KUALA LUMPUR: Hasil desakan perwakilan Muktamar agar wartawan bertanya Datuk Seri Najib siapa dia, Deepak Jaikishan (
gambar) dengan sukarela menghubungi Harakahdaily untuk menceritakan siapakah dia sebenarnya.
Deepak
J Tekwani, pengarah kepada Carpet Corporation menghubungi Harakahdaily
untuk memberikan cerita sebenar di sebalik hubungan beliau dengan
keluarga Datuk Seri Najib Razak.
Dalam pertemuan berdepan
kira-kira setengah jam di sebuah hotel terkemuka itu, Deepak
menceritakan apa sebenarnya hubungan beliau dengan keluarga Perdana
Menteri khasnya Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.
Ia
bermula apabila Rosmah menjadi pelanggan kedai karpet beliau di Jalan
Tunku Abdul Rahman. Selepas itu hubungan mereka baik dan Deepak
diperkenalkan kepada Najib.
Ketika itu, Najib adalah Menteri Petahanan.
Namun
persahabatan mereka berakhir apabila Deepak diminta menolong keluarga
Najib ekoran akuan bersumpah (SD) yang dibuat oleh penyiasat
persendirian P Balasubramaniam.
Ia berakhir apabila Bala tidak berpuashati dan Deepak dipersalahkan oleh keluarga Najib.
"Cara
dia bertindak bukan sebagai kawan yang menolong kawan, tetapi dia
hantar 50 orang penguatkuasa datang ke ofis saya, rumah, dan kilang saya
dengan niat memberi amaran untuk saya tidak mendedahkan perkara sebenar
& menutup cerita sebenar SD," cerita Deepak kepada Harakahdaily.
Ikuti pendedahan siapa Deepak Jaikishan sebenarnya melalui temubual wartawan
Harakahdaily dengan beliau.
Apa tujuan saudara mahu bertemu dengan Harakah (daily)?
Saya tertarik dengan pertanyaan Harakah (daily) minggu lepas,
siapa saya (Deepak Jaikishan). Saya sebenarnya terlibat dalam perniagaan karpet dan perniagaan hartanah.
Saudara dikaitkan dengan Datuk Seri Najib. Sebenarnya bagaimana hubungan saudara dengan keluarga beliau?
Hubungan...saya
memang kenal Datuk Seri dan Puan Seri. Saya sebagai pembekal karpet dan
terlibat dalam perniagaan. Kalau ada peluang bisnes, kita mintak
sokongan dari pihak beliau.
Sudah lama hubungan itu. Bagaimana saudara kenal dia?
Ia
hanya bisnis karpaet. Mungkin 2004 atau 2005, Datin Seri (Rosmah)
datang ke kedai kita di Jalan Tunku Abdul Rahman. Dia datang kedai beli
karpet, so kita berkenalan dari situlah. Kamudian Datin Seri perkenalkan
kepada suami dia. Masa itu dia (Najib) adalah Menteri
Pertahanan.
Bisnes apa yang saudara buat dengan dia?
Mungkin
tidak sesuai saya dedahkan hari inilah. Mungkin sessi lain. Sebab saya
hanya mahu jawab apa yang saudara tanya dalam akhbar saudara. Apa
hubungan saya dengan mereka. Bisnis saja, tidak ada yang bukan-bukan. Ia
hanya bisnis sahaja. Dia isteri orang, tidak ada yang bukan-bukan,
tidak baik. Ia benar-benar bisnes sahaja.
Ada laporan dalam Malaysiakini yang saudara berkata, ia hubungan kakak adik sahaja, tanpa lain-lain?
Ya boleh dikatakan begitu.
Pada pandangan saudara, kenapa saudara dipopularkan sangat?
Saya
pun rasa. Dulu tidak ada macam itu. Mungkin kesalahan saya bila saya
tolong dalam kes Bala (P Balasubramaniam). Semasa kita dengan tidak
sengaja terlibat dalam kes Bala untuk menolong keluarga Perdana Menteri.
Masa itulah nama kita naik.Sememangnya kita tidak suka, kita suka low
profile.
Sebelum ini tidak ada apa-apalah?
Takda, kita senyap-senyap buat bisnes kita. Di Malaysia, kalau kita high profile bukan senang kita nak buat bisnes.
Macamana pulak saudara terlibat dalam kes Bala. Ia menjadi persoalan kepada orang ramai?
Ini
kes mahu tolong kawan. Pada kita dia kawan yang setialah. Jadi kita
tolong. Contohnyalah, saya dengan saudara dekat kolam renang. Saya tidak
tahu berenang. Tetapi saya lihat saudara jatuh ke dalam kolam dan
tenggelam. Jadi saya pun masuk dalam kolam untuk menolong saudara. Jadi
saya rasa pada masa itu, kita saja yang ada dan kita diminta menolong.
Kita bukan terlibat secara langsung. Lawyer pun lawyer dia (keluarga
PM), kita saja tolong koordinat. Reporter pun dia yang panggil. Kita
fikir ketika itu ada kawan yang terdesak minta pertolongan. Dia pun dah
ada hubungan baik dengan kita. Kita tak anggap perkara ini akan
menyusahkan kita dan melibatkan kita secara langsung dalam kes Altantuya
inilah.
Maksuk Encik Deepak, saudara baik dengan Bala ke, saudara tolong Bala ke atau...
Saya tolong keluarga Datuk Seri Najib.
Saudara memang kenal Bala?
Saya
tidak kenal secara langsung, ada kenalan melalui komuniti yang sama,
perkara ini terjadi. Saya dipanggil waktu tengah malam, "You boleh tak
selesaikan masalah ini...its a big problem". Saya pun ada seorang
saudara yang kenal dia (Bala), seorang anggota polis juga. "Tanya dia
boleh tak you uruskan orang ini, minta dia jumpa wakil keluarga Datuk
Seri." Dia setujulah. Kita perkenalkan dia. Kita bukan terlibat dengan
apa-apa proses lain, kita tidak terlibat.
Jadi selepas itulah nama saudara menjadi popular?
Ya
ini memang kesalahan kitalah. Kalau perkara ini terjadi sekali lagi,
saya tidak boleh berenang, saya tengok saudara tenggelam, saya akan
biarkan tenggelamlah. Saya tak boleh nak tolonglah sebab manusia tidak
mengenang budi.
Adakah selepas itu hubungan dengan Bala bermasalah?
Sebenarnya dia (Bala) bukan marah dengan kita. Dia marah orang yang telah janji dengan dia. Bukan saya.
Apa berlaku kepada hubungan saudara dengan Datuk Seri selepas itu?
Saya
rasa selepas semua inilah, apabila ia sudah terdedah, kita telah
dianggap bersalah kerana tidak dapat memuaskan semua kehendak Bala.
Sebenarnya bukan kita yang terlibat dalam masalah ini, bukan kita yang
terlibat dalam kes Altantuya. Kita pada malam itu menolong saja tetapi
dipersalahkan kerana tidak dapat memenuhi kemahuan-kemahuan Bala. Bala
ini bekas Pi. Seminggu cerita itu, seminggu lagi cerita ini. Kita tidak
mahu terlibat dengan semua itu. Kita orang bisnes tidak mahu terlibat
dengan dunia James Bond inilah.
Apa berlaku selepas itu. Saudara dilihat senyap sedikit selepas itu?
Kita
pun mahu cerita ini senyap tetapi tidak begitu. Saudara juga terlibat
bangkitkan lagi cerita ini. Saya rasa kes ini tidak akan senyap sehingga
kes Altantuya selesai dengan adil. Bagi saya, dunia ini dikuasai oleh
Tuhan Yang Maha Esa. Saya rasa selagi kes ini tidak selesai, perkara ini
tidak akan terhenti. Kita tidak bersalah, tangan kita bersih. Kita
tidak mahu dikaitkan dengan benda yang libatkan kes-kes yang sebegini
kejam, Kita nak bercakap benar dengan semua orang. Memang satu masa dulu
kita telah menolong kawan tetapi kita tidak bersalah. Kita tak terlibat
dan tidak ada motif untuk melibatkan diri.
Selepas apa yang berlaku dengan Bala, adakah masih baik dengan keluarga Datuk Seri?
Sebenarnya,
selepas perkara ini berlaku, mereka telah mengambil tindakan cuba
mensenyapkan saya. Cara dia bertindak bukan sebagai kawan yang telah
menolong kawan, tetapi hadiah yang dihantar adalah hantar 50 orang
penguatkuasa kerajaan datang melawat, masa kes Bala terdedahlah. Jadi
kita pun tahulah pada ketika itu, Najib is sitting Prime Minister.
Dihantar pula 50 orang penguatkuasa datang dan angkut lima enam lori.
Jadi apa tindakan saudara?
Kita
tunjuklah ketidakpuasan hati kita, perniagaan kita terjejas. Kalau you
anggap saya sebagai kawan, you besar atau kecil, kawan tetap kawan, kita
mesti tolong. Kalau tidak boleh tolong, jangan susahkan. Jangan makan
kawan. Jadi tindakan yang dibuat untuk kawal situasi dengan hantar 50
penguatkuasa untuk menyeyapkan kita, supaya kita senyap, jangan cakap.
Kita tahulah, ini bukan kawan. Kalau macam ini, baik hari itu bagi dia
tenggelam.
Apa tindakan selepas itu?
Kita
duduk diam-diam. Yang hangus tidak boleh diganti. Jadi sekarang saja
nak bersihkan nama saya. Kita pun tak libat bisnes dengan mereka lagi.
Dah dua tahun tidak libat lagi bisnis dengan dia tetapi masih cerita ini
keluar. Bagi saya cerita ini tidak akan selesai sehingga Altantuya
dibicarakan dengan adil dan mendapat hak dia. Kita tidak mahu
dilibatkan. Sangat jelas penglibatan kita pada malam itu hanya tolong
kawan dan SD itu sendiri dibuat oleh peguam mereka.
(harakahdaily)