkan pada 2009 dan mengandungi 122 nama pemimpin
dunia, bermula dengan Abdullah dan berakhir dengan bekas Perdana Menteri
Ukraine, Yulia Tymoshenko kerana ia disusun mengikut abjad.
Pemimpin lain termasuklah Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Syria, Bashar al-Assad.
Menurut akhbar itu, dokumen itu tidak memberikan maklumat yang cukup
untuk menentukan bentuk pengawasan, manakala NSA pula tidak memberikan
sebarang komen mengenainya.
Laporan Spiegel yang disiarkan pada Sabtu menyatakan bekas ejen CIA,
Edward Snowden adalah sumber kepada dokumen rahsia tersebut.
Menurut Snowden, hanya 12 nama yang dikongsikan dengan Spiegel,
termasuk Merkel, dan pada tahun lalu, telefon bimbit pemimpin Jerman itu
turut dirakam oleh NSA.
Akhbar itu juga melaporkan, agensi keselamatan British, Ibu Pejabat
Komunikasi Kerajaan (GCHQ) menceroboh masuk firma internet Jerman dan
arahan mahkamah diperolehi oleh NSA untuk mengintip Jerman.
Pendedahan baharu ini dibuat selepas kira-kira sebulan Putrajaya
memanggil diplomat Amerika dan Australia di Kuala Lumpur atas dakwaan
terlibat dengan rangkaian perisikan yang diketuai Amerika di Asia,
termasuk China dan Indonesia.
Berdasarkan pendedahan Snowden, laporan meluas dibuat menyatakan
Kedutaan Australia di Asia digunakan untuk merakam panggilan telefon
dan data.
Sebelum ini, Der Spiegel menyiarkan peta bertarikh Ogos 2010, yang
menunjukkan kehadiran 90 kemudahan perisikan elektronik di seluruh
dunia, termasuk di Kedutaan Amerika di Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan
Yangon.
Snowden mendakwa, Singapura membantu aktiviti perisikan ini, dengan
menggambarkan negeri itu sebagai pihak ketiga yang utama memberikan
laluan kepada sistem komunikasi Malaysia.
Snowden adalah pusat kepada pendedahan 200,000 dokumen yang menunjukkan
pencerobohan Amerika ke seluruh dunia, antaranya menunjukkan Washington
menjalankan stesen pengawasan di kedutaannya di Kuala Lumpur bagi
merakam dan mengawasi telefon dan rangkaian komunikasi. – 30 Mac, 2014.
malaysianinsider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan