JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Jumaat, 10 April 2015

DANA DIPERLUKAN UNTUK PEMBINAAN KOMPLEKS PAS TELUK INTAN



TELUK INTAN, 10 April - PAS Kawasan Teluk Intan mengorak langkah proaktif dengan merancang pembinaan sebuah bangunan baharu bagi menggantikan markaz kawasan yang sedia ada. Apatah lagi kehadiran yang amat baik terhadap setiap program yang diadakan menuntut kepada bangunan yang lebih selesa dan lebih luas dibina.
Ustaz Ismail bersama Pesuruhjaya PAS Perak Hj. Razman Zakaria semasa majlis makan malam.
Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan, Ustaz Hj. Ismail Che Nik, usaha membina sebuah bangunan markaz baharu telah menjadi satu usul dalam mesyuarat agung tahunan kawasan beberapa tahun yang lalu di mana ekoran daripada itu telah ditubuhkan sebuah jawatankuasa pembinaan. Namun begitu, usaha tersebut tergendala kerana tumpuan kepada gerak kerja menghadapi PRU13 lalu.

"Alhamdulillah, selepas musim pilihan raya, pihak PAS Kawasan Teluk Intan menggerakkan semula usaha tersebut malahan ia telah menjadi salah satu fokus utama PAS Teluk Intan bagi sesi ini iaitu untuk membina sebuah kompleks yang lengkap dengan prasarana sesuai dengan perkembangan semasa, " ujar beliau.

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) Hj. Ismail Johari, setelah jawatankuasa tersebut dibentuk, pelbagai langkah dilaksanakan bagi mengutip dana pembinaan kompleks dan pihak pemaju kompleks tersebut diberikan kepada lujnah ekonomi kawasan di bawah sebuah syarikat bernama Daiman Maksima. Lokasi bangunan kompleks itu terletak bersebelahan bangunan markaz kawasan sedia ada di Kg. Padang Tembak.

"Antara langkah mengumpul dana yang telah dilaksana ialah akujanji ahli-ahli dengan menyumbang RM1000 seorang dalam tempoh dua tahun. Selain itu, kupon-kupon juga telah dibuat dengan nilai tertentu untuk dijual kepada orang ramai. Bagi penyumbang melebihi RM1000, pihak kita akan memberikan sijil penghargaan. Saya berharap penyumbang-penyumbang tersebut akan terus memberikan sumbangan walaupun telah menyumbang melebihi RM1000," ujar beliau.

Di samping itu, tambah beliau, usaha pihak jawatankuasa menziarahi individu-individu tertentu dilakukan untuk memohon sumbangan dalam skala besar seperti tokoh korporat, al malak dan sebagainya. Atas usaha pemaju juga, hasil jualan tanah lot juga dilakukan dengan pihak jawatankuasa menerima keuntungan jualan tanah tersebut. Pihaknya juga telah menghebahkan usaha tersebut melalui medium seperti whatsapp, facebook, sisipan dalam akhbar Harakah dan sebagainya.

"Antara usaha terbaru kami ialah mengadakan Majlis Makan Malam Dana KOMPASTI baru-baru ini dengan kejayaan mengumpul keuntungan bersih sebanyak RM40 000 hasil jualan meja dan infaq program tersebut," tambah beliau lagi.

Menurut Haji Ismail lagi, kerja pembinaan KOMPASTI terbahagi kepada dua fasa. Fasa pertama ialah pembinaan sebuah dewan berkeluasan 120' x 60' yang boleh muat empat gelanggang badminton. Fasa pertama ini telah meliputi 80% siap. Manakala fasa kedua melibatkan pembinaan bangunan pentadbiran dua tingkat yang mengandungi bilik mesyuarat, pejabat kawasan, pemuda, muslimat, ulama dan DHPP. Bangunan ini juga mempunyai dua buah bilik tetamu.
Bangunan markaz sedia ada.
"Dari sudut prospek ekonomi, dewan tersebut boleh disewakan untuk majlis perkahwinan, permainan badminton, sepak takraw dan futsal."

Akhir sekali, beliau memohon ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti dapat mempertingkatkan sumbangan yang berbentuk amal jariah agar bangunan KOMPASTI tersebut dapat disiapkan menjelang Januari 2016 sebagaimana yang disasarkan. Sumbangan berbentuk wakaf dan zakat juga diterima.

Segala sumbangan boleh disampaikan menerusi Bank Islam Malaysia Berhad dengan nombor akaun 08031010053085 (PAS Kawasan Teluk Intan)  atau terus menghubungi beliau 019-5790762 (Pengerusi) atau 019-9135875 (Bendahari).

intanhijau.blogspot.com

Selasa, 7 April 2015

MAKAN MALAM KOMPASTI BERJAYA KUMPUL DANA



TELUK INTAN, 4 April - PAS Kawasan Teluk Intan telah berjaya mengadakan Majlis Makan Malam Dana Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) baru-baru ini. Majlis tersebut telah diadakan di Dewan KOMPASTI, Kg. Padang Tembak dekat sini.

Menurut Pengarah Makan Malam Dana KOMPASTI, Sdr. Farid Al Jarumi, objektif program tersebut ialah untuk mengumpul dana untuk pembangunan bangunan baharu bagi menggantikan Markaz PAS Kawasan Teluk Intan yang sedia ada.


Sebahagian daripada tetamu yang hadir.
"Selain itu, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan sesama ahli parti di kawasan ini. Oleh itu, konsep makan malam ini lebih kepada berkonsepkan kekeluargaan di mana para ahli telah hadir bersama keluarga masing-masing saling berinteraksi antara satu sama lain," tambah beliau yang juga merupakan Setiausaha PAS Kawasan Teluk Intan.

Menurut Sdr. Farid, sebanyak 105 buah meja telah berjaya dijual dengan nilai RM500 dan RM300. Beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah membeli meja-meja serta yang telah memberikan sumbangan wang tunai sehingga berjayanya program tersebut.
Hj. Razman menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.
Penyampaian sumbangan kepada dana KOMPASTI.
Majlis makan malam itu juga telah diserikan lagi dengan kehadiran Pesuruhjaya PAS Perak, Hj. Razman Zakaria dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Dr. Muhaimin Sulam. Pada itu juga, kontraktor pembinaan kompleks tersebut juga telah menyampaikan sumbangan untuk dana pembangunan KOMPASTI.
Hj. Razman menyampaikan ucapan.
Di dalam ucapannya, Tn. Haji Razman telah melahirkan rasa bangga atas usaha pihak PAS Kawasan Teluk Intan yang telah berusaha mendirikan sebuah kompleks bagi menggantikan bangunan markaz yang lama. Beliau percaya, kejayaan itu sudah pasti atas komitmen tinggi setiap ahli di kawasan Teluk Intan untuk melihat sebuah kompleks yang tersergam di kawasan ini.

"PAS Perak mengucapkan tahniah atas usaha proaktif ini. Kita percaya, dengan tertegaknya KOMPASTI akan melicinkan segala gerak kerja PAS Kawasan Teluk Intan dan seterusnya memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap kemampuan parti, " tambah beliau.
Ustaz Ismail menyampaikan ucapan.
Hj. Ismail Johari selaku Pengerusi Pembangunan KOMPASTI turut berucap.
Sebelum itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk, Ustaz Ismail Che Nik dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KOMPASTI, Hj. Ismail Johari turut menyampaikan ucapan aluan. Turut hadir ialah pimpinan PAS kawasan termasuk Ketua DHPP Teluk Intan, Sdr, Suria Narayanan.

intanhijau.blogspot.com

Ahad, 15 Februari 2015

PAS CICELY SANTUNI KAUM TIONGHUA BERI SUMBANGAN TAHUN BARU CINA



TELUK INTAN, 15 Februari - Islam adalah agama yang menggalakkan persefahaman dan muhibbah walaupun berbeza agama dan keturunan. Menyedari akan hal itu, PAS Cawangan Batu Tiga Cicely meneruskan program tahunannya dengan menyantuni kaum tionghua di sekitar kawasan tersebut dengan mengedarkan cenderamata sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi.

 Menurut Ketua Cawangan Sdr. Ahmad Kabir, tradisi memberi sumbangan tersebut diteruskan memandangkan Islam amat menggalakkan umatnya mempunyai rasa muhibbah dan saling menghormati antara satu sama lain. Apatah lagi, menurut beliau, cawangan ini mempunyai peratus penduduk kaum tionghua yang lebih tinggi berbanding dengan kaum-kaum lain.
Sdr. Ahmad Kabir menyampaikan cenderamata Tahun Baru Cina kepada seorang penduduk tionghua.

"Malah, dalam PRU13 yang lalu, peratusan pengundi tionghua yang telah mengundi calon PAS adalah lebih tinggi sehingga menyebabkan Unit Peti Undi Cicely ini telah menang dengan majoriti yang agak tinggi, " tambah beliau lagi.

Sebanyak 30 beg cenderamata telah diedarkan ke rumah-rumah dan sambutan yang diberikan amat baik. Ada juga penduduk tionghua yang mengambil kesempatan mengucapkan takziah atas kematian Mursyidul Am PAS almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Mereka menyatakan rasa sedih akan pemergian Tok Guru.

Turut sama mengedarkan cenderamata tersebut ialah Naib Ketua Cawangan, Sdr. Rahmat Maliki, Setiausaha Cawangan Sdr. Kamaruzaman Muhamad, Bendahari Cawangan Sdr. Harudin Turmudi, Ketua Penerangan Cawangan Sdr. Najib Masuri dan Ketua Pemuda Cawangan Sdr. Nahar.

intanhijau.blogpspot.com

Rabu, 28 Januari 2015

DASAR PERJUANGAN TIDAK PERNAH BERUBAH RAHSIA PAS BERTAHAN



TELUK INTAN, 27 Januari -Setelah 63 tahun PAS tetap kekal berada di persada politik dan dakwah negara. Antara rahsia PAS kekal hingga ke hari ini ialah dasar perjuangannya tidak pernah berubah sejak dulu lagi. Demikian dinyatakan oleh Ustaz Azman bin Abdul Rani, naqib jemputan di majlis Liqa Fikri PAS Kawasan Teluk Intan. Majlis telah diadakan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan, Kg. Padang Tembak dekat sini.

Menurut beliau, rujukan PAS tidak pernah berubah iaitu Al Quran, Hadith, qias dan ijma' ulama serta dipandu dan dipimpin oleh ulama turut menyumbang ke arah kekalnya PAS hingga hari ini.

"Perjuangan PAS tidak dijanjikan dengan kesenangan dan kemewahan. Sesuai dengan usia 63 tahun di persada dakwah dan politik negara, PAS telah mengharungi pelbagai rintangan dan sentiasa kekal istiqamah dalam memperjuangkan dasar parti, " ujar Pengerusi Lujnah Dakwah PAS Terengganu.

Akhirnya sekali, beliau berharap setiap ahli PAS menjaga ahli keluarga masing-masing dengan memastikan mereka terlibat dalam program parti. Beliau juga menekankan peranan muslimat dalam menyemarakkan perjuangan Islam dengan meniupkan semangat perjuangan kepada suami dan anak masing-masing.

Majlis telah dihadiri oleh pimpinan kawasan dan cawangan.

intanhijau.blogspot.com