JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Khamis, 18 September 2014

Jangan sampai ada dua, tiga presiden



KULAIJAYA: Ahli PAS di semua peringkat perlu memberikan hak kepada pimpinan tertinggi parti khususnya Presiden, Majlis Syura dan PAS Pusat, untuk memimpin parti.

Gesaan itu dinyatakan perwakilan Dewan Ulamak dari Kedah, Ustaz Ahmad Yahya ketika membahaskan Ucaptama Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat hari ini.

Bagaimanapun Ahmad dalam nada sinis berkata, dalam memberi hak itu jangan pula sampai berlaku seolah-olah wujud dua atau lebih presiden.

"Kita beri hak kepada Presiden, tapi jangan ada dua, tiga presiden. Sukar nanti untuk dia mempimpin.

"Kita beri hak kepada pesuruhjaya negeri, tapi jangan ada dua atau tuga pesuruhjaya negeri.

"Saya yakin jika diberi hak kepada pemimpin mereka dapat memimpin dengan baik," katanya di Muktamar Dewan Ulamak PAS ke-53 yang berlangsung di IOI Palm Villa Golf and Country Resort hari ini.

Terdahulu beliau mengingatkan bahawa ruang demokrasi dalam PAS sentiasa terbuka untuk ahli menyarakan pandangan.

Bagaimanapun ujar Ahmad, ianya perlu digunakan dengan berkahlak dan jangan sampai menghina, memperlekeh pimpinan sehingga menjadi pecah belah.

Apa yang penting ketika ini ujarnya, PAS perlu terus melangkah ke hadapan dengan segala cabaran yang mendatang dan bukan tersekat dengan perbalahan dalaman.

Menurutnya, cabaran paling dekat adalah Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor manakala dan seterusnya Pilihan Raya Negeri Sarawak.

"Kita perlu lihat ke hadapan, bukan lagi sibuk berkelahi dan berbalah," katanya. - HARAKAHDAILY 17/9/2014

Rabu, 17 September 2014

Hentikan budaya label-melabel - Suhaizan Kaiat



KOTA TINGGI, 16 Sept - Ketua Pemuda PAS Malaysia Saudara Suhaizan Kaiat mengajak semua pejuang muda untuk bermuhasabah dan menghentikan budaya label melabel yang bakal membawa parti ke arah yang tidak diinginkan.


"Saya meminta kita menghentikan budaya label melabel, tohmah mentohmah dan hina menghina. Orang tua-tua kita pesan bagai belacan dikerat dua: yang pergi busuk, yang tinggal hanyir."

Bercakap di Dewan Choon Moi, Kota Tinggi, Johor, beliau mengajak golongan muda untuk menumpukan kepada gerak kerja kepemudaan dan menghentikan perbincangan perkara-perkara remeh yang kelak merugikan parti. Ini bertepatan dengan tema ucaptama kali ini iaitu memperkukuh maufakat di kalangan ahli.

Tema yang dipilih kali ini menepati realiti mutakhir yang dihadapi PAS dan Pakatan Rakyat. Selain itu, ia diharap agar permuafakatan dalaman diteguhkan dan perbezaan pandangan antara pemuda dapat diuruskan dengan bijaksana dan mendukung adab ikhtilat supaya pemuda tidak tersasar daripada matlamat besar dihadapan.

Muktamar PAS kali ini diadakan di tiga tempat berbeza. Pemuda di Kota Tinggi, muslimat di Pulai Spring dan ulamak di Kulai Jaya.


Rabu, 10 September 2014

PAS TELUK INTAN ZIARAH VETERAN PARTI



TELUK INTAN, 10 September - Usaha menjejaki veteran parti merupakan salah satu aktviti yang sedang dilakukan oleh PAS Kawasan Teluk Intan. Ia bertujuan menimba pengalaman serta sebagai satu usaha menghargai sumbangan semasa mereka menjadi pemimpin.

Baru-baru ini, wakil PAS Kawasan Teluk Intan telah menziarahi seorang lagi veteran parti. Beliau ialah Hj. Hafith Jaafar, 73, di kediaman beliau di Kg. Tersusun Simpang Empat Balai Polis, Chenderong Balai dekat sini.

Turut serta dalam program ziarah tersebut ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan Rahmat Maliki, Bendahari PAS Kawasan Hj. Mohd. Anuar Sudin, ahli jawatankuasa PAS kawasan Hj. Ismail Johari serta Hj. Abdul Majid.
Hj. Hafith, pernah bertanding dua kali pilihan raya.

Hj. Hafith pernah bertanding dua kali dalam pilihan raya. Beliau pernah mewakili PAS bertanding di PRU 1978 bagi DUN Hutan Melintang. Seterusnya, diamanahkan oleh parti bertanding pula di peringkat Parlimen Teluk Intan dalam PRU 1990.

Selain itu, semasa terbentuk kerajaan campuran BN-PAS, beliau pernah menjadi ahli Majlis selama dua penggal. Di dalam PAS Kawasan Teluk Intan pula, Hj. Hafith pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha PAS kawasan dan Ketua Penerangan PAS kawasan sekitar 80-an dan 90-an. Di samping itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua PAS Cawangan Bandar (kini Pasir Bedamar) selama 10 tahun.

Di dalam pertemuan penuh mesra itu, beliau menasihati PAS Kawasan Teluk Intan agar memperbanyakkan lagi cawangan dan ahli demi kelestarian parti bagi jangka masa panjang. Ia juga sebagai satu strategi menghadapi pilihan raya dengan satu cawangan satu unit peti undi (UPU).
Hj. Hafith menyerahkan sumbangan untuk kompleks PAS.
Cenderamata tanda penghargaan.
Beliau juga berbangga dengan usaha pihak PAS Kawasan Teluk Intan yang berusaha membangunkan sebuah bangunan baru. Oleh itu, beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM6000 kepada pihak kawasan atas nama beliau dan arwah isteri beliau.

Di penghujung pertemuan, pihak PAS Kawasan Teluk Intan menyampaikan cenderamata kepada Hj. Hafith sebagai tanda penghargaan jasa beliau. Sumbangan telah disampaikan oleh Hj. Mohd. Anuar Sudin.

intanhijau.blogpsot.com

Selasa, 9 September 2014

KEKUATAN PAS KERANA DASAR ISLAM



TELUK INTAN, 1 September - Selama 63 tahun PAS berada di persada dakwah dan siasah tanah air namun PAS tetap utuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran luar dan dalam. Rahsia kekuatan PAS yang sebenar ialah kerana dasar Islam yang menjadi tunjang kepada perlembagaan parti itu, Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, YB Ustaz Idris Ahmad semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Teluk Intan Kali Ke-40. Majlis telah diadakan di Dewan Restoran Abu Ubaidah, Taman Melor dekat sini.

Menurut beliau lagi yang juga merupakan ahli Majlis Syura Ulama, ahli-ahli PAS mesti yakin akan janji Allah bahawa perjuangan Islam ini akan diganjari pahala. Oleh kerana itu, beliau bangga kerana ahli-ahli PAS ikhlas dalam dalam perjuangan. Mereka hadir ke program-program jamaah tanpa mengharapkan balasan dari jamaah. Dengan kekuatan dasar Islam jugalah, ahli-ahli PAS istiqamah dalam perjuangan walau apapun yang berlaku. Ini kerana, perjuangan PAS kerana Allah dan Islam bukan kerana pemimpin.

Dalam ucapan perasmian itu juga, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga telah menyenaraikan enam perkara yang perlu diambil perhatian oleh ahli-ahli parti iaitu hidupkan cawangan dengan usrah, ahli PAS mesti rajin mengaji, mendaftar anak-anak dalam Unit Amal dan Nisa', giatkan pendaftaran pemilih, luangkan masa sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk parti, dan daftar anak sebagai ahli PAS.

Sebelum itu, di dalam ucapan yang bertemakan 'Tarbiyah Memperkasa Jamaah', Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik, proses membudayakan tarbiyah dalam kalangan ahli perlu diperluaskan mengikut suasana semasa.

"Daripada tarbiyah, akan melahirkan ahli-ahli yang berkualiti yang mampu memperkasa jamaah itu sendiri. Ini merupakan satu fakta. Hanya ahli yang telah melalui proses tarbiyah yang mampu kekal istiqamah dalam landasan perjuangan Islam yang haq ini. Pada masa yang sama, kekuatan fikrah dan rohani mereka juga mampu menjadikan jamaah sebuah parti yang dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan," tambah beliau.

Sementara itu, PAS Cawangan Padang Tembak telah diisytiharkan sebagai pemenang pertama di dalam Pertandingan Pendaftaran Ahli Paling Ramai. Ia diikuti oleh PAS Cawangan UPU Ulu Bernam dan PAS Cawangan Batu Tiga.  Turut hadir ialah ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Rakyat Teluk Intan.


intanhijau.blogpsot.com

JABATAN AMAL TELUK INTAN BERSIH TANAH PERKUBURAN



TELUK INTAN, 7 September - Slogan 'Beramal Kerana Allah' menjadi pegangan kepada Jabatan Amal untuk melakukan pelbagai aktiviti terutama aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran namun program-program amal 'tentera merah' ini tetap diteruskan.


Baru-baru ini, Jabatan Amal Teluk Intan telah mengadakan aktiviti  membersihkan Tanah Perkuburan Kg. Sungai Manila dekat sini. Menurut Setiausaha Jabatan Amal Teluk Intan, Sdr. Muhammad Nur Basyir, seramai 18 orang anggota Amal telah menyertai usaha murni tersebut di samping dibantu oleh para pemuda di kawasan pesisiran. Aktiviti bermula jam 9.00 pagi dan kerja-kerja pembersihan selesai dengan jayanya pada sebelah tengah harinya.





"Antara tujuan aktiviti tersebut ialah untuk mendedahkan kepada para anggota Amal dengan kerja-kerja sukarela di samping ingin memasyarakatkan PAS. Diharapkan masyarakat akan melihat dan menilai sendiri akan kegiatan Jabatan Amal selepas beberapa tohmahan diberi oleh pihak tidak bertanggungjawab," jelas beliau lagi.


intanhijau.blogspot.com

Selasa, 2 September 2014

NGO PENDIDIK SANTUNI BEKAS PENGARAH JPN PERAK



TELUK INTAN, 31 Ogos - Baru-baru ini Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) telah menziarahi mantan Pengarah Jabatan Pelajaran Perak, Dato' Adnan Ibrahim di kediaman beliau di Kg. Jeram Mengkuang, Bidor dekat sini.

Rombongan ziarah telah diketuai Presiden PENDIDIK, Pn. Normala Sudirman bersama beberapa orang ahli jawatankuasanya, Maarof Mutalib, Hj. Omar Bakar serta wakil PENDIDIK Perak,  Rahmat Maliki dan Hj. Abidin Sharif.



Menurut Cikgu Mala, lawatan tersebut adalah bertujuan menziarahi Dato' Ibrahim yang kini uzur akibat menderita beberapa penyakit seperti buah pinggang, jantung dan kencing manis. Selain itu, lawatan bertujuan untuk menghargai jasa Dato' Adnan yang sebelum ini begitu aktif terlibat di dalam beberapa siri jelajah PENDIDIK ke seluruh negara. Kini Dato' Adnan terpaksa menjalani rawatan hemodylasis tiga kali seminggu.

"Kita amat menghargai komitmen daripada Dato' Adnan yang sentiasa memenuhi jemputan pihak PENDIDIK ke seluruh negara untuk menyampaikan maklumat tentang isu-isu pendidikan negara". ujar beliau.

Sementara itu, Dato' Adnan menyatakan rasa berbesar hati dan terharu akan keprihatinan NGO PENDIDIK akan keadaan kesihatannya kini. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran pimpinan PENDIDIK.

"Saya juga berbangga kerana kini perjuangan isu pendidikan dipelopori oleh golongan muda seperti Cikgu Mala dan rakan-rakannya. Mereka berani memperjuangkan nasib warga pendidik yang kelihatan mengalami beban tugas dan ketidakadilan dalam sistem pendidikan kini," kata mantan Pengarah JPN Perak itu yang juga merupakan ikon Kempen Jom Sertai PASbagi negeri Perak.

"Teruskan perjuangan murni ini. Saya sentiasa memberikan sokongan," ujar beliau lagi.
Bergambar kenangan.
Cikgu Mala menyampaikan sumbangan.
Di sepanjang pertemuan di kediaman yang tenang dan hening itu, perbualan tak lekang dengan nasihat dan celoteh daripada Dato' Adnan yang menghidupkan suasana mesra dan ceria.

Di akhir pertemuan, Cikgu Mala mewakili PENDIDIK telah menyampaikan sumbangan penghargaan kepada Dato' Adnan.

intanhijau.blogspot.com