JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Khamis, 28 Ogos 2014

PAS TELUK INTAN SANTUNI VETERAN PARTI



TELUK INTAN, 27 Ogos - Bak kata pepatah, tiada yang lama maka tiadalah yang baharu. Begitulah juga yang berlaku dalam PAS. Tiadalah pemimpin yang baharu jika tiada pemimpin lama. Oleh itu, PAS Teluk Intan melakukan usaha menjejaki serta menziarahi seorang veteran parti yang banyak berjasa kepada parti.

Baru-baru ini, pihak PAS Kawasan Teluk Intan telah menziarahi seorang veteran parti iaitu Nadzri bin Bahaudin di kediamannya di Kg. Padang Tembak dekat sini. Rombongan ziarah telah diketuai sendiri oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Ustaz Ismail Che Nik. Turut serta ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Rahmat Maliki dan Bendahari kawasan Hj. Mohd. Anuar Sudin.
Pak Cik Nadzri diapit oleh Ustaz Ismail dan Hj. Mohd. Anuar.
Selain itu, rombongan tersebut turut diserta pimpinan PAS Cawangan Padang Tembak yang terdiri daripada Naib Ketua cawangan Hj. Ismail Johari dan bendahari cawangan, Hj. Sanusi.

Encik Nadzri, 84, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Cik Nadzri pernah memegang jawatan sebagai Bendahari PAS Kawasan Teluk Intan sekitar tahun 80-an. Selain itu, Pak Cik Nadzri juga pernah diamanahkan oleh parti menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum tahun 1986. Beliau telah bertanding bagi kerusi Parlimen Teluk Intan tetapi kalah kepada calon BN. 

Di samping itu, beliau juga merupakan bekas Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) bagi DUN Changkat Jong. Beliau juga merupakan tulang belakang dan penggerak utama kepada pembangunan Markaz PAS Kawasan sekarang terutamanya dalam urusan pembelian tapak markaz.

Beliau yang merupakan bekas tentera berpangkat sarjan kini uzur mengidap sakit prostat, jantung dan darah rendah. Pak Cik Nadzri kini tinggal bersama-sama isteri yang juga sedang uzur bersama dua orang anak. Di dalam pertemuan tersebut, beliau menasihati pemimpin parti sekarang agar istiqamah dalam perjuangan Islam.

Ustaz Ismail menyampaikan cenderamata.

Di akhir pertemuan, Ustaz Ismail mewakili pihak PAS kawasan telah memberikan cenderamata manakala sumbangan wang tunai turut disampaikan oleh Hj. Mohd. Anuar Sudin mewakili PAS Cawangan Rumah Awam.

intanhijau.blogspot.com

Isnin, 25 Ogos 2014

SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT TELUK INTAN SESI BARU TELAH DIBENTUK



TELUK INTAN, 19 Ogos - Kerjasama parti-parti di dalam Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan supaya ia menjadi pilihan utama rakyat menggantikan Barisan Nasional yang semakin lemah. Demi memantapkan lagi kerjasama tersebut, Pakatan Rakyat di peringkat parlimen perlu ditubuh dan diaktifkan.

Baru-baru ini, Sekretariat Pakatan Rakyat Parlimen Teluk Intan telah disusun semula bagi sesi yang baharu ini. Pertemuan telah diadakan di Pusat Komuniti DAP di Bandar Baru Teluk Intan dekat sini dengan melibatkan ketiga-tiga parti iaitu PAS, DAP dan PKR.

Di dalam mesyuarat tersebut, beberapa keputusan bersama telah dicapai. Antaranya, ADUN Pasir Bedamar YB Terence Naidu telah dipilih sebagai Pengerusi PR Teluk Intan bagi menggantikan mantan Ahli Parlimen Teluk Intan mendiang Seah Leong Peng yang telah meninggal dunia. Manakala, bagi dua jawatan Timbalan Pengerusi pula ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik dan Ketua Cabang PKR Muhammad Hashim.

Cik Dyana Sofya (DAP) pula telah dilantik sebagai setiausaha bagi sekretariat manakala Hj. Mohd. Anuar Sudin (PAS) telah dilantik sebagai bendahari PR Teluk Intan. Selain itu, tiga orang wakil setiap parti dilantik bagi menganggotai ahli jawatankuasa sekretariat.

Pihak sekretariat juga telah merancang beberapa aktiviti tahunan dan bercadang mengadakan pertemuan secara bulanan.
Pengerusi Sekretariat PR Teluk Intan, YB Terence Naidu.
Menurut Pengerusinya YB Terence Naidu, diharapkan penyusunan semula Sekretariat PR Teluk Intan akan dapat merancakkan lagi program-program bersama rakyat. Beliau juga berharap persepakatan ini akan terus kekal hingga ke PRU14 nanti yang mana akan menyakin para pengundi bahawa PR layak untuk mewakili mereka di kerusi-kerusi DUN dan Parlimen nanti.

intanhijau.blogspot.com

Ahad, 24 Ogos 2014

RUMAH TERBUKA PAKATAN RAKYAT TELUK INTAN MERIAH



TELUK INTAN, 24 Ogos - Walaupun Syawal berada di penghujung namun majlis rumah terbuka masih tetap dianjurkan dipelbagai peringkat. Baru-baru ini, Sekretariat Pakatan Rakyat Teluk Intan telah mengadakan majlis rumah terbuka di Dewan Terbuka Markaz PAS Kg. Bahagia dekat sini.

Majlis yang telah diadakan pada sebelah petang dan dalam keadaan hujan itu tidak menghalang ratusan warga Teluk Intan hadir. Majlis telaj diseri dengan kehadiran pimpinan negeri dan kawasan. Antaranya ialah Pesuruhjaya PAS Perak Hj. Razman Zakaria dan ADUN DAP Pasir Bedamar YB Terence Naidu. Pimpinan PAS Kawasan Teluk Intan yang hadir ialah YDP PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik serta ahli-ahli jawatankuasa PAS Kawasan Teluk Intan, PAS Cawangan serta ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Teluk Intan.
Hj. Razman menyampaikan ucapan.
Hj. Azhar berucap mewakili PAS Kawasan Teluk Intan.

YB Terence Naidu mewakili DAP Teluk Intan.
Di dalam ucapan, Pesuruhjaya PAS Perak telah mengucapkan tahniah kepada pihak Pakatan Rakyat Teluk Intan yang telah berjaya menganjurkan rumah terbuka secara bersama. Beliau berharap, Pakatan Rakyat dapat mengadakan lebih banyak lagi program secara bersama yang dapat menyakinkan kepada rakyat terhadap kerjasama tersebut. Selain itu, ADUN Pasir Bedamar Sdr. Terence Naidu turut menyampaikan ucapan. Pelbagai jenis juadah telah disediakan seperti roti canai, capati, nasi impit dan sebagainya.
intanhijau.blogspot.com

Isnin, 18 Ogos 2014

Tidak timbul lagi soal sokong Khalid - Presiden PAS



KOTA BHARU: Presiden PAS menjelaskan Majlis Syura sebelum ini menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memandangkan ketika itu Menteri Besar Selangor masih lagi sebagai ahli PKR.

“Maka masalah itu sekarang tidak timbul lagi,” kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ditanya tuduhan penyelewengan terhadap Khalid belum lagi dapat dibuktikan kata beliau itu adalah perkara lain.

Jawatankuasa PAS Pusat semalam memutuskan PAS menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid.

Selain itu mesyuarat itu juga menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengisi jawatan tersebut.

Bercakap pada sidang media bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini katanya, ketika keputusan Majlis Syura menyokong Khalid masih lagi sebagai ahli PKR, namun sekarang tidak lagi. Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. (Foto atas oleh UKMB)

“Malah Khalid dilaporkan menghargai keputusan dibuat PAS semalam,” ujarnya.

Ditanya apa nasihat PAS kepada Khalid, katanya beliau hanya menyatakan pandangannya apabila dapat berjumpa dengan Menteri Besar nanti dan bukan kenyataan melalui media.

Mengenai cadangan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hanya mencadang nama Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor kata Presiden PAS, Majlis Presiden Pakatan menghargai pencalonan dibuat PAS menggantikan Khalid.

“Majlis Pimpinan mengambil maklum Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Azmin Ali diputuskan sebagai cadangan mengisi jawatan menteri besar.

“Sebaliknya Azmin menghormati keputusan partinya, ini maknanya kita serah kepada Sultan untuk putuskan dengan satu nama nama yang diangkat,”  ujarnya.

Oleh itu kata beliau tidak ada percanggahan dengan keputusan sebelum ini, dan terpulang kepada Sultan menamakan sesiapa sahaja termasuk Wan Azizah.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat turut menghargai pendirian PAS kekal bersama Pakatan Rakyat dan keperluan menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Ditanya kemungkinan Khalid membubarkan Dun, katanya itu terpulang kepada rakyat kerana kuasa membubar Dun hak sultan.

“Kita tidak boleh campur tangan. Kalau tuanku bubar maka kita terima realiti. Namun kita harap tidak berlaku begitu,” katanya.

Presiden PAS juga menolak persepsi nepotisme berlaku bagi mengisi jawatan Meneri Besar Selangor.

Manakala, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak dakwaan PAS sering berubah pendirian. Ini kerana kata beliau perubahan itu berlaku ketika sebelum ada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat.

“Dan apabila ada keputusan ia tidak lagi berubah kerana telah dibuat (Jawatankuasa PAS Pusat) dengan bilangan yang ramai,” katanya.

Beliau juga menyokong penuh keputusan dibuah Jawatnkuasa PAS Pusat untuk PAS kekal dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya kekal dalam Pakatan adalah perkara paling penting sebagai seorang beragama Islam kerana agama menyuruh supaya berpakat.

“Islam agama tauhid. Tauhid bermakna bersatu dan semasa Rasulullah saw hidup penyatuan dibuat dengan pelbagai bangsa dan agama yang kita panggil tahaluf siyasi.

“Syukur kepada Allah Taala dengan keputusan dibuat semalam kekal dengan Pakatan. Saya sokong keputusan dibuat jawatankuasa PAS Pusat, siapa jadi menteri besar itu soal lain,” tambahnya.  - HARAKAHDAILY 18/8/2014

Ahad, 17 Ogos 2014

Pakatan akhirnya terima Azizah calon tunggal



Pakatan Rakyat akhirnya memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sahaja sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Perkara itu baru diputuskan dalam mesyuarat majlis presiden PKR, DAP dan PAS di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor sebentar tadi.

"Majlis Pimpinan (Pakatan) juga mengambil maklum dan menghargai pencalonan Wan Azizah dan Azmin Ali untuk jawatan senteri besar.

"Bagaimanapun Azmin menegaskan bahawa beliau kekal menyokong keputusan PKR untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar baru Selangor," kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sebentar tadi.

Mesyuarat PKR sebelum itu telah memutuskan untuk tetap menyokong Wan Azizah seperti yang diputuskan parti 21 Julai lalu.

PAS pada tengah hari telah meminta satu lagi nama iaitu Azmin untuk dicalonkan sebagai menteri besar bersama Wan Azizah.

Justeru Anwar berkata PKR akan meneruskan proses memohon menghadap sultan Selangor untuk mempersembahkan keputusan itu kepada baginda secepat mungkin.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata PAS akur dengan keputusan itu selepas Azmin bersetuju mengikut keputusan parti.

"Dua calon dah ada di sini dan selepas mesyuarat tadi Azmin hormati keputusan partinya," kata Mohamad ringkas.

Khalid terima keputusan PAS dengan hati terbuka



KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima dengan hati terbuka keputusan PAS berkenaan status Menteri Besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

"Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap DYMM Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.

"Sehingga DYMM Sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama 4 ahli MMKN daripada PAS bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan semua rakyat Selangor atas sokongan dalam usaha bersama untuk menjayakan agenda reformasi di Selangor.

Beliau juga berterima kasih atas kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan perkembangan-perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berasaskan undang-undang.

"Insya Allah, rakyat Selangor akan terus dipelihara dan diberkati Allah SWT," ujarnya lagi.

Mesyuarat PAS Pusat hari ini sebulat suara bersetuju mencadangkan Presiden PKR dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali bagi menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Mesyuarat turut memutuskan bahawa empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor daripada PAS akan terus berada dalam kerajaan negeri Selangor, untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas.

Manakala satu lagi keputusan adalah penegasan bahawa PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi. - HARAKAHDAILY 17/8/2014

PAS calon Wan Azizah, Azmin ganti Khalid



KUALA LUMPUR: Mesyuarat PAS Pusat hari ini sebulat suara bersetuju mencadangkan dua calon iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
"PAS tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar Selangor. PAS juga menghormati semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dalam mencadangkan nama calon Menteri Besar.

"Sehubungan dengan itu juga, PAS sebulat suara pada hari ini bersetuju untuk mengangkat dua nama bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Nama yang dicadangkan oleh PAS ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) dan Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR)," kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan yang dibacakan Timbalan Presiden Mohammad Sabu pada sidang media sejurus selesai mesyuarat tengah hari ini.

Keputusan itu katanya dibuat selepas PAS Pusat membuat pertimbangan dalam pelbagai sudut.

Keputusan tersebut adalah salah satu daripada tiga keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini.

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan bahawa empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dari PAS akan terus berada dalam kerajaan negeri Selangor, untuk memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas.

Manakala satu lagi keputusan adalah penegasan bahawa PAS akan terus komited dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan kerjasama politik Tahaluf Siyasi.