JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Khamis, 30 Januari 2014

PASTI KAWASAN TELUK INTAN SEMAKIN BERKEMBANG



TELUK INTAN, 30 Januari - Pusat Asuhan Tunas Islam atau ringkasnya PASTI merupakan sistem pendidikan prasekolah yang berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Islam. Ia semakin mendapat sambutan dalam kalangan ibu bapa yang ingin melihat anak mereka mendapat pendidikan agama pada umur prasekolah. Fenomena tersebut tidak ketinggalan dialami oleh PASTI Kawasan Teluk Intan.

Bagi sesi persekolahan 2014, bilangan murid PASTI Kawasan Teluk Intan kini berjumlah 275 orang. Hampir kesemua unit PASTI di sekitar Teluk Intan telah mencatat pertambahan bilangan murid. Apa yang membanggakan, mulai sesi 2014, sebuah lagi unit PASTI telah berjaya ditubuhkan yang menjadikan bilangan unit bertambah kepada tujuh buah semuanya.
Ustaz Rijal sedang mendengar penerangan dari seorang guru PASTI.
Seorang guru sedang memberikan maklumat PASTI kepada TYDP.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Teluk Intan (DPPKTI), Ustaz Rijal Abu Bakar yang melakukan lawatan, unit PASTI yang baru itu ialah PASTI Nurul Iman Taman Melor. Enam lagi PASTI yang sedia ada ialah PASTI Ibnu Sina Kg. Padang Tembak, PASTI Al Khairiah Kg. Banjar, PASTI Al Falah Taman Desa Aman, PASTI Al Hidayah Batak Rabit, PASTI Ibnu Khaldun Kg. Bahagia dan PASTI Ibnu Rusyd Taman Cicely.

"PASTI yang mempunyai bilangan murid paling ramai ialah di PASTI Ibnu Sina Kg. Padang Tembak yang telah mencatat bilangan murid seramai 95 orang. Kita juga mempunyai 18 orang guru yang sentiasa istiqamah mendidik anak-anak PASTI dengan penuh komitmen."

"Selain itu, insyaAllah pihak PASTI Kawasan bercadang menubuhkan dua unit PASTI lagi pada sesi 2015 akan datang," tambah beliau.



Proses pembelajaran berjalan lancar pada awal tahun.
Baru-baru ini, pihak DPPKTI telah mengadakan lawatan awal tahun kesemua PASTI. Lawatan tersebut adalah bertujuan mendapatkan maklumat tentang PASTI di samping mendengar sebarang masalah yang dihadapi oleh PASTI khususnya para guru semasa PASTI dibuka pada awal tahun. Turut sama menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Sdr. Rahmat Maliki, Timbalan Ketua DPPKTI Ustaz Firdausi Ziyaudin, Pengerusi PASTI Kawasan Teluk Intan Sdr. Ismal Adnan dan beberapa orang AJK DPPKTI.


Dalam kunjungan ke PASTI, pihak DPPKTI telah menyampaikan sumbangan berupa peralatan tulis guru dan murid kepada setiap PASTI yang dilawati.
Seorang guru menerima sumbangan alat tulis daripada Ustaz Rijal.
"Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada para ibu bapa yang masih memberikan kepercayaan penuh kepada PASTI mendidik anak-anak mereka. Terbuktilah pada tahun ini, PASTI masih lagi menjadi pilihan utama para ibu bapa. Tidak lupa juga kepada semua guru PASTI yang masih istiqamah bersama PASTI dan begitu sabar mendidik anaka-anak didik," tambah Ustaz Rijal.

intanhijau.blogspot.com

Selasa, 28 Januari 2014

PAKATAN RAKYAT TELUK INTAN ANJUR FLASHMOB BANTAH KOS HIDUP NAIK



TELUK INTAN, 28 Januari - Kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat telah mendapat perhatian yang serius oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Penderitaan dan kesusahan rakyat seolah-olah tidak didengari oleh pemimpin UMNO/BN. Malah, beberapa barangan dan perkhidmatan dinaikkan harga dengan tanpa menghiraukan keluhan rakyat.

Sehubungan dengan itu, Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Teluk Intan telah melakukan usaha proaktif dengan menganjurkan flashmob membantah kenaikan harga barang. Flashmob itu juga diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada rakyat betapa suasana kehidupan sebenarnya menuju ke arah yang tidak baik kepada rakyat.

Lokasi flashmob ialah di Pasar Selasa, Kg. Bahagia dekat sini. Kesemua peserta flashmob telah mula berkumpul seawal jam 5.30 petang iaitu waktu kemuncak kehadiran pengunjung ke Pasar Selasa. Mengambil tempat di tepi lampu isyarat telah memberi peluang pemandu kenderaan membaca mesej-mesej yang tertulis pada banner dan kad manila seterusnya membunyikan hon tanda mereka menyokong. Risalah juga turut diedarkan kepada orang ramai.

ADUN Pasir Bedamar YB Terence Naidu dari DAP turut hadir bersama beberapa orang aktivis DAP Teluk Intan. Begitu juga di pihak PAS Kawasan Teluk Intan, ia dihadiri oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, beberapa orang ahli jawatankuasa PAS kawasan, Ketua Pemuda Kawasan serta pimpinan PAS Cawangan Kg. Bahagia dan Lorong Masjid.

Semoga flashmob memprotes kos hidup naik akan memberikan kesedaran rakyat akan kezaliman BN serta betapa lemahnya kepimpinan Perdana Menteri dalam menangani masalah rakyat dan ekonomi negara.

intanhijau.blogspot.com

Isnin, 27 Januari 2014

ADUN KAJANG (PKR) LETAK JAWATAN



SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut berkuatkuasa serta-merta pada Isnin.

Perkara itu diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dalam satu sidang media tergempar di Dewan Annexe di sini petang Isnin.

"Pada hari ini, 27 Januari 2014 saya telah menerima perletakan jawatan daripada Adun Kajang. Lee Chin Cheh berjumpa dengan saya dan menyerahkan surat pelepasan keahliannya hari ini.

"Selaras dengan undang-undang tubuh perkara 68 bahawa seseorang Adun boleh melepaskan keahliannya melalui surat dibawah tandatangannya yang ditujukan kepada speaker.

"Maka dengan ini saya isytiharkan kerusi N25 Kajang telah dikosongkan," katanya.

Justeru itu, beliau berkata selaras dengan Fasal 5 perkara 70 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut.

Menurut Hannah, beliau akan memaklumkan mengenai kekosongan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pagi Selasa.

"Hari ini dah tak sempat nak beritahu. Saya akan maklumkan kepada SPR pagi esok (Selasa) bagi memberi laluan Pilihan Raya Kecil diadakan," katanya.

Ketika diasak media apakah punca peletakan jawatan Lee, Hannah berkata beliau (Lee) tidak menyatakan sebarang alasan di dalam surat tersebut.

"Anda patut tanya beliau sendiri mengenai alasan peletakan jawatan itu. Tugas saya sebagai Speaker hanyalah dimaklumkan mengenai perkara itu dan saya telah menerima surat daripadanya," kata Hannah yang juga Adun Subang Jaya.

Ketika ditanya sama ada peletakan jawatan itu ada kena mengena dengan kemelut dalaman membabitkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Adun Gombak, Mohamed Azmin Ali, Hannah menjawab,"tiada komen."

"Saya tak nak komen mengenai perkara itu. Malah saya turut terkejut dengan peletakan jawatan Lee," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada peletakan jawatan tersebut dilakukan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Hannah berkata, beliau enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu kerana ia hanyalah khabar angin.

"Saya tak nak komen mengenai calon kerana berita tentang Anwar hanyalah khabar angin. Apa yang boleh saya katakan, hari ini kerusi N25 (Kajang) telah dikosongkan dan kerusi itu milik PKR ," katanya.

mstaronline

Ahad, 26 Januari 2014

PAS BATU 3 CICELY EDAR LIMAU SEMPENA TAHUN BARU CINA



TELUK INTAN, 26 Januari - Tahun Baru Cina bakal disambut oleh masyarakat tionghua seluruh negara. PAS Cawangan Batu Tiga Cicely turut tidak ketinggalan meraikan penduduk di kawasan tersebut dengan mengedarkan limau kepada penduduk tionghua.

Menurut Ketua PAS Cawangannya, Sdr. Ahmad Kabir Mahdin, aktiviti sebegini pertama kali dilakukan oleh cawangannya. Malahan, tahun-tahun sebelumnya PAS Batu Tiga Cicely telah mengadakan aktiviti tersebut.
Sdr. Ahmad Kabir sedang menyampaikan cenderahati Tahun Baru Cina.
Ketua Pemuda cawang Sdr. Nahar memberikan cenderahati kepada seorang penduduk tionghua.

"Apatah lagi, penduduk kawasan di sekitar Taman Cicely ini majoritinya adalah kaum tionghua. Malah, pada PRU13 yang lalu, kaum tionghua telah memberikan undi kepada calon PAS yang bertanding di DUN Changkat Jong yang menyebabkan Unit Peti Undi Taman Cicely mencapai kemenangan besar walaupun gagal memenangkan calon PAS dalam pilihan raya lalu," tambah beliau.

Beliau yang juga merupakan Ketua Lujnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Teluk Intan berharap usaha sedemikian dapat memberikan gambaran positif kaum bukan Melayu terhadap PAS yang kini berusaha merealisasikan konsep 'Rahmat Untuk Semua'.

Sebanyak 30 bungkus cenderahati telah diedarkan ke rumah-rumah. Kehadiran pimpinan dan ahli PAS telah disambut baik oleh kebanyakan penduduk tionghua. Ada yang berharap PAS dapat memegang semula DUN Changkat Jong pada PRU akan datang.

Turut serta ialah Naib Ketua Cawangan Sdr. Rahmat Maliki, Setiausaha Cawangan Sdr. Kamaruzzaman Muhammad, Ketua Pemuda Cawangan Sdr. Nahar Azmi Nadzri dan Ketua Penerangan Cawangan, Sdr. Mohd. Najib.

intanhijau.blogspot.com

Ahad, 19 Januari 2014

HARGA NAIK : JANGAN SALAHKAN KERAjaan, SALAHKAN ORANG TENGAH..!



KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyelar sikap 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan memburukkan kerajaan dengan menaikkan harga barang.

Beliau berkata 'orang tengah' ini cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan kaedah menaikkan harga barang yang jelas akan membebankan rakyat.

"Kita sedar banyak orang tengah ini lebih menyokong pembangkang. Apa yang dilakukan adalah buat satu kaedah supaya rakyat benci kepada BN. Ini tidak adil. Kenapa hendak buat cara ini," katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul bersama komuniti masyarakat Acheh Malaysia di Jalan Raja Bot di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan para peniaga Islam dan bukan Islam supaya tidak mengaut keuntungan berlebihan.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno menyifatkan pihak yang memainkan isu 'kangkung' sebagai bodoh.

"Saya hendak bagi tahu mereka ini bodoh. Main isu kangkung ini bodoh. Mereka tidak tahu connotation (makna tersirat) apa maksudnya kerana kangkung ini murah boleh ditanam merata-rata.

"Datuk Seri Najib sebenarnya hendak sebut, kenapa ini pun boleh jadi harga turun naik," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Tengku Adnan meminta peniaga-peniaga masyarakat Acheh menyokong usaha Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu kenaikan harga barang.

"Peniaga-peniaga Acheh yang ada di Jalan Raja Bot, Datuk Keramat, Kampung Baru dan persekitaran negara ini, saya merayu agar membantu kerajaan BN kerana kebelakangan ini banyak orang telah mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

"Saya berharap Persatuan Peniaga Acheh akan menjadi contoh untuk menurunkan harga supaya rakyat di negara ini dapat menikmatinya," katanya.

Pada majlis itu, Tengku Adnan turut dipakaikan songkok khas sebagai tanda pelantikan beliau sebagai Penaung Komuniti Masyarakat Acheh Malaysia. - Bernama

Sabtu, 11 Januari 2014

PAS TELUK INTAN LAWAT RUMAH KENA BANJIR



TELUK INTAN, 11 Januari - Hujan lebat tidak berhenti-henti menyebabkan kebanyakan tempat telah dinaiki air. Ia menyebabkan mangsa yang terlibat terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan. Sekitar kawasan Teluk Intan turut tidak ketinggalan mengalami banjir. Terdapat beberapa tempat telah dinaiki air. 

PAS Kawasan Teluk Intan telah bertindak proaktif dengan  melawat sendiri ke rumah yang dinaiki banjir untuk menyelami masalah penduduk. Baru-baru ini, PAS Teluk Intan telah melawat ke sebuah rumah di Kg. Selabak yang sering dinaiki air setiap kali musim hujan.

Rombongan lawatan telah diketuai sendiri Yang DiPertuanya Ustaz Ismail Che Nik bersama beberapa orang ahli jawatankuasanya. Turut hadir ialah Timbalan Yang DiPertua Kawasan Sdr. Rahmat Maliki, Bendahari kawasan Hj. Mohd. Anuar Sudin dan ahli jawatankuasa kawasan Hj. Mayadin Daud. Turut sama ikut serta ialah ahli jawatankuasa Dewan Pemuda kawasan Faizal Abd. Rahman dan ahli pemuda Najib Masuri. Selain itu, Ketua PAS Cawangan Kg. Padang Tembak Dalam Hj. Ramli Jailani dan ahli jawatankuasanya Sdr. Jamaluddin Ahmad turut sama hadir.

Keadaan dalam rumah.
Bersama seorang penghuni rumah.
Menurut Ustaz Ismail, PAS Teluk Intan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat terutama yang ditimpa bencana seperti banjir. Rumah tersebut selalu dinaiki setiap kali musim hujan dan air pasang. Kedalaman air di kawasan rumah tersebut hampir mencapai paras lutut yang menyebabkan air telah masuk ke dalam rumah.

"PAS Kawasan berasa simpati dan mengambil keputusan untuk memberikan sumbangan simen dan pasir supaya lantai rumah itu ditinggikan agar tidak dinaiki air lagi," katanya.

Menurut beliau lagi, PAS Teluk Intan berasa kesal kerana walaupun masalah banjir ini berlaku setiap tahun dan telah diadukan kepada pihak berkenaan namun tiada usaha konkrit bagi mengatasi masalah tersebut.

intanhijau.blogspot.com

Khamis, 9 Januari 2014

PAS TELUK INTAN ZIARAH AKTIVIS PAS



TELUK INTAN, 9 Januari - Kebajikan merupakan salah satu cara PAS mendekati masyarakat. Walau bagaimanapun kebajikan terhadap ahli parti tidak pernah dilupakan oleh PAS. Malahan, pimpinan tertinggi PAS sendiri sering mengingat akan pentingnya menjaga kebajikan ahli-ahli. Itulah juga yang menjadi salah satu agenda PAS Kawasan Teluk Intan iaitu menziarahi ahli-ahli parti yang uzur dan sebagainya.

Baru-baru ini PAS Kawasan Teluk Intan telah menziarahi seorang aktivis parti di Lorong 5A, Kg. Bahagia dekat sini. Aktivis tersebut, Hj. Ziyauddin Mohd. Yusuf, 63, telah terkena strok di bahagian sebelah kanan badan. Sebelum ini, beliau juga telah menghidap kencing manis.
Sebahagian pimpinan PAS kawasan, pemuda dan cawangan yang hadir.
Muslimat kawasan bersama isteri Hj. Ziyaudin.
Hj. Ziyauddin sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai ahli jawatankuasa PAS Cawangan Kg. Bahagia. Beliau amat dikenali oleh masyarakat di sekitar sini yang terkenal dengan kegigihan mengimarahkan cawangan dengan aktiviti-aktiviti ceramah. Beliau juga merupakan salah seorang penggerak utama ke arah pembinaan Markaz PAS Kg. Bahagia pada tahun 90-an yang kini tersergam indah di cawangan tersebut.
Doa dipanjatkan memohon keselamatan dan kesihatan yang baik.
Terharu dengan kehadiran sahabat-sahabat sejamaah.
Rombongan ziarah telah diketuai oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik. Turut serta ialah Timbalan Yang DiPertua PAS kawasan Sdr. Rahmat Maliki, mantan ADUN Changkat Jong Hj. Mohd. Anuar Sudin bersama isteri, serta beberapa orang ahli jawatankuasa PAS kawasan.

Turut sama hadir ialah beberapa orang ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan yang diketuai sendiri oleh ketuanya, Ustaz Rijal Abu Bakar.

Pihak PAS Kawasan juga telah memberikan sumbangan sebagai tanda penghargaan jasa Hj. Ziyauddin.

intanhijau.blogspot.com

Selasa, 7 Januari 2014

PAS TELUK ZIARAH VETERAN PAS DI HOSPITAL TELUK INTAN



TELUK INTAN, 7 Januari - Menjaga kebajikan ahli parti merupakan salah tanggungjawab yang tidak boleh dilupakan oleh PAS selain daripada menjaga kebajikan golongan yang kurang mampu. Apatah lagi jika ahli tersebut telah banyak mencurahkan jasa dan bakti kepada parti.

Baru-baru ini, PAS Kawasan Teluk Intan melalui Lajnah Kebajikannya telah meziarahi seorang veteran parti di Hospital Teluk Intan. Hj. Ahmad Fadhil, 73, atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Fadhil telah menderita penyakit prostat.

Cikgu Fadhil pernah menjadi ahli jawatankuasa PAS Cawangan Kg. Bahagia pada sesi yang lalu. Rombongan ziarah kawasan telah diketuai Yang DiPertua PAS Kawasan Ustaz Ismail Che Nik dan turut disertai Timbalan Yang DiPertua PAS kawasan Sdr. Rahmat Maliki, mantan ADUN Changkat Jong Hj. Mohd. Anuar Sudin, Ketua Lajnah Kebajikan Sdr. Samsudeen Mahmood serta beberapa orang ahli jawatankuasa cawangan.

 intanhijau.blogspot.com

HARD ROCK CAFE BERCIRIKAN ISLAM DI PUTRAJAYA - hehe mulianya menteri ni...


Hard Rock Cafe dikenali dengan muzik keras dan tempat minuman keras berlaga gelas.

Tetapi jika dibuka di Putrajaya, menteri berkaitan mahukan ia bercirikan Islam.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Hard Rock Cafe Putrajaya tidak patut menyajikan minuman keras dan mempunyai persembahan nasyid secara langsung.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, kerajaan akan membenarkan Hard Rock Cafe membuka cawangan di pusat pentadbiran negara itu jika beroperasi secara Islamik dan tidak melanggar garis panduan Perbadanan Putrajaya.

“Kita hanya benarkan hiburan yang bersih, kita tidak mahu insiden dan persembahan provokatif,” katanya dalam sidang media.

intanhijau.blogspot.com

Ahad, 5 Januari 2014

MUFTI PERAK PERTAHAN BUGHAH ...


Berhadapan serangan daripada pelbagai pihak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) terus mempertahankan kenyataannya menggelar peserta perhimpunan pada malam sambutan ambang 2014 di Dataran Merdeka sebagai golongan bughah (penderhaka) yang halal darah mereka kerana kononnya ia sesuai dengan apa yang terkandung dalam ajaran Al Quran.

Mufti Perak itu berkata, kenyataan asal beliau adalah berdasarkan demonstrasi yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi nama “guling kerajaan” telah ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai dan diganti dengan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).

“Bughah atau darah halal disebut dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan. Mereka kata mereka benar tetapi cara mereka salah. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan juga bom buatan sendiri.

“Saya kaitkan dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud: Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah),” katanya seperti dilapor akhbar Sinar Harian hari ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Dr Khairudin Aman Razali berkata pada Khamis, kenyataan Harussani itu sangat jahil mengkategorikan peserta perhimpunan sebagai pemberontak malah lebih malang dan merbahaya apabila darah peserta pula diisytiharkan sebagai halal.

Katanya, kenyataan Harussani itu amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah dalam Islam serta boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat.

Turut tidak bersetuju dengan Harussani adalah bekas Mufti Perlis, Dr Mohamad Asri Zainal Abidin yang berkata, hanya mereka yang menentang kerajaan dengan bersenjata dan memiliki kekuatan sahaja yang dikira bughah.

Harussani berkata kenyataan yang dikeluarkannya bukanlah didalangi oleh pihak tertentu atau faktor kewangan tetapi berlandaskan nas Al Quran.

“Walaupun diletakkan duit di depan saya dengan nilai setinggi RM10 bilion pun, saya tidak akan sesekali bercakap bukan daripada landasan Islam. Apa yang saya kata berdasarkan firman Allah. Bukan saya reka, jauh sekali mencari publisiti.

“Kita nak buat kerja agama kena jujur, jangan tukar kenyataan. Nak kata apa, katalah. Banyak yang mengata, banyak juga yang menyokong saya. Kenyataan asal saya disalah ertikan beberapa pihak hingga terjadi macam ni,” katanya.

malaysianinsider

Jumaat, 3 Januari 2014

"FATWA SONGSANG" KERANA BERGANTUNG KEPADA MAKLUMAT MEDIA PERDANA



IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kemungkinan mendapat maklumat yang salah hingga sanggup mengeluarkan 'fatwa' keterluan mendakwa peserta Himpunan Turun sebagai 'bughah' dan halal darah mereka.

Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, PAS merasakan Harussani membuat kenyataan tersebut bergantung semata-mata laporan akhbar arus perdana dan media elektronik.

Menurutnya, laporan media jelas menyatakan perhimpunan tersebut mahu menggulingkan sebuah kerajaan yang sah dan berdasarkan laporan itu, tanpa mendapat maklumat yang tepat dari sumber lain menyebabkan Mufti Perak itu mengeluarkan fatwa yang songsang itu.

"Namun begitu, sebagai seorang mufti yang wibawa, berpengalaman dan sudah lama berkhidmat, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang dianggap fatwa terburu-buru.

"Apapun alasan, Mufti Perak tetap tersilap dan salah dalam mengeluarkan kenyataan seumpama itu," katanya kepada Harakahdaily.

Jelas beliau, fatwa songsang itu telah memberi kesan yang negatif kepada institusi mufti itu sendiri sekalipun kenyataan itu bukan fatwa rasmi tetapi rakyat yang jahil akan menjadikan kenyataan itu pegangan yang rasmi.

Misbahul berkata, bagi membersihkan nama mufti sama ada sebagai sebuah institusi yang dihormati atau sebagai individu ulama yang disegani, Harussani wajar menarik balik kenyataannya dan meminta maaf pada rakyat khususnya yang berhimpun pada malam ambang tahun baru itu.

"PAS Perak menasihatkan dan menegur agar beliau (Harussani) lebih berhati-hati dalam menyanggah hak-hak rakyat untuk berhimpun, juga berhati-hati dan menapis laporan-laporan akhbar yang bersifat propaganda semata-mata.

"Gunakanlah pegawai-pegawai kanannya di pejabat Mufti untuk mencari sumber lain yang lebih sahih dan boleh dipercayai," jelasnya lagi.

Tegas beliau, sebagai seorang mufti, bukan sahaja betanggungjawab dalam menjaga hal ehwal berkaitan dengan aqidah rakyat tetapi lebih bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan halal haramnya perjalanan pemerintahan hari ini.

Beliau katanya perlu menegur kepincangan dalam amalan kerajaan seperti rasuah yang berleluasa, pembaziran, salah guna kuasa, penyelewengan, program-program maksiat anjuran kerajaan dan sebagainya.

"Sebagai Mufti, sangat tidak wajar mengikut telunjuk pihak yang berkuasa dan menjadikan rakyat seolah-olah musuhnya melalui kenyataan songsang," tegasnya lagi.

harakahdaily

Khamis, 2 Januari 2014

FATWA HARUSSANI SONGSANG, MENYESATKAN ...- DEWAN ULAMA PAS PUSAT



KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan kenyataan terbaru Mutfi Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melabel perserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sebagai 'bughah' (pemberontak) dan halal darahnya, sebagai fatwa songsang.

Ketua penerangan dewan itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, 'fatwa' Harussani itu sangat mendukacitakan dan menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah.

"Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani bahawa para demonstrator pada 31 dis 2013 di Dataran Merdeka baru-baru ini sebagai "bughah" dan "halal darah" amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah dalam Islam.

"Ia satu penyelewengan fakta tentang hukum-hakam Islam yang sangat ketara dan menyesatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, 'bughah' atau pemberontak dalam Islam ialah penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam dan ia termasuk sebagai salah satu kesalahan jenayah hudud dalam Islam.

Sedangkan katanya, peserta himpunan pada itu hadir dengan tangan kosong dan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup.

Tambah beliau lagi, takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan kepada Yang dipertuan Agong sebagai ketua negara bagi Malaysia.

"Adakah peserta perhimpunan 31 dis 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah?

"Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah," ujar beliau lagi.

Kenyataan mufti itu kata beliau lagi satu 'fatwa' yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat.

"Sangat dibimbangi "fatwa" seumpama itu membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat.

"Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini," tegasnya.

harakahdaily

Rabu, 1 Januari 2014

KEMBARA DAKWAH MALAM TAHUN BARU DI TELUK INTAN



TELUK INTAN, 31 Disember - Seperti lazimnya, sambutan malam tahun baru diadakan setiap tahun. Sudah pasti acara-acara yang dihidangkan telah menarik para pengunjung yang sebahagian besarnya golongan muda.

Menyedari akan salah satu peranan PAS menyebarkan dakwah atas dasar mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran maka pihak PAS Kawasan Teluk Intan telah mengadakan program Kembara Dakwah sempena sambutan malam tahun baru yang diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan dekat sini.

Operasi tersebut telah disertai pimpinan PAS kawasan, Dewan Pemuda kawasan serta ahli-ahli cawangan. Pada jam 11.00 malam, taklimat telah diadakan dan seterusnya pembahagian kumpulan serta pengagihan risalah. Doa juga telah dipanjatkan memohon kepada Allah agar operasi tersebut berjalan dengan baik dan lancar. Operasi telah dibahagikan kepada dua kumpulan yang bergerak ke Dataran Menara Condong mengikut laluan berbeza.
Taklimat sebelum kembara dakwah bermula.
Sesampainya di sana, suasana telah sesak dengan para pengunjung tidak kira tua ataupun muda. Ada yang datang membawa ahli keluarga masing-masing. Majoriti yang hadir terdiri daripada golongan remaja Melayu.

Sebelum jam 12.00 tengah malam, beberapa persembahan hiburan telah diadakan. Suasana tersebut telah diambil peluang oleh para peserta Kembara Dakwah memberikan risalah kepada orang ramai. Bahan risalah lebih banyak menyentuh tentang aurat, ciri-ciri individu muslim, batas pergaulan dan sebagainya.

Sebahagian pengunjung menerimanya dengan baik malahan ada yang datang sendiri meminta risalah tersebut. Tidak kurang juga ada yang enggan menerima pemberian risalah.

Kesimpulannya, Program Kembara Dakwah tersebut telah berjaya diadakan. Hampir seribu risalah telah berjaya diedarkan pada malam tersebut. Semoga ia telah memberi manfaat kepada pengunjung yang telah membacanya.

intanhijau.blogspot.com