PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah memberitahu
lebih cenderung kepada aktiviti kerohanian dan dakwah selepas mengambil
keputusan untuk berhijrah dan mengenakan hijab.
Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 32, berkata, dia berasa
seronok dapat berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai penghijrahannya
kepada masyarakat terutama golongan muda supaya lebih dekat dengan agama
Islam.
"Mengikuti kelas Usrah Fitrah telah banyak mengajar saya pelbagai
perkara tentang Islam yang boleh saya kaitkan dengan kehidupan seharian.
"Dari situ juga saya dapat berkongsi pengetahuan dengan masyarakat
semasa dijemput dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Yatt, dia juga merancang untuk menjelajah ke seluruh Institut
Pengajian Tinggi Awan dan Swasta (IPTA/IPTS) bersama-sama ahli lain
dalam Usrah Fitrah bagi berkongsi ilmu dan penghijrahan mereka dengan
para penuntut universiti pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai bidang lakonan, Yatt berkata, dia
masih lagi menerima tawaran berlakon namun meletakkan beberapa syarat
bersesuaian dengan imejnya kini.
Tambah Yatt, selain soal imejnya bertudung, dia juga lebih cenderung
kepada watak yang dapat memberikan ilmu dan pengajaran kepada penonton.
"Saya masih lagi minat berlakon tetapi perlu ada batasan kerana
peranan atau sesuatu watak itu perlu bersesuaian dengan imej saya yang
bertudung dan batas saya sebagai isteri orang," jelasnya.
Sementara itu, Yatt memberitahu, dia bersyukur kerana perjalanan
hidupnya kini semakin mudah dan rezeki bertambah apabila bukan sahaja
dapat berlakon dan memenuhi program kerohanian tetapi menjadi model
untuk busana muslimah.
"Alhamdulillah, saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Jiwa saya
rasa tenang dan hidup rasa lebih lancar. Bila kita ikhlas berhijrah,
Allah akan permudahkan jalan yang kita pilih," jelasnya.(mstaronline)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan