JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Ahad, 30 Mac 2014

PASTI IBNU KHALDUN KG. BAHAGIA ANJUR MAKAN MALAM AMAL



TELUK INTAN, 29 Mac - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah sebuah institusi pendidikan prasekolah yang semakin diterima oleh masyarakat. Salah sebuah PASTI yang mampu bertahan setelah 15 tahun beroperasi ialah PASTI Ibnu Khaldun Kg. Bahagia. Bersempena ulang tahun ke-15, PASTI Ibnu Khaldun telah menganjurkan Majlis Makan Malam Amal. Majlis telah diadakan di Dewan Markaz PAS Kampung Bahagia dekat sini.

Menurut pengarah program, Sdr. Muhd. Esma Hafiz Esa, antara objektif program diadakan ialah untuk mengumpul dana bagi menambah baik bangunan PASTI Ibnu Khaldun demi keselesaan pelajar dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Sdr. Esma menyampaikan ucapan aluan.
"Majlis tersebut juga bertujuan untuk menghargai beberapa pihak yang banyak berjasa kepada PASTI Ibnu Khaldun seperti individu yang menyumbang kepada PASTI dan guru-guru PASTI. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang sudi memberikan sumbangan sehingga berjayanya majlis ini, " tambah beliau.

Majlis telah dimulai dengan bacaan al Quran dan bacaan doa dan diikuti dengan jamuan makan malam. Semasa jamuan, para tetamu telah mendengar ceramah tentang perkembangan di Mesir oleh wakil NGO Malaysia for Egypt.

Acara berikutnya ialah persembahan nasyid yang begitu baik disampaikan oleh seorang bekas pelajar PASTI Ibnu Khaldun, Adik Muizuddin Abdul Razak. Seterusnya, kehadiran Sdr. Bob Lokman telah memberikan kesan apabila menyampaikan tazkirah.
Bekas pelajar PASTI Ibnu Khalidun membuat persembahan solo.
Bob Lokman dalam slot tazkirah.

Seterusnya, majlis telah menikmati nyanyian dan ceramah motivasi yang telah disampaikan oleh Ustaz Akhwan Afandi. Beliau menyampaikan beberapa buah lagu nasyid yang menarik serta berinteraksi dengan audien.
Gandingan suara Ustaz Akhwan dan Adik Muizuddin yang menarik hati.
Persembahan solo nyanyian dan motivasi oleh Ustaz Akhwan Afandi.

Dalam majlis itu juga, pihak PASTI Ibnu Khaldun telah menyampaikan cenderamata kepada para guru PASTI yang sebagai tanda menghargai jasa mereka. Selain itu, Sdr. Fai'aizal Abd. Rahman, Setiausaha PASTI Ibnu Khaldun juga telah menerima cenderamata sebagai menghargai sumbangan beliau berada di dalam jawatankuasa PASTI sejak ia ditubuhkan. 

Naib Yang DiPertua PAS kawasan, Hj. Azhar menyampaikan cenderamata kepada Sdr. Fai'azal.

Yang DiPertua PAS kawasan, Ustaz Ismail Che Nik menyampaikan cenderamata kepada pelajar cemerlang SPM.
Di samping itu, beberapa orang individu juga menerima cenderamata atas penghargaan jasa sumbangan kepada PASTI. Para pelajar yang cemerlang dalam SPM 2013 turut menerima cenderamata. Cenderamata telah disampaikan oleh pimpinan PAS Kawasan Teluk Intan.

intanhijau.blogspot.com

Nama Pak Lah teratas, diawasi ejen keselamatan Amerika, lapor akhbar Jerman


Dokumen rahsia yang didedahkan oleh media Jerman, Der Spiegel menunjukkan nama bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berada di atas sekali dalam senarai yang diawasi oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Amerika Syarikat.

Senarai itu dikumpulkan pada 2009 dan mengandungi 122 nama pemimpin dunia, bermula dengan Abdullah dan berakhir dengan bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko kerana ia disusun mengikut abjad.

Pemimpin lain termasuklah Canselor Jerman, Angela Merkel dan Perdana Menteri Syria, Bashar al-Assad.

Menurut akhbar itu, dokumen itu tidak memberikan maklumat yang cukup untuk menentukan bentuk pengawasan, manakala NSA pula tidak memberikan sebarang komen mengenainya.

Laporan Spiegel yang disiarkan pada Sabtu menyatakan bekas ejen CIA, Edward Snowden adalah sumber kepada dokumen rahsia tersebut.

Menurut Snowden, hanya 12 nama yang dikongsikan dengan Spiegel, termasuk Merkel, dan pada tahun lalu, telefon bimbit pemimpin Jerman itu turut dirakam oleh NSA.

Akhbar itu juga melaporkan, agensi keselamatan British, Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ)  menceroboh masuk firma internet Jerman dan arahan mahkamah diperolehi oleh NSA untuk mengintip Jerman.

Pendedahan baharu ini dibuat selepas kira-kira sebulan Putrajaya memanggil diplomat Amerika dan Australia di Kuala Lumpur atas dakwaan  terlibat dengan rangkaian perisikan yang diketuai Amerika di Asia, termasuk China dan Indonesia.
Berdasarkan pendedahan Snowden, laporan meluas dibuat menyatakan Kedutaan Australia di Asia  digunakan untuk merakam panggilan telefon dan data.

Sebelum ini, Der Spiegel menyiarkan peta bertarikh Ogos 2010, yang menunjukkan kehadiran 90 kemudahan perisikan elektronik di seluruh dunia, termasuk di Kedutaan Amerika di Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.

Snowden mendakwa, Singapura membantu aktiviti perisikan ini, dengan menggambarkan negeri itu sebagai pihak ketiga yang utama memberikan laluan kepada sistem komunikasi Malaysia.

Snowden adalah pusat kepada pendedahan 200,000 dokumen yang menunjukkan pencerobohan Amerika ke seluruh dunia, antaranya menunjukkan Washington menjalankan stesen pengawasan di kedutaannya di Kuala Lumpur bagi merakam dan mengawasi telefon dan rangkaian komunikasi. – 30 Mac, 2014.

malaysianinsider

Rabu, 26 Mac 2014

KALI INI, RAJA BOMOH MENEROPONG DI PULAU SEMBILAN...KHURAFAT BERLELUASA, BEBAS !




Jawatankuasa fatwa kebangsaan tak bincang pasal khurafat ini ke ?

Tolak kunjungan, PAS anggap duta Mesir angkuh



KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pihak Kedutaan Mesir sebagai angkuh apabila enggan menerima kunjungan secara baik beberapa ahli parlimen mereka ke bangunan kedutaan itu hari ini.

Kunjungan jam 11.30 pagi tadi itu disertai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Nasrudin Hassan (Temerloh) dan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas).

Ianya bagi menyatakan rasa kecewa PAS terhadap keputusan mahkamah Minya yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya Dr Mohamad Badie.

Kedatangan mereka bagaimanapun tidak dilayan malah pihak kedutaan hanya menghantar pengawal keselamatan untuk menerima memorandum yang diserah di pagar.

"Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bentuk sikap regim di Mesir.

"Ini indikator yang kita dapat lihat," kata Idris pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas hukuman mati yang disifatkan bermotif politik itu, beliau berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku di zaman moden ini lebih-lebih lagi dengan jumlah besar sedemikian.

Sementara itu, Nasrudin pula menjelaskan, hukuman yang dikenakan kepada pepimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin tersebut sebagai episod malang dalam sejarah Mesir.

"Ini lebih kejam dari regim Hosni Mubarak.

"Kalau kita bersedih dengan MH370 melibatkan 239 hilang, (529) ini jumlah yang lebih besar.

"Ini perlu dilihat isu bersama, isu kemanusiaan dan keadilan," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat prihatin untuk menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir, Jumaat ini.

Isnin, 24 Mac 2014

Bahasa Penggubal undang-undang AS selar Malaysia kerana kerjasama suram dalam mencari MH370

Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) mengkritik Malaysia tentang apa yang mereka gambarkan sebagai kerjasama suram dalam mencari pesawat MH370, lapor Wall Street Journal (WSJ) pagi ini.

Penerbangan Malaysia Airlines Boeing 777-200ER membawa 239 penumpang apabila hilang pada 8 Mac semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.



 Nasib pesawat tersebut masih belum diketahui selepas 16 hari operasi mencari dan menyelamat antarabangsa dari Lautan Hindi hingga Laut China Selatan.


"Saya fikir semua pihak mahu kerajaan Malaysia lebih terbuka dalam berkongsi maklumat yang mereka perolehi," kata Patrick Meehan daripada parti Republikan, ahli Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri kepada CNN.

"Laporan yang saya terima adalah mengecewakan," Meehan dipetik berkata dalam laporan WSJ. "Kami hanya diberikan sedikit maklumat."

Michael McCaul ahli parti Republikan (Texas), pengerusi jawatankuasa sama menuduh Malaysia terkial-kial dalam pencarian awal.

McCaul memberitahu Fox News semalam beliau percaya pesawat MH370 berada di Lautan Hindi.
"Saya fikir kerajaan Malaysia membuang masa memberikan tumpuan di laluan utara di Teluk Thailand, Kazakhstan," katanya.

"Ia akan dikesan oleh radar dan kita tahu tentang itu. Saya tahu tentang imej satelit yang diberikan kepada Malaysia, dan kami membuang masa berharga selama seminggu di rantau itu apabila sebenarnya ia berada di selatan Lautan Hindi," beliau dipetik berkata dalam akhbar perniagaan itu.

Timbalan Penasihat Keselamatan Dalam Negeri Presiden Barack Obama, Tony Blinken bagaimanapun memuji Malaysia, China dan negara lain kerana bekerjasama dalam misi pencarian itu.

"Kita melihat negara-negara bekerjasama dalam cara yang mereka tidak pernah lakukan sebelum ini," kata Blinken kepada CNN.

Tetapi Blinken mengatakan selepas dua minggu, masih belum ada "teori kukuh" tentang apa yang terjadi kepada pesawat MH370.

Malaysia mendedahkan semalam Perancis mempunyai imej satelit yang menunjukkan objek terapung, berpotensi sebagai serpihan di kawasan pencarian utama pesawat MH370 di Lautan Hindi bagi Australia.

Pegawai kerajaan Australia berkata semalam, salah sebuah kapal terbang yang digunakan untuk mencari pesawat MH370 dapat mengesan palet kayu kargo bersama-sama tali pinggang atau tali di kawasan terpinggir Lautan Hindi.

Objek itu dilihat oleh salah satu pesawat awam yang membantu mencari Boeing 777-200ER pada Sabtu.

Agensi berita AFP melaporkan pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) mengesahkannya sebagai "visual pertama dilihat dalam carian setakat ini".

Dibantu oleh beberapa negara lain, AMSA sedang melakukan "pencarian berkaedah" di kawasan perairan seluas 59,000 kilometer persegi.

Mereka sedang mencari objek besar yang ditemui satelit pada 16 dan 18 Mac.

Kementerian Pengangkutan Malaysia mengatakan Australia, China dan Perancis sudah mengeluarkan imej satelit yang berkemungkinan besar objek boleh dikaitkan dengan MH370.

China sudah menghantar kapal mereka untuk mencari pesawat tersebut, menambah kepada kapal tentera laut Britain dan Australia yang sudah mula mencari.

Jika pesawat terhempas di lautan, penyiasat berharap untuk mengenalpasti kawasan terhempas tersebut sebelum kotak hitam pesawat berhenti memberikan isyarat – kebiasaannya selepas 30 hari.

Kotak hitam pesawat amat penting untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku kepada Boeing 777 dengan 239 penumpang dan anak kapalnya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.
 
malaysianinsider

Ahad, 23 Mac 2014

Khamis, 20 Mac 2014

INILAH IMEJ SATELIT AUSTRALIA OBJEK DIPERCAYAI MH370

CANBERRA: Objek yang dikesan oleh imej satelit di Lautan Hindi di lokasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370,  dipercayai sepanjang 24 meter, kata pihak berkuasa Australia pada Khamis. 
 
Dalam pada itu, objek dalam saiz yang lebih kecil turut berjaya dikesan.

"Objek itu tidak kelihatan dengan jelas. Pada saya, objek itu mempunyai saiz munasabah dan mungkin terapung di atas permukaan air.

"Saiz terbesar objek itu adalah sepanjang 24 meter. Namun objek yang lagi satu adalah lebih kecil sedikit," katanya pegawai Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), John Young.

mstaronline

Rabu, 19 Mac 2014

LAWATAN JAWATANKUASA HARIAN PAS PERAK KE TELUK INTAN



TELUK INTAN, 18 Mac - Tanggungjawab sebagai pemimpin merupakan satu amanah yang besar apatah lagi memimpin sebuah parti di peringkat negeri. Bagi sesi baru ini, PAS negeri Perak di bawah kepimpinan baru telah mengorak langkah proaktif melakukan program turun padang dengan melawat ke kawasan-kawasan seluruh negeri. Ini adalah di antara langkah-langkah awal yang dilakukan oleh PAS Perak sejak dipimpin oleh Pesuruhjaya yang baru, Tn. Hj. Razman Zakaria.

Menurut Hj. Razman, antara objektif lawatan ke kawasan ialah untuk memperkenalkan saf pimpinan baru terutama jawatankuasa harian. Selain itu, beliau mengharapkan lawatan tersebut dapat merapatkan hubungan antara PAS negeri dengan PAS kawasan. Di samping itu, pihak negeri dapat menyampaikan visi PAS Perak ke peringkat kawasan agar ia difahami dan dapat direalisasikan di peringkat akar umbi.

"Saya juga berharap pertemuan sebegini dapat mewujudkan pertemuan dua hala di mana pihak PAS negeri dan kawasan saling memberi pandangan demi memperkasakan parti yang kita dokongi dan sayangi ini, " ujar beliau.

"Sehingga ini, pihak negeri telah melawat lima kawasan dan insyaAllah kawasan-kawasan lain memang ada dalam jadual negeri," tambah beliau lagi.






Baru-baru ini, jawatankuasa harian PAS Perak telah melawat PAS Kawasan Teluk Intan. Majlis pertemuan telah diadakan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan, Kg. Padang Tembak dekat sini. Majlis tersebut melibatkan semua pimpinan PAS kawasan, dewan-dewan serta cawangan.


Antara pimpinan PAS negeri yang hadir ialah Pesuruhjaya sendiri, Tn. Hj. Razman, Timbalan Pesuruhjaya 1YB Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya 3 Hj. Noh Ahmad, Setiausaha negeri Dr. Muhaimin Sulam dan Ketua Penerangan Ustaz Misbahul Munir Masduki.
Dr. Muhaimin mempengerusikan majlis.
Seorang pimpinan kawasan mengemukakan pertanyaan.
Majlis bermula selepas selesai solat Isya' berjemaah yang telah dipengerusikan oleh Dr. Muhaimin. Seterusnya beberapa pimpinan telah menyampaikan ucapan dan disusuli dengan sesi dialog. Pelbagai perkara telah disentuh dalam sesi dialog, antaranya politik, pilihanraya, DHPP dan sebagainya.

Akhir sekali, Pesuruhjaya telah membuat ucapan penggulungan serta merumuskan hasil lawatan di samping menyatakan visi dan misi PAS negeri bagi sesi baru.
Pengerusi Lujnah Ekonomi negeri, Sdr. Rizal Ayub menyerahkan dokumen kepada Hj. Razman.
Di penghujung program telah diadakan majlis menandatangani dokumen penyerahan anak syarikat Lujnah Eknomi PAS negeri kepada PAS Perak. Syarikat yang berstatus sendirian berhad tersebut diharap mampu menjana ekonomi parti dengan lebih giat lagi.

intanhijau.blogspot.com

Selasa, 18 Mac 2014

BATALKAN SATU LAGI KONSERT LIAR !!!


Negara gempar apabila berita 6 orang terbunuh dan 3 orang berada dalam keadaan kritikal ekoran pengambilan dadah berlebihan sewaktu mereka menghadiri Konsert Future Music Festival Asia anjuran Live Scape Sdn Bhd di Stadium Bukit Jalil pada 13 dan 14 Mac yang lalu sebelum dibatalkan pada 15 Mac 2014.

Saya difahamkan pada hari pertama berlangsungnya Konsert tersebut telah berlakunya penangkapan kerana pengambilan dadah tetapi konsert itu tetap diteruskan sehingga berlaku insiden yang sangat memalukan pada hari kedua konsert tersebut, melibatkan anak bangsa sendiri yang beragama Islam.

Mengharapkan serik dengan apa yang berlaku, saya mendesak supaya Kerajaan Malaysia membatalkan satu lagi pesta liar Life in Color Malaysia yang dianjurkan oleh Furture Sound Asia dan Zouk dan ianya Supported by Malaysia Major Events Division Of Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) di bawah Ministry Of Tourism and Culture Malaysia pula Served by Heineken sebuah syarikat arak.

Pesta liar ini akan berlangsung pada 19 April 2014 di Go Kart Circuit Sepang International Circuit dan pastinya ia akan mencetus kemurkaan Allah swt dan sekaligus bakal mengundang bala dan musibah kepada negara ini.

Memetik ungkapan sahabat saya Yb Ustaz Nik Mohd Abduh dari Pasir Mas laman sosialnya : "Kamu haramkan dadah, kamu halalkan konsert dadah. Kamu haramkan anak zina, kamu halalkan pergaulan bebas. Kamu mahu syurga, kamu bergerak ke neraka."

harakahdaily

Isnin, 17 Mac 2014

Pakatan mahu sertai taklimat isu MH370


MP Pakatan mempersoalkan tindakan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwa mengehadkan taklimat berhubung kes kehilangan pesawat MH370 kepada MP BN.

Seorang daripadanya ialah MP DAP Serdang, Ong Kian Ming yang turut mengedarkan satu gambar surat didakwa sebagai jemputan dari menteri berkenaan kepada MP BN.

Menurut maklumat dalam jemputan bertarikh 14 Mac itu, taklimat berkenaan akan diadakan pada jam 8.30 malam di satu lokasi berhampiran KL Sentral, Kuala Lumpur.

Ong mengedarkan gambar surat ditandatangani Hishammuddin tersebut di Twitter untuk meminta menteri itu memberi penjelasan berhubung perkembangan tersebut.

Turut mempersoalkan perkara itu ialah MP PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzim yang mendakwa Hishammuddin bermain politik kerana enggan memberi taklimat kepada MP Pakatan.

“Saya terkejut bila satu jemputan taklimat dihantar kepada MP BN sahaja. Ia adalah tragedi nasional dan semua MP patut diberi taklimat menyeluruh.

“Pada saat kritikal begini, Hishammuddin sebagai menteri pengangkutan masih lagi bermain politik kepartian, dan (ini membuatkan) kami sedih dan kecewa.

“MP Pakatan bersatu hati dengan seluruh rakyat dalam mendoakan untuk keselamatan MH370,” katanya yang mahu kerajaan bertanggungjawab dalam isu tersebut.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sementara itu, MP Kelana Jaya Wong Chen berkata Hishammuddin selaku naib presiden Umno seharusnya menggunakan saluran dalam parti tersebut sekiranya hanya berniat untuk memberi maklumat kepada MP BN.

"Bagaimana menteri boleh guna kepala surat kementeriannya, tetapi hanya MP BN yang dibenarkan datang?

"Jika beliau hanya mahu jemput BN, beliau sepatutnya guna kepala surat Umno dan guna sumber Umno sahaja," katanya.

MALAYSIAKINI

Ahad, 16 Mac 2014

MH370 : ANWAR DIKAITKAN PULAK ?



KUALA LUMPUR: Hari ini sudah masuk hari kesembilan kehilangan pesawat MH370 menghantui dunia.

Daripada jangkaan awal bahawa pesawat itu mungkin terhempas dengan fokus pencarian di Laut China Selatan dan Selat Melaka, pengumuman Perdana Menteri, Najib Razak dalam sidang akhbar yang tidak boleh ditanyakan soalan semalam, perhatian kini bertukar dimensi dengan kebarangkalian ianya dirampas atau sengaja disabotaj pula.

Sebagaimana yang didedahkan Najib juga, pesawat itu kini mungkin berada di sempadan antara Turkmenistan dan Kazashtan sehingga ke utara Thailand atau di koridor selatan yang mengunjur daripada Indonesia hingga ke Lautan Hindi.

Maklumat daripada radar TUDM bahawa pesawat itu sengaja dialihkan tujuannya serta sistem komunikasi juga dimatikan dengan sengaja, sudah pasti untuk mengelak dikesan, tumpuan kini ialah kepada mereka yang berada di dalam kokpit pesawat itu iaitu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid.

“Persoalannya ialah jika pesawat itu dirampas, apakah juruterbangnya diugut oleh sekumpulan perampas yang menyamar sebagai penumpang atau beliau merupakan sebahagian daripada komplot rampasan itu?” tanya penulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Dalam perkembangan terbaru yang didedahkan oleh akhbar Daily Mail, Ahmad Zaharie juga didakwa berada di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac untuk memberi sokongan moral kepada Anwar Ibrahim dan menyaksikan sendiri detik-detik hukuman 5 tahun penjara itu dijatuhkan.

Selepas mahkamah berakhir pada 7 malam, barulah beliau pulang ke rumah dan kemudian pada jam 9 malam terus bertolak ke KLIA untuk tugasan membawa pesawat MH370 ke Beijing.

Menurut Shahbudin lagi, selain akhbar luar negara, beberapa blog dan pengendali laman sosial pro Umno, tanpa segan-silu terus mengaitkan Zaharie dengan hukuman penjara terhadap Anwar sebagai punca kehilangan pesawat itu.

harakahdaily

ENAM MENINGGAL DUNIA DI KONSERT. BUKAN DI USA..TAPI DI MALAYSIA !


Enam orang meninggal dunia kerana pengambilan dadah berlebihan dalam Future Music Festival Asia (FMFA) malam tadi menyebabkan pihak penganjur terpaksa membatalkan hari terakhir festival itu selepas polis menasihatkan mereka berbuat demikian.

"Demi kepentingan keselamatan awam, kami mengambil dan menerima nasihat pihak berkuasa untuk tidak meneruskan hari ketiga FMFA 2014.

"Ini juga adalah untuk membantu siasatan yang sedang berjalan. Kami menghargai kerjasama dan penerimaan baik semua pihak serta akan berkongsi maklumat terkini mengenai perkara ini secepat mungkin," kata pihak penganjur dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook festival itu.


 Portal berita The Star hari ini melaporkan seorang mati di tempat kejadian, di Stadium Bukit Jalil, manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.


Tiga yang lain meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM ).

Antara yang meninggal adalah seorang pemuda Melayu, dua wanita Melayu, seorang Cina dan India.
Kesemua rakyat Malaysia ini berusia antara 21 dan 28 tahun.

Polis berkata, empat orang lagi, dua daripada mereka koma dan berada dalam keadaan kritikal di kedua-dua buah hospital.

Yang masih kritikal adalah dua Melayu dan dua Cina.

Berikutan kematian tersebut, pihak penganjur membuat laporan polis dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Polis menutup beberapa bahagian Stadium Bukit Jalil untuk menghalang penonton konsert memasuki kawasan festival.

Pharrell, Macklemore & Ryan Lewis dan Rudimental dijadualkan mengadakan persembahan hari ini.
Penyanyi rap tempatan, Sayla berkata, mereka tidak tahu mengenai jadual persembahan pada hari ini.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Kami semua hanya melepak di belakang pentas menunggu sebarang arahan. Kami dijadualkan melakukan persembahan tetapi kami masih menunggu. Bassment Sindiket sepatutnya membuat persembahan dahulu sebelum kami tetapi baru sahaja sebentar, persembahan mereka dihentikan,” katanya. – 15 Mac, 2014.

themalaysianinsider

Jumaat, 14 Mac 2014

RAJA BOMOH UGUT SAMAN JIKA TUDUH RITUAL LANGGAR SYARIAT



KUALA LUMPUR: Individu yang menggelarkan dirinya Raja Bomoh mengugut akan menyaman pihak yang menuduh ritualnya di KLIA dalam usaha mengesan kehilangan Pesawat MH370 sebagai melanggar syariat.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Ibrahim Mat Zin berkata, ritual ala menaiki permaidani terbang dengan memegang kelapa, serta menggantung bubu dengan teropong buluh yang dilakukan mereka dibuat berlandaskan syariat Islam.

“Penggunaan barang itu hanya sebagai simbolik atau petua yang diturunkan oleh orang tua dan bukannya untuk dipuja.

“Saya harap orang ramai tidak mudah menuduh saya terpesong daripada ajaran Islam dan tindakan mahkamah akan diambil kepada mereka yang degil,” katanya dipetik akhbar Umno itu.

Tindakan kumpulan pembomohan itu sebelum ini dikecam banyak pihak dan disifatkan sebagai sesuatu yang khurafat dan memalukan umat Islam dan Malaysia yang kini menjadi perhatian dunia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri menyifatkan tindakan tersebut jelas adalah bertentangan dengan Islam.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan.

Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam.

Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menempatkan pegawainya untuk memantau aktiviti pembomohan itu ekoran dua kali kumpulan Raja Bomoh itu membuat ritual mereka di KLIA itu.

Khamis, 13 Mac 2014

MALAYSIA LEMAH URUS KRISIS ?



KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengakui terdapat kelemahan kerajaan dalam menguruskan isu kehilangan pesawat MAS MH370.

Pengakuan itu dibuat beliau ketika mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

"Betul, kita akui ada kelemahan. Kita pun rasa insiden ini agak luar biasa sebab tiada petunjuk.

"Kita terpaksa mencari dalam gelap," kata beliau.

Terdahulu Anwar dalam ucapannya menegur sikap kerajaan yang bercelaru dalam menangani krisis, khusus dalam isu kehilangan MH370.

Ianya termasuk kenyataan-kenyataan bercanggah di antara pemimpin negara dan pihak keselamatan yang mengelirukan semua pihak yang menanti penuh harapan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kelemahan tersebut turut menjadi bualan negara-negara luar sehingga kerajaan Vietnam dan China menzahirkan rasa kecewa kerana  mendapat maklumat terhad dari Malaysia.

Kelemahan itu juga menjadi tajuk utama media luar negara sekaligus menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Mereka bukan tanya kapal terbang duk di mana, itu bomoh dah jawab.

"BN kata kita main politik. Tapi dengan cara kita urus krisis ini, jahanam imej kita," kata beliau.

Beliau juga menyelar sikap pihak yang membenarkan sekumpulan bomoh membuat ritual di KLIA yang disifatkan sebagai khurafat yang juga memalukan negara.

"Saya minta siasat siapa terlibat, siapa urus siapa bayar," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah berkata, dalam isu pengurusan krisis kehilangan MH370 ini, bukan sahaja negara hilang kapal terbang, penumpang serta anak kapal, tetapi juga hilang kredibiliti pemimpin negara.

harakahdaily

Selasa, 4 Mac 2014

MUSLIMAT TELUK INTAN BERJAYA ANJUR HI-TEA DAN CERAMAH USTAZAH NOR HAFIZAH MUSA



TELUK INTAN, 2 Mac - Demi merakyatkan ilmu, Dewan Muslimat PAS Kawasan Teluk Intan dan Pusat Pengajian Al Quran dan Sunnah (PUNSU) telah menganjurkan satu majlis ceramah agama dengan menjemput seorang penceramah agama terkenal, Ustazah Nor Hafizah Musa. Majlis telah diadakan di Arena Square Teluk Intan dekat sini.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat Teluk Intan, Pn. Hjh. Faridah Rajiah, antara objektif program ialah agar masyarakat mendapat ilmu kekeluargaan kerana percaya keluarga bahagia akan dapat melahirkan insan yang baik. Oleh kerana itu tajuk ceramah "Baiti Jannati" yang disampaikan oleh Ustazah Nor Hafizah dapat memberikan beberapa tips terbaik bagaimana mewujudkan sebuah keluarga bahagia mengikut perspektif Islam.
Acara bermula dengan alunan nasyid.
Wakil PUNSU menyampaikan ucapan aluan.
Pegawai Tadbir Agama menyampaikan ucapan.

Menurut beliau lagi, majlis berkonsepkan minum petang sambil mendengar ceramah telah berjaya menarik lebih seribu orang yang hadir memenuhi segenap ruang dewan. Majlis bermula seawal jam 2.00 petang dengan alunan nasyid. Seterusnya, Pengerusi PUNSU dan Pegawai Tadbir Agama Hilir Perak telah menyampaikan ucapan.






Kemudian, Ustazah Nor Hafizah Musa yang juga merupakan seorang selebriti televisyen bagi rancangan berbentuk keagamaan telah menyampaikan ceramah beliau secara santai. Ceramah beliau telah berjaya menarik perhatian setiap hadirin dalam kalangan kaum muslimin dan muslimat. Di penghujung ceramah, sesi soal jawab turut diadakan untuk memberi peluang para hadirin mengemukakan sebarang pertanyaan atau masalah tentang kekeluargaan.


intanhijau.blogspot.com