JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda

JOM SHOPPING ONLINE - Kedai Online Produk Muslim Anda
Sila klik pada imej. Terima kasih. Kenapa kita masih utamakan barangan bukan Muslim ?

CUACA DI TELUK INTAN SEPANJANG MINGGU

Senarai Blog Saya

Jumaat, 8 November 2013

INI PULA PENJELASAN KARPAL ...



KUALA LUMPUR: “Saya tidak langsung menyeru supaya PAS dibatalkan pendaftarannya di dalam sidang akhbar itu,” tegas Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.

Justeru, beliau yang juga  Ahli Parlimen Bukit Gelugor agak terkejut dengan serangan yang dilakukan terhadapnya oleh beberapa pemerhati politik, ahli akademik dan para pengulas politik tertentu.

“Ia sememangnya satu penghinaan teruk kepada Utusan Malaysia kerana membuat tuduhan keji ini,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya agak terkejut dengan serangan yang dilakukan terhadap saya oleh beberapa pemerhati politik, mereka yang kononnya ahli akademik dan para pengulas tertentu terhadap kenyataan saya pada Selasa lalu berkenaan parti-parti politik dan badan-badan profesional yang ditubuhkan dengan garis perkauman harus membuka pintu kepada semua kaum atau dibatalkan pendaftarannya, khususnya kenyataan saya yang dikatakan bahawa saya telah menyeru agar PAS dibatalkan pendaftarannya.

Ia sememangnya satu penghinaan teruk kepada Utusan Malaysia kerana membuat tuduhan keji ini.


Terence Netto telah benar-benar termakan dengan putar belit Utusan Malaysia bahawa saya telah menyeru agar PAS dibatalkan pendaftarannya; yang kemuncaknya menyifatkan saya sebagai seorang yang cuai serta tidak cermat dan saya tidak bertambah matang seiring dengan usia dan pelbagai kata-kata buruk lain di dalam artikelnya.

Saya terkejut bagaimana Terence Netto yang telah meningkat usianya tetapi tidak banyak mengambil pengajaran. Tidak mahu kalah, sesetengah orang kuat PAS pun turut terjun ke dalam kancah yang buruk ini melalui kritikan mereka terhadap saya tentang dakwaan seruan saya ke atas PAS itu.

Sudah tentu, terdapat ramai lagi, termasuklah seorang profesor, yang turut mempamerkan ketidakmatangan dengan mengeluarkan kenyataan tanpa memastikan kebenaran fakta atau memastikan saya telah benar-benar membuat dakwaan itu terhadap PAS.

Benar, saya telah menyeru agar Persatuan Peguam-Peguam Muslim dibatalkan pendaftarannya kerana mengecam Majlis Peguam bahkan, melakukan ugutan jenayah, terhadap majlis itu kerana menyokong mingguan Katolik Herald berkenaan penggunaan kalimah Allah.

Presiden kepada Persatuan Peguam-Peguam Muslim mengugut akan bertindak ke atas Majlis Peguam. Saya tegas dengan pendirian saya menyeru agar dibatalkan pendaftaran Persatuan Peguam-Peguam Muslim yang ditubuhkan pada tahun 1988 ketika kemuncak pemecatan Tun Salleh Abas dan terang-terang mendapat sokongan penuh perdana menteri waktu itu Dr. Mahathir, yang langsung membawa kepada perhimpunan dan demonstrasi agak ganas di hadapan pejabat Majlis Peguam berdekatan stesen Masjid Jamek.

Benar, saya telah menyatakan bahawa parti politik dan badan profesional berdasarkan kaum yang malang sekali termasuklah PAS, sepatutnya membuka pintu kepada kaum lain; akan tetapi saya lekas menambah bahawa PAS telah pun memperakui keperluan berbilang kaum dengan mewujudkan sayap penyokong bukan bergama Islam.

Saya tidak langsung menyeru supaya PAS dibatalkan pendaftarannya di dalam sidang akhbar itu.

Terence Netto dan mereka yang seangkatan dengannya jelas telah terlepas pandang akan perkara itu. Sama ada disengajakan atau disebabkan oleh nurani personaliti-personaliti ini.

Bolehkah PAS menafikan ia telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebelum pilihan raya umum 2004?

Bolehkah PAS menafikan ia telah bersetuju untuk meletakkan calon bukan beragama Islam di dalam pilihan raya umum 2013?

Bolehkah PAS menafikan bahawa Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, pada 13.10.13 telah berkata, ketika ditanya sama ada keahlian penuh akan diberikan kepada bukan beragama Islam berikutan sokongan besar yang PAS terima daripada DHPP di dalam pilihan raya umum, beliau berkata:

"Buat masa ini, kami mempunyai sayap penyokong PAS (DHPP) untuk yang bukan beragama Islam. Ia adalah cara yang baik untuk kami meletakkan di kami di kalangan bukan beragama Islam. Seterusnya, cabaran kami ialah untuk menjadikan diri kami releven di kalangan semua rakyat Malaysia. Cabaran kami sekarang adalah untuk mengekalkan sokongan yang kami terima daripada bukan beragama Islam dan meningkatkan sokongan daripada umat Islam."

Bolehkah PAS menafikan pada pilihan raya umum 2008, ia meletakkan calon dari masyarakat India, R. Kumutha, untuk bertanding kerusi dewan undangan negeri Tiram di kawasan parlimen Johor Bharu?

Bolehkah PAS menafikan pada 6.11.2013, DHPP melalui setiausahanya K. Deepakaran dalam membahaskan ucapan dasar Presiden sewaktu Muktamar PAS di Pengkalan Chepa menggesa ahli parti supaya tidak melihat DHPP dengan rasa curiga sebaliknya menganggap golongan bukan beragama Islam di dalam PAS sebagai sebahagian daripada jenteranya.

"Kita ikhlas dan sukarela nak memberi sokongan kepada sebuah parti Islam di Malaysia iaitu PAS. Saya selalu katakan DHPP adalah tentera perjuangan Islam. Kenapa saya katakan kami tentera Islam? kerana Islam untuk semua, Islam hadir untuk semua dan terima kasih untuk logo 'PAS For All'."

Beliau juga menekankan, "Kalau dahulu memang PAS untuk orang Islam sahaja tapi sekarang PAS sudah terbuka kepada semua yang mahu menjadi sebahagian daripada perjuangan Islam."

Di sidang akhbar pada hari Selasa, saya menekankan sekali lagi, saya tidak meminta PAS dibatalkan pendaftarannya malah memberikannya talian hayat dengan menyatakan bahawa PAS telah sedar keperluan berbilang kaum dengan mewujudkan DHPP tidak seperti Umno, MCA dan MIC yang jelas-jelas merupakan parti rasis yang perlu dibatalkan pendaftarannya.

Saya tidak meletakkan PAS di dalam bakul yang sama apabila saya menentang parti politik dan badan profesional yang ditubuhkan atas dasar kaum. Saya telah menyatakan kebenaran. Tuntutan memohon maaf oleh pemimpin-pemimpin PAS tidak akan dipenuhi. Itu saya boleh jamin.


PAS seharusnya sudah boleh menunjukkan keikhlasannya dengan menjadikan DHPP sebagai ahli penuh parti. Jauh daripada dibatalkan pendaftaran, tindakan sedemikian akan menjadikan PAS salah satu parti politik berbilang kaum di negara ini.

HARAKAHDAILY

Khamis, 7 November 2013

BIAR KARPAL SENDIRI YANG BERI PENJELASAN - MAHFUZ



KUALA LUMPUR: PAS meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tampil memberi penjelasan terbuka terhadap tuduhan kononnya beliau mahu pendaftaran PAS dibatalkan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu penting bagi merungkai segala kekeliruan yang timbul akibat laporan media yang memetik kenyataannya sebelum ini.

"Apa yang penting beliau (Karpal) sendiri perlu tampil beri penjelasan, bukan melalui pihak lain.

"Ini untuk kita semua dapat gambaran sebenar," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam yang tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam penjelasannya, Kit Siang berkata, beliau telah bercakap dengan Karpal dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan.

Justeru, Kit Siang meminta semua pihak mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Isu ini timbul ekoran laporan kononnya Karpal mahu pendaftaran PAS dibatalkan atas cadangannya agar parti politik atau pertubuhan berasaskan kaum dan agama boleh menghalang perpaduan kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika kenyataan itu dimanipulasi media, maka Karpal perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit.

"Sebaliknya, kalau laporan itu betul, Karpal harus berlapang dada dan berjiwa besar untuk tampil memohon maaf kepada PAS dan seluruh ahli dan penyokong.

"Kita yakin beliau boleh berbuat demikian kerana beliau adalah seorang ahli politik senior," katanya.

harakahdaily

Selasa, 5 November 2013

MAJLIS GRADUASI PASTI IBNU RUSYD TAMAN CICELY MERIAH



TELUK INTAN, 5 November - Bersempena cuti umum Awal Muharram, PASTI Ibnu Rusyd Taman Cicely telah mengadakan Majlis Graduasi 2013. Majlis telah diadakan di premis PASTI Ibnu Rusyd Taman Cicely dekat sini.

Menurut Pengerusi PASTI Ibnu Rusyd, Sdr. Rahmat Maliki, antara objektif majlis tersebut ialah untuk meraikan pelajar PASTI enam tahun yang bakal memasuki alam persekolahan serta mengiktiraf pelajar yang cemerlang di dalam peperiksaan akhir tahun. Selain itu, majlis tersebut ingin menonjolkan bakat pelajar PASTI melalui acara persembahan.

Ustaz Rijal Abu Bakar menyampaikan ucapan perasmian.


Majlis Graduasi kali ini telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda Kawasan Teluk Intan, Ustaz Rijal Abu Bakar. Dalam ucapan perasmian, beliau banyak menyentuh tentang pendidikan awal anak-anak sebagai panduan kepada ibu bapa. Beliau juga menyatakan bahawa Pemuda Kawasan telah menubuhkan 'think tank' di peringkat kawasan untuk memperkasa PASTI kawasan dan cawangan. Kehadiran ibu bapa pada majlis tersebut begitu menggalakkan.

Pengerusi PASTI Ibnu Rusyd menyampaikan ucapan aluan.
Turut menyampaikan ucapan ialah Pengurus PASTI Ibnu Rusyd, Sdr. Rahmat Maliki. Di dalam ucapan alu-aluan, beliau mengucapkan terima kasih kepada para ibu bapa yang masih setia menghantar anak-anak mereka ke PASTI.  Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua PAS Kawasan, Hj. Mohd. Azhar Rafiei, Pengerusi PASTI Kawasan Sdr. Ismail Mat dan AJK PAS Kawasan, Sdr. Shamsuddin Mahmud.

Persembahan Pelajar PASTI membaca doa dan hadith.
Persembahan Kalam Jamaie berkonsepkan 'choral speaking' yang menarik.
Selepas itu, para ibu bapa telah dihidangkan dengan persembahan para pelajar PASTI. Antara persembahan menarik ialah bacaan doa dan hadith, hafazan surah al Quran dan kalam jamaie berkonsep 'choral speaking' yang bertemakan nama-nama haiwan dalam Bahasa Arab.

Pengurus PASTI kawasan menyampaikan hadiah.
Ustaz Rijal turut menyampaikan hadiah.

Naib Yang DiPertua PAS kawasan, Hj. Mohd. Azhar menyampaikan sijil.

Salah seorang guru PASTI menerima cenderamata.
Para pelajar juga telah menerima hadiah berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun. Hadiah telah disampaikan oleh para tetamu khas. Antara kategori hadiah yang disampaikan ialah kedudukan terbaik dalam kelas dan terbaik mata pelajaran bagi kategori enam tahun dan lima tahun.

Dalam majlis itu juga, dua orang pelajar telah dianugerahkan sebagai Tokoh Pelajar PASTI Ibnu Rusyd 2013. Mereka ialah Adik Muhammad Naim bin Ahmad Nazri dan Adik Nurul Hazirah binti Khairul Hafles. Para guru PASTI turut menerima cenderamata sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak-anak PASTI.

intanhijau.blogspot.com

Kemenangan hari pertama tahun Hijrah – TG Nik Aziz



KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai  Limau semalam sebagai “kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H”.

Dalam entri terbaru di laman facebook beliau, Tuan Guru Nik Aziz memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

“Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau Kedah kelmarin (semalam).

“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS.
“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara, Insya Allah,” ujarnya.

PAS mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi.

Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985 undi.

Pada PRU ke-13  Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak (PAS) memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira jam 9.00 malam.
Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi,  145 kertas undi diisytiharkan rosak.

Dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995.
harakahdaily

Ahad, 3 November 2013

Bahasa Penyelidik ramal PAS menang di Sungai Limau

Badan penyelidikan Ilham Centre menjangka PAS akan mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau apabila mendapati sokongan untuk parti Islam itu antara 53 hingga 55% menjelang hari membuang undi pada pilihan raya Isnin ini.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar (gambar) dalam kenyataannya kepada media berkata, perolehan ini berdasarkan kajian mereka secara bersemuka dengan 602 pengundi di Sungai Limau sejak 28 Oktober hingga 1 November.

"Sepanjang tempoh kajian dijalankan, kami mendapati faktor identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi penyumbang kepada pengekalan undi PAS di sini," kata Hisomudin.

Ilham Centre adalah sebuah badan penyelidik yang mempunyai rekod pencapaian baik apabila jangkaan mereka menjelang pilihan raya kecil sentiasa tepat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada tahun 2008 lagi.

Metode bertemu responden secara bersemuka adalah antara kajian yang dibuat oleh Ilham dan ternyata ia mempunyai margin kesilapan sangat kecil.

Menurut Hisomudin, kajian kali ini mendapati pilihan raya kecil Sungai Limau memperlihatkan dengan jelas pertembungan antara PAS dengan Umno dan bukan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

Mereka juga mendapati pengundi Sungai Limau sangat tegar dan dipengaruhi oleh identifikasi parti berbanding faktor-faktor lain.

"Faktor ini menyumbang sebanyak 81% yang diambil kira oleh pengundi berbanding faktor calon (12%) dan faktor isu hanya 4% sahaja," kata Hisomudin.

Khamis, 31 Oktober 2013

Rakyat makin gusar 111,020 kes jenayah indeks

KUALA LUMPUR: Dengan jumlah 111,020 kes jenayah indeks yang direkodkan sepanjang Januari hingga September 2013 ianya adalah angka yang menggerunkan sesiapa sahaja.

Daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bererti rakyat tempatan lebih agresif, ganas dan kejam berbanding warga asing.

“Warga tempatan perlu lebih berhati-hati, gusar dan gerun dengan ‘saudara’ mereka sendiri kerana penjenayah sebenar majoritinya adalah warga tempatan,” ujar Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan sebagai respos kepada kenyataan Zahid bahawa kadar jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing hanyalah 10 hingga 15 peratus bukanlah sesuatu yang boleh melegakan kebimbangan rakyat di negara ini.

Menurut kata menteri itu, peratusan besar jenayah dilakukan oleh penduduk tempatan.

Jika demikian, kata Suhaimi mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada penguatkuasaan dan undang-undang di negara ini.

Katanya, rakyat sudah tidak gentar dengan sebarang hukuman atau undang-undang yang ditetapkan dan mereka rela ditembak mati, diburu atau ditangkap kerana aksi jenayah mereka.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju semua pihak perlu berganding bahu memberikan pandangan, input dan buah fikiran agar jenayah dijadikan musuh nombor satu negara.

Menurutnya, daripada sistem pendidikan, penguatkuasaan, undang-undang, pencegahan, kempen kesedaran, kajian dan perbincangan, sesuatu perlu dilakukan segera dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Tambahnya, kesempitan hidup, penyakit jiwa, kemurungan, kurang pendidikan agama, konflik keluarga, pergaulan bebas dan lain-lain adalah sebahagian faktor jenayah semakin berleluasa.

Justeru, kata beliau mengenali punca tersebut perlu diselarikan dengan jalan penyelesaian yang jitu agar jenayah semakin berkurangan dan mampu dicegah dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

“Pastinya, ramai menginginkan agar Malaysia menjadi bebas jenayah. Selain sasaran menjadi negara maju, negara bebas atau kurang jenayah perlu dijadikan agenda utama,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, tidak ada gunanya negara melangkah ke era kemodenan dengan pelbagai rekod kemajuan dicatat namun menjadi penyumbang terbesar kepada jenayah.

Sebaliknya, kata Suhaimi rakyat dan negara lebih bahagia hidup dalam negara yang sejahtera dan sentosa dengan keamanan dan kestabilan tanpa jenayah.

“Alangkah indahnya hidup jika rakyat di negara ini semakin mengenali erti kemanusiaan serta menghormati nilai dan hak insan lain tanpa melakukan jenayah,” katanya.

harakahdaily

Rabu, 30 Oktober 2013

BETULKAH BERITA INI...? HAIRIE OTHMAN ENGGAN TERLIBAT DALAM AKTIVITI PEMBANGKANG



PETALING JAYA: Pelakon Hairie Othman menjelaskan tidak lagi terlibat dengan apa-apa juga aktiviti parti anjuran Pakatan Rakyat.

Hairie, 42, turut berkata, dia juga tidak terlibat menyertai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Yan, Kedah yang sedang berlangsung.

"Saya tidak mahu komen apa-apa tentang ini, buat masa sekarang saya tidak terlibat dengan apa-apa kempen atau ceramah Pakatan Rakyat termasuk Pilihan Raya Kecil yang sedang berlangsung di Yan Kedah," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Hairie berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penglibatannya dalam kempen untuk parti pembangkang dalam PRK, DUN Sungai Limau yang akan berlangsung pada 4 November depan.

Ketika ini pelakon Abby Abadi dan Leman (Raja Lawak) dilihat berkempen atas tiket Pas selain beberapa artis lain yang dijangka berbuat demikian seperti Aishah dan Bob Lokman.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu Hairie aktif berkempen untuk Pas tetapi seakan-akan merajuk selepas apabila Pakatan Rakyat dikatakan tidak mempedulikannya termasuklah gagal memberikan projek seperti yang dijanjikan selepas PRU itu berakhir.

“Saya tak mahu komen. Sampaikan kepada bos kamu,” tambahnya.

intanhijau.blogspot.com