PETALING JAYA: Satu dalam setiap enam pasangan suami isteri
bandar di Malaysia menghadapi kesukaran untuk menimang cahaya mata
ekoran pelbagai faktor seperti kesihatan dan sosial, menurut pakar.
Perunding urologi Dr Muhilan Parameswaran berkata masalah ini
disebabkan tahap tekanan di kalangan penduduk bandar, pencemaran alam
sekitar dan antara lain, tabiat pemakanan yang tidak sihat.
"Dalam tempoh 10 tahun lalu, kesedaran tentang kemandulan, terutama
di kalangan lelaki, tidak tinggi. Mereka ini sama ada tidak mampu untuk
mendapatkan rawatan atau mereka hanya cenderung untuk mengabaikan
masalah ini.
"Bagaimanapun, sejak aspek penjagaan kesihatan menjadi semakin mudah,
kita cenderung untuk meneliti lebih banyak kes seperti itu di
Malaysia," kata beliau di luar acara Ceramah Kesihatan anjuran Pusat
Perubatan Tropicana di sini, Sabtu.
Dr Muhilan berkata ramai lelaki masih malu untuk membincangkan
tentang kemandulan dan pasangan ini biasanya lewat menjalankan ujian
walaupun masalah boleh diatasi. Beliau berkata, tanggapan umum di
kalangan lelaki adalah masalah ini disebabkan ketidakupayaan wanita
untuk hamil.
"Lelaki suka menganggap dan meletakkan kesalahan kepada wanita kerana
tidak hamil. Kebanyakan kes mandul di kalangan lelaki adalah disebabkan
masalah hormon, mati pucuk, sperma tidak sihat atau berkualiti rendah
serta pergerakan yang perlahan untuk mencapai dan menembusi ovum,"
tambah beliau.
Dr Muhilan berkata satu lagi salah faham yang biasa ialah mengenai saiz zakar yang dikaitkan dengan keupayaan untuk hamil.
"Ia semestinya tidak benar kerana saiz tidak penting apabila kita membincangkan tentang masalah kemandulan," tambah beliau.
Perunding Obstetrik dan pakar sakit puan Dr Arifah Mohd Amin berkata
rakyat Malaysia perlu mengekalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan
risiko kemandulan.
"Berat badan di kalangan wanita dan lelaki boleh meningkatkan
kesuburan. Bagi wanita, terlalu kurus atau obesiti boleh membawa kepada
banyak masalah termasuk membawa kemudaratan kepada bayi mereka. Mereka
juga boleh mengalami kesukaran semasa melahirkan bayi," katanya.
Seorang lagi perunding Obstetrik dan pakar sakit puan Dr Yong Jee
Kien menggesa pasangan muda untuk bertemu pakar jika mereka gagal untuk
hamil selepas setahun.(mstaronline)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan