NGO gesa kerajaan sekat Facebook
KUALA LUMPUR, 4 Jun — Beberapa badan bukan kerajaan (NGO)
mesra Barisan Nasional (BN) menggesa kerajaan mengikut langkah negara
Iran dan China dengan menyekat akses ke laman web sosial sekiranya
langkah itu mampu membendung sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh
menggugat keamanan negara.
“Memang tidak wajar menyekat penggunaan internet tetapi Facebook
perlu disekat sebelum parah kerana ramai yang telah menyalahgunakan
fungsi laman sosial itu dengan melakukan perkara-perkara yang di luar
faedah,” katanya dipetik daripada akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian.
“Kalau boleh perketatkan lagi undang-undang siber yang sedia ada
supaya tidak sewenang-wenangnya mereka melakukan jenayah di laman
sosial. Tindakan tegas perlu dikenakan supaya mereka bersalah dapat
dihadapkan ke mahkamah,” tambah beliau.
Beliau diminta mengulas mengenai sekumpulan pengguna Facebook
bertindak menghina ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu’adzam Shah.
Mereka dipercayai menulis kata-kata itu di Facebook semasa Yang
di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun
keputeraan rasmi Seri Paduka yang disiarkan secara langsung di Radio
Televisyen Malaysia (RTM).
Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) Petaling, Badrul Hisham
Badrudin menyokong kerajaan menyekat penggunaan Facebook kerana telah
disalahguna untuk tujuan negatif seperti mana laman web lucah.
“Laman sosial sepatutnya digunakan secara berhemah, bukan tempat
untuk mencaci, menghasut dan menipu. Facebook ini jika tidak disekat
akan membawa lebih banyak mudarat. Saya rasa tidak ada ibu bapa atau
cendekiawan yang membantah sekiranya kerajaan menyekat laman sosial
ini,” katanya.
Abu Bakar Yahya yang merupakan Pengerusi Perkasa Selangor mengatakan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
tidak perlu bertolak-ansur dengan golongan yang dianggap ‘pelampau’
yang sanggup menghina pemimpin negara dalam laman sosial.
“Bila bagi amaran mereka umpama tak peduli maka sudah tiba masanya
KDN kenakan tindakan keras supaya semua pihak dapat menghormati
Perlembagaan.
“Tindakan tegas perlu diambil supaya keamanan negara dapat terpelihara daripada ancaman anasir-anasir seperti ini,” katanya.
Polis Kuala Lumpur menerima enam laporan pada Ahad berkaitan tindakan
seorang pemilik akaun Facebook yang didakwa menghina Tuanku Abdul Halim
Mu’adzam Shah.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh Ishar Singh
berkata semua laporan itu dibuat di Balai Polis Dang wangi oleh individu
yang mewakili enam NGO.
“Wakil-wakil NGO ini telah membaca laman Facebook atas akaun nama
seorang wanita yang telah mengeluarkan komen menghina Yang di-Pertuan
Agong dan berkecenderungan menghasut,” katanya dalam satu kenyataan
seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.
Sehubungan itu Amar Singh menasihatkan orang ramai agar menghormati
undang-undang negara demi memelihara keharmonian sejagat dan berkata
polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya ke atas
mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara.(MALAYSIANINSIDER)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan