KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak
meminta agar semua agensi kerajaan negeri agar membatalkan semua bentuk
hiburan di dalam program-program yang akan diadakan bagi menghormati
anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi di Lahad Datu, Sabah.
“Kami mahu rakyat insaf dan terkesan dengan insiden seumpama ini dan
mana-mana program hiburan yang dirancang jelas menunjukkan
ketidakprihatinan kita bagi menghormati wira-wira negara yang telah
terkorban,” ujarnya Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri al-Amin (gambar) dalam satu kenyataan.
Katanya, PAS Perak dimaklumkan ada beberapa program besar yang
dirancang oleh kerajaan negeri nanti akan diselitkan dengan pengisian
hiburan.
Tambahnya, PAS negeri merasakan ianya sesuatu yang amat
mendukacitakan bagi rakyat jika perkara itubenar dan pihak kerajaan
negeri masih mahu meneruskan program tersebut tanpa mengambil kira
sensitiviti keluarga wira-wira negara yang terkorban.
Katanya, ketika kejadian tsunami yang pernah berlaku pada akhir
Disember 2004 lalu, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Mohamed Ghazali, yang
ketika adalah Menteri Besar Negeri Perak telah membatalkan semua bentuk
hiburan termasuk sambutan malam ambang tahun baru yang telah dijadikan
acara tahunan.
“Justeru itu, kami mengharapkan terutamanya Datuk Seri Dr Zambry Abd.
Kadir seorang yang berkelulusan agama akan dapat memastikan agar semua
bentuk hiburan yang dimasukkan di dalam program-program kerajaan negeri
ini akan dibatalkan,” ujarnya.(HARAKAHDAILY)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan