JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Jumaat, 25 April 2014

Hudud: PAS akan beri taklimat kepada DHPP, orang ramai



KUALA LUMPUR: Satu taklimat penerangan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah II yang merangkumi hukum hudud akan diadakan kepada pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam tempoh terdekat.

Taklimat yang dijadualkan di Kuala Lumpur itu akan diadakan secara tertutup bagi memudahkan pimpinan DHPP mendapat penjelasan secara lebih efektif berhubung enakmen yang menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata taklimat tertutup itu akan melibatkan semua pimpinan DHPP di peringkat pusat dan negeri, dan seterusnya beberapa taklimat serta himpunan khas untuk untuk orang ramai.

"Kita sedar, ramai di kalangan ahli DHPP sendiri yang tidak jelas dengan enakmen dan hukum hudud ini sendiri hingga menyukarkan mereka untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam.

"Justeru, PAS Pusat telah memutuskan untuk mengadakan taklimat tertutup berkaitan enakmen ini dalam tempoh terdekat kepada pimpinan DHPP terlebih dahulu, sebelum program lain yang akan dibuka untuk orang ramai," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga baru dilantik sebagai Penasihat DHPP, turut memaklumkan bahawa satu pertemuan dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PKR akan diadakan pada Selasa, 29 April ini di Pejabat Agung PAS.

Katanya, pertemuan itu merupakan satu pertemuan khusus bagi membincangkan dan menjelaskan secara terperinci berkaitan enakmen tersebut kepada rakan-rakan dalam pakatan.

Hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membawa usul persendirian bagi membincangkan soal Enkmen Jenayah Syariah II ke parlimen menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam.

Beberapa siri bantahan dilakukan beberapa NGO bukan Islam, selain dari MCA sendiri berhubung hasrat kerajaan negeri tersebut.

Malah, sebelum ini DHPP turut menyatakan keresahan apabila terdapat sebilangan ahli DHPP sendiri yang tidak jelas dan faham berkaitan enakmen tersebut yang hanya dikenakan ke atas mereka yang beragama Islam sahaja.

Ekoran itu, DHPP menggesa PAS Pusat mengambil langkah segera dan proaktif untuk memberi penerangan khusus kepada DHPP sendiri bagi memudahkan usaha ahli-ahli DHPP untuk menerangkan kepada masyarakat bukan Islam.

harakahdaily

Khamis, 24 April 2014

GERAKAN UGUT AMBIL TINDAKAN MAHMAKAH JIKA LAKSANA HUDUD : HANIPA MAIDIN BALAS


Pertama saya selaku Pengerusi Lajnah Undang Undang PAS mengucapkan terima kasih pada Parti Gerakan di atas surat atau notis undang undang bertarikh 24.4.2014 yang dihantar kepada PAS berkenaan isu hudud.

Keduanya,PAS yang mendokong amalan demokrasi termasuk kebebasan bersuara menghormati hak dan kebebasan parti Gerakan melalui sayap pemudanya atas pandangan mereka berkenaan hudud itu. PAS mungkin tidak setuju dengan pandangan Gerakan namun yakin dan percayalah kami akan mempertahankan hak dan kebebasan bersuara anda dengan segala kudrat kami.

Ketiganya, jika dilihat kepada isi kandungan surat itu sebab utama penentangan Gerakan kepada hasrat perlaksaaan hudud oleh PAS adalah berkisar kepada isu Perlembagaan.  Gerakan berpendapat undang undang hudud bertentangan dengan Perlembagaan kerana dikatakan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan bahawa hudud boleh dilaksanakan.

Amat malang pihak Gerakan hanya menyatakan secara umum bahawa hudud bertentangan dengan Perlembagaan namun tidak dinyatakan peruntukan mana di dalam Perlembagaan yang dikatakan dilanggar oleh PAS atau Kerajaan Kelantan. Ketiadaan perincian dakwaan mereka ini menimbulkan andaian adakah pihak Gerakan menghantara notis tindakan undang undang kepada PAS hanya berdasarkan sentimen semata mata dan sikap gopoh tanpa terlebih dahulu menghalusi Perlembagaan dan peruntukkan di dalamnya.

Dakwaan Gerakan dalam Notis mereka kepada PAS bahawa kewujudan hukum hudud akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam negara kita adalah, dengan hormat, satu dakwaan yang gopoh, tidak berasas dan juga menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang  perjalanan sistem undang undang jenayah dalam negara ini.

Untuk makluman Gerakan, kewujudan dua sistem jenayah dalam negara ini telah pun wujud sejak Perlembagaan Persekutuan itu wujud. Sejak awal lagi negara kita dan Perlembagaan merestui kewujudan dua sistem jenayah itu iaitu jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan jenayah syariah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah. Oleh itu sama ada hudud wujud atau tidak , hakikatnya negara kita telah pun mempunyai dua sistem jenayah dan ini diperuntukkan oleh Perlembagaan. Nampaknya bukan Pas yang melanggar Perlembagaan sebaliknya hujah Gerakan yang menyalahi Perlembagaan.

Malahan jika kita mengambil kira wujudnya Mahkamah Tentera yang membicarakan kes jenayah yang melibatkan tentera maka terdapat lebih dari dua sistem jenayah dalam negara kita. Bagaimana pula dengan kewujudan mahkamah seperti Mahkamah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga diberi kuasa membicarakan kes saman berunsur jenayah!

Apa pun kita patut memuji Gerakan kerana meskipun mereka menghantar Notis yang boleh dikatakan pra matang kepada PAS, mereka tidaklah dilihat menghina hukum hudud seperti para pemimpin Umno, sekutu mereka yang beragama Islam , yang pernah dan diketahui menghina hukum hudud  secara terbuka sebelum ini.

Alexender Pope menyatakan " Little knowledge is dangerous thing" maka atas ruh kata kata tersebut saya ingin menasihatkan pemimpin Gerakan pelajarilah hukum hudud sebelum kamu ingin menentangnya. Adil kah menentang hudud tanpa mengetahui dan  memahami undang undang hudud itu terlebih dahulu ?

Saya juga berharap Gerakan juga perlu bersikap konsisten. Mengapakah kita tidak mendengar Gerakan menentang undang undang zalim dan drakonian seperti ISA , Akta Hasutaan, Akta Penerbitan Dan Pencetakan, SOSMA , Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi.

Mengapakah apabila kerajaan BN luluskan Akta Pencegahan Jenayah yang mengembalikan kuasa menahan tanpa bicara Gerakan tidak membantah malahan menyokong. Bukankah ia adalah Akta yang zalim dan melanggar hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan?Mengapakah tiada notis dihanta kepada Umno , MCA dan MIC?

Adakah Gerakan sedar dan tahu bahawa tiada penahanan tanpa bicara dalam hudud malahan prinsip dalam undang undang jenayah Islam jauh lebih baik iaitu "lebih baik hakim tersilap bebaskan 10 orang bersalah dari hakim tersilap sabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah".

Saya mengambil kesempatan ini mengajak Gerakan untuk kita sama sama berdialog atau berdebat secara rational dan matang dalam isu hudud ini. Gerakan sediakanlah tempat, tarikh dan masa insya Allah PAS bersedia datang bila bila masa.

*Penulis adalah Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS merangkap Ahli Parlimen Sepang.

Isnin, 14 April 2014

TUKAR PEMERINTAH, BUKAN TUKAR KERAJAAN - TIMBALAN PRESIDEN



TELUK INTAN, 13 April - Doktrin yang tidak benar mengatakan menumbang UMNO/BN bermakna menukar kerajaan perlu dibetulkan dalam pemikiran sebahagian besar rakyat negara ini. Demikian ditegaskan oleh Timbalan Presiden PAS, Hj. Muhammad Sabu semasa menyampaikan ucapan di dalam Majlis Sepetang Bersama Mat Sabu. Majlis telah diadakan di Kg. Sungai Samak dekat sini.

Menurut beliau, sebahagian orang Melayu masih beranggapan bahawa menumbangkan UMNO/BN dalam pilihan raya bermakna menukar kerajaan sedangkan yang ditumbangkan hanya UMNO/BN sahaja sebagai pemerintah tetapi kerajaan tetap sama iaitu kerajaan Malaysia.
Timbalan Presiden bersama Pesuruhjaya PAS Perak, Hj. Razman.

"Inilah akibatnya jika terlalu lama memerintah negara sehingga tidak dapat membezakan di antara kerajaan dengan parti. Kalau kita lihat di luar negara, banyak negara maju yang pemerintahnya sering bertukar. Jepun contohnya, sering bertukar perdana menteri tetapi negara matahari terbit itu bukan mundur malah semakin maju lagi," ujar beliau lagi.

Menyentuh isu GST, beliau memberitahu, cukai barangan dan perkhidmatan itu belum sampai masanya dilaksanakan di negara ini. Ini adalah kerana bilangan pembayar cukai di negara ini masih rendah berbanding dengan negara lain. Lagipun, wujudnya unsur kezaliman dalam GST di mana seluruh rakyat akan kena cukai tidak sama ada golongan kaya ataupun miskin.

Oleh itu, tegas Timbalan Presiden PAS itu lagi, sudah sampainya rakyat menyuarakan bantahan dengan hadir beramai ke perhimpunan pada 1 Mei nanti di Kuala Lumpur.

Beliau berucap dalam sebuah majlis santai minum petang di Kg. Sungai Samak. Kehadiran penduduk setempat begitu menggalakkan.
Pengerusi Lujnah Penggerak Demokrasi negeri, Hj. Rahim Nordin menyampaikan ucapan.
Pesuruhjaya PAS Perak, Hj. Razman turut menyampaikan ucapan.

Majlis turut bertambah seri dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS negeri Perak, Hj. Razman Zakaria. Beliau turut menyampaikan ucapan dan banyak menyentuh tentang isu kenaikan harga barang dan harga getah yang rendah.
Penyampaian bola futsal dan takraw kepada anak-anak muda.
Hj. Muhammad Sabu menerima borang ahli baru PAS dari wakil Ladang Ulu Bernam.






Dalam majlis yang sama, Hj. Muhammad Sabu telah menyampaikan bola futsal dan bola takraw kepada  anak-anak muda kampung. Selain itu, beliau juga turut menerima borang permohonan ahli PAS daripada wakil anak-anak muda Ladang Ulu Bernam.


 Turut hadir ialah pimpinan PAS kawasan dan cawangan. Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Lujnah Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Perak dan PAS Kawasan Teluk Intan.

intanhijau.blogspot.com

Ahad, 6 April 2014

PAS TIDAK BERMUSIM CINTA PADA NABI



BALING: PAS tidak bermusim dalam menunjukkan sayang kepada nabi sebaliknya membuktikan sayang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan meneruskan perjuangan nabi menegakkan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mengingati Nabi Muhammad dengan cara menganjurkan program berselawat adalah baik tetapi dalam masa yang sama mesti membuktikan kasih sayang kepada nabi.

"PAS cinta pada nabi. Nak sehidup semati dengan nabi. Nak berjuang, nak tunjuk ajaran nabi yang ditegakkan oleh nabi. Dengan pengorbanan dan perjuangan. Kita tak main-main. Kita tak bermusim dalam perkara ini.

"Ada orang ada masa sayang nabi, sayang nabi; masa rasuah - rasuah, masa umrah - umrah.

"PAS tak macam itu. Ini cakap kita, inilah amalan kita jika diberikan amanah untuk rakyat," katanya sewaktu berucap di Himpunan Derita Rakyat Baling 2.0 di Pekan Kupang, malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang menganjurkan program Malam Cinta Rasul, malam tadi.

Katanya, kerajaan seolah-olah tidak memahami derita rakyat sebaliknya hanya mampu menganjurkan program agama sedemikian.

"Alhamdulillah bagus selawat. Selawat menandakan kasih kepada nabi. Sayang pada Nabi Muhammad. Sayang pada nabi bukan sahaja berselawat termasuk berjuang cara nabi.

"Teruskan perjuangan nabi, perjuangkan ajaran nabi. Pertahankan nabi, pertahankan ajaran yang adil untuk semua, menyenangkan rakyat

"Berselawat menyebut nama nabi tapi dalam masa yg sama tidak mengikut nabi ini mempersendakan nabi," katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin.

Walaupun hujan lebat namun hadirin tidak berganjak dari tempat program yang bermula sejak petang lagi.

Rakyat yang majoritinya petani datang mendengar ucapan pimpinan parti politik dan NGO yang memperjuangkan isu kejatuhan harga getah.

Mereka menuntut kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkaitan petani yang membelenggu mereka.

harakahdaily

PEMBANGUNAN TERPILIH DI TAMAN CICELY


TELUK INTAN, 6 April - Empat hari yang lalu, beberapa batang jalan di kawasan Taman Cicely telah diturap semula. Alhamdulillah, sememang amat wajar jalan-jalan di kawasan ini diturap semula kerana keadaannya tidak begitu baik kepada pengguna jalan tersebut.
Dua jalan di atas yang diturap semula merupakan jalan di kawasan orang kuat UMNO Cicely.
Namun hasil pemerhatian, kebanyakan jalan-jalan yang diturap semula itu hanya melibatkan jalan-jalan yang tidak begitu perlu diturap dengan segera. Yang menimbulkan persoalan penduduk di sini ialah jalan-jalan yang diturap itu melibatkan jalan menuju ke kawasan kediaman orang kuat UMNO Cicely. 

Gambar di atas pula menunjukkan jalan utama yang telah rosak tetapi tidak dibaiki.
Sedangkan beberapa jalan lagi yang perlu dibaiki segera yang digunakan oleh penduduk sekitar. Jalan tersebut dalam keadaan yang teruk seperti berlubang, pecah dan lain-lain. Ia sering digunakan oleh orang ramai terutama para pelajar sekolah.

PEMBANGUNAN TERPILIH ? SIAPAKAH YANG MENENTUKAN PENURAPAN JALAN TERSEBUT ?

Sabtu, 5 April 2014

UMNO BUAT SURAU, MENARI PUN BUAT JUGA ...!



MUAR: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini turut hadir memeriahkan Karnival 60 Tahun PAS Johor yang berlangsung di Parit Tarom di sini.

Dalam ceramah 'warming up' petang tadi, tokoh Umno itu turut berkongsi rahsia kenapa beliau bertindak keluar dari parti yang dia begelumang sekian lama, dan menyertai PAS.

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, beliau nekad meninggalkan Umno selepas menyedari bahawa hidup ini bukan hanya bermatlamatkan dunia semata-mata tetapi akan menuju ke alam akhirat.

"Kita nak selamat dunia akhirat. Nabi Muhammad SAW pesan kalau nak selamat kena ikut al-Quran dan Sunnah.

"Zaman Umno, memang buat surau, pergi haji, umrah sembahyang terawih, tapi rohnya tidak ada.

"Yang betul buat jugak, yang tak betul pun buat jugak, menari pun buat jugak," kata beliau yang lebih popular dengan gelaran Mat Taib.

Menurut Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat itu lagi, sistem pemerintahan negara ini kian rosak dengan pemimpinnya pula tidak berminat untuk membetulkan keadaan seperti diajar agama.

"Khatib di masjid tadi sebut tugas kita 'amar makruf nahi mungkar' (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran).

"Keluar masjid buka TV, tengok makruf banyak ke atau mungkar banyak," soal beliau sambil menekankan bahawa pemimpin sekarang harus ditukar.

Turut serta pada ceramah itu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu serta Pesuruhjaya PAS Johor Aminolhuda Hassan.

Malam ini, ketiga-tiga mereka akan sekali lagi berceramah sempena majlis perasmian Karnival 60 Tahun PAS Johor itu.

harakahdaily

Khamis, 3 April 2014

Malaysia Dijangka Sekali Lagi Berdepan Musim Kering Yang Panjang - Pakar



PETALING JAYA: Musim hujan telah bermula, tetapi berita baik ini tidak mungkin baik sepenuhnya.

Walaupun musim perantaraan monsun telah bermula, para pakar berkata satu lagi musim kering yang panjang dijangka akan dialami antara Jun dan Oktober tahun ini.

Pakar Iklim dan Biodiversiti, Faizal Parish berkata musim perantaraan monsun semasa yang dijangka berlaku sehingga pertengahan Mei akan menyaksikan hujan yang turun tidak sebanyak tahun-tahun sebelumnya.

"Kita mungkin untuk berdepan satu lagi tempoh kering yang panjang dari bulan Jun hingga Oktober tahun ini, menurut ramalan terbaharu oleh Pusat Meteorologi Khas Asean di Singapura. Kita juga dijangka menerima hujan yang kurang daripada biasa pada April," katanya.

"Jika tidak ada hujan yang cukup menjelang dua bulan akan datang, rizab air masih berada pada paras rendah semasa musim kering akan datang, dengan kemungkinan kita berdepan sekali lagi masalah kekurangan air dan catuan akan diteruskan."

Katanya, musim kering yang kedua itu juga akan membawa kepada keadaan jerebu dengan risiko kebakaran hutan di tanah tinggi dan tanah gambut.

Musim panas dan kering sepanjang bulan Januari dan Februari baru-baru ini telah menyebabkan paras air di empangan jatuh ke tahap yang hampir kritikal.

Pihak berkuasa terpaksa mengenakan satu langkah catuan air di Lembah Klang, yang kini memasuki fasa keempat, menjejaskan kira-kira 6.7 juta orang.

Faizal yang juga Pengarah Pusat Alam Sekitar Global di sini menambah musim kemarau yang berlaku telah dikaitkan dengan perubahan iklim global, dan keadaan melampau itu akan menjadi lebih kerap bukan sahaja di Malaysia.